backup og meta

Takut Vaksin AstraZeneca Sebabkan Keradangan Tulang Belakang? Baca Ini Dulu!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/06/2022

    Takut Vaksin AstraZeneca Sebabkan Keradangan Tulang Belakang? Baca Ini Dulu!

    Baru-baru ini, terdapat laporan baharu berkenaan kesan vaksin AstraZeneca. Apakah yang begitu menarik mengenai laporan ini sehingga ramai yang mula mencari kata kunci “AstraZeneca kesan sampingan” di Google?

    Ini yang anda perlu tahu mengenainya.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan COVID-19, anda boleh klik di sini

    Vaