What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other
ask-doctor-icon

Tanya Doktor Secara Percuma

Jadi yang terawal untuk berkongsi pandangan anda kepada Hello Doktor

Nak Elak Dapat 13 Kanser Ini? Mudah Sahaja, Berkebun & Lakukan Kerja Di Rumah!

    Nak Elak Dapat 13 Kanser Ini? Mudah Sahaja, Berkebun & Lakukan Kerja Di Rumah!

    Senaman merupakan salah satu elemen kelanjutan usia yang penting. Kebaikan bersenam boleh mempengaruhi tahap kelangsungan hidup terutamanya buat mereka yang menghidap penyakit kanser.

    Di seluruh dunia, lebih daripada 10 juta individu telah disahkan menghidap kanser dan jumlah tersebut meningkat setiap tahun.

    Meskipun begitu, teknologi perubatan yang maju membolehkan penghidap memperolehi potensi kesembuhan (prognosis) yang baik dalam jangka masa 5 tahun selepas didiagnosis dengan barah.

    Peningkatan pada jumlah mereka yang sembuh daripada kanser dianggarkan setinggi 25 juta atau lebih.

    Namun, prognosis tersebut berubah mengikut faktor tertentu. Salah satu daripadanya adalah perubahan gaya hidup seperti pemakanan, kekerapan bersenam dan jumlah jam tidur.

    Artikel ini akan menerangkan perihal senaman sebagai senjata untuk memerangi kanser dan mencapai kelanjutan usia.

    Senaman boleh bantu turunkan risiko kanser payudara

    Gaya hidup aktif bukan sahaja boleh menyeimbangkan jumlah kalori keluar dan masuk, ia juga boleh mempengaruhi aktiviti hormon di dalam badan.

    Hormon merupakan pengisyaratan kimia yang boleh mempengaruhi aktiviti sel di seluruh badan.

    Sebagai contoh, hormon estrogen. Estrogen boleh menggalakkan pembahagian sel di organ payudara untuk berlaku dengan lebih kerap.

    Keadaan ini boleh menyebabkan pembahagian sel berlaku secara tidak terkawal sehingga boleh membentuk sel kanser.

    Namun, mereka yang menjalani kehidupan aktif seringkali dikaitkan dengan paras estrogen yang rendah.

    Situasi ini membantu anda untuk menurunkan risiko kanser payudara.

    Hormon lain seperti insulin juga boleh mempengaruhi cara sel membahagi.

    Individu yang menjalani kehidupan aktif mempunyai paras insulin rendah justeru ia boleh membantu mencegah kanser.

    Kebaikan bersenam: Risiko kanser usus turun

    kebaikan bersenam

    Aktiviti fizikal boleh mempengaruhi kadar pergerakan bahan makanan di dalam sistem gastrousus manusia.

    Perkara ini penting berikutan pergerakan yang perlahan boleh mendedahkan toksin berbahaya yang terkandung di dalam sisa makanan terhadap sel usus besar sehingga boleh menyebabkan terjadinya kanser.

    Mereka yang aktif bersenam boleh membantu sistem gastrousus untuk memproses makanan sehingga terbentuknya tinja dan ia akan dikumuhkan melalui saluran rektum.

    Keadaan ini menurunkan risiko anda untuk mendapat masalah kanser usus.

    Selain itu, senaman juga boleh membantu mengawal proses keradangan di dalam usus besar.

    Radang adalah satu tindak balas badan terhadap proses patologi seperti jangkitan.

    Walaupun ia dianggap sebagai satu proses fisiologi yang baik untuk badan, namun jika tindak balas tersebut berlaku di luar kawalan, ia boleh meningkatkan risiko anda untuk didiagnosis dengan masalah kanser.

    Oleh itu, senaman merupakan salah satu kaedah yang efektif untuk hindar kanser.

    Pelbagai jenis aktiviti fizikal boleh dilakukan untuk kekal aktif

    Secara umumnya, sudah tentu anda faham, aktiviti fizikal merupakan aspek yang sangat penting dalam usaha untuk memerangi kanser.

    Untuk kekal aktif, anda tidak perlu untuk menyertai mana-mana kelas senaman atau membeli keahlian bulanan gim.

    Terdapat pelbagai jenis senaman yang boleh dilakukan di rumah dan pergerakan kita semasa melakukan aktiviti harian turut dianggap sebagai aktiviti fizikal.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan setiap individu untuk melakukan aktiviti senaman berintensiti sederhana (joging, berenang) selama 150 minit seminggu.

    Secara amnya, aktiviti fizikal boleh dibahagikan kepada dua jenis:

    • Senaman aerobik: Aktiviti fizikal yang menggunakan sejumlah oksigen yang banyak. Ia boleh memperbaiki fungsi sistem kardiovaskular. Contoh senaman seperti berlari dan berenang
    • Senaman anaerobik: Aktiviti fizikal yang dilakukan bagi meningkatkan kekuatan dan intensiti otot badan. Contohnya adalah senaman angkat berat

    Aktiviti fizikal juga mempunyai intensiti yang berbeza. Bukan semuanya boleh menyebabkan anda berpeluh.

    • Intensiti sederhana: Senaman yang membuatkan anda berasa panas dan bernafas laju namun anda masih lagi boleh bercakap semasa melakukannya. Sebagai contoh, berjalan laju, berbasikal, berkebun dan melakukan kerja rumah
    • Intensiti tinggi: Aktiviti senaman yang meningkatkan kadar degupan jantung anda, membuatkan anda berpeluh dan sukar untuk bernafas. Sebagai contoh berlari, senaman aerobik, permainan bola sepak dan memecut ketika berbasikal

    Kenapa penting buat anda untuk kekal aktif setiap hari?

    rahsia kelanjutan usia

    Kajian menunjukkan aktiviti sukan sama ada berintensiti sederhana atau tinggi boleh mengurangkan risiko kanser usus besar, payudara dan rahim.

    Selain itu, senaman juga merupakan elemen penting dalam memastikan kita berada dalam lingkungan berat ideal.

    Masalah berat badan berlebihan dan obesiti merupakan faktor risiko bagi 13 jenis kanser.

    Berdasarkan kepada fakta tersebut, Dana Kajian Kanser Sedunia (WCRF) telah menyarankan beberapa langkah yang boleh diambil bagi menghindari kanser.

    Antaranya adalah:

    • Aktiviti fizikal berintensiti sederhana selama 150 minit dalam masa seminggu, sebagai contoh 30 minit 5 kali sehari
    • Aktiviti fizikal berintensiti berat, 75 minit dalam masa seminggu

    Konklusi

    Aktiviti fizikal merupakan salah satu langkah alternatif bagi setiap individu untuk elak kanser dan mencapai kelanjutan usia.

    Telah terbukti melalui beberapa kajian lepas, kebaikan bersenam berupaya untuk menurunkan risiko berlakunya kanser tertentu melalui kebaikan yang boleh diperolehi daripadanya seperti penurunan berat badan dan sebagainya.

    Oleh itu, WHO dan beberapa badan kesihatan global telah menyarankan setiap individu untuk melakukan aktiviti fizikal berintensiti sederhana pada kekerapan 150 minit seminggu (75 minit jika intensiti berat).

    Jika anda risau akan risiko untuk mendapat kanser, buat pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran sekarang.

    health-tool-icon

    Kalkulator Kadar Degup Jantung Sasaran

    Ketahui berapakah kadar degup jantung maksimum yang normal untuk usia anda serta bagaimana senaman berintensiti dan faktor lain akan mempengaruhinya.

    Lelaki

    Wanita

    Anda memeriksanya untuk siapa?

    Berapa kadar degup jantung anda? (bpm)

    60

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Sumber Rujukan
    1. Exercise guidelines for cancer patients. (https://www.cancerresearchuk.org/about-cancer/coping/physically/exercise-guidelines). Diakses pada 28 September 2020.
    2. How can I be more active? (https://www.cancerresearchuk.org/about-cancer/causes-of-cancer/physical-activity-and-cancer/how-can-i-be-more-active?#PArefs0). Diakses pada 28 September 2020.
    3. What are the benefits of exercise? (https://www.cancerresearchuk.org/about-cancer/causes-of-cancer/physical-activity-and-cancer/what-are-the-benefits-of-exercise). Diakses pada 28 September 2020.
    4. https://www.cancer.net/survivorship/healthy-living/exercise-during-cancer-treatment
    5. https://www.cancer.net/blog/2018-09/exercise-program-you-5-tips-people-with-cancer
    6. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC1071114/
    7. https://www.cancerresearchuk.org/about-cancer/coping/physically/exercise-guidelines
    8. https://www.dana-farber.org/health-library/articles/tips-for-exercising-during-and-after-cancer-treatment/
    Gambar penulisbadge
    Ditulis oleh Nisreen Nadiah Disemak pada 19/08/2021
    Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman
    Next article: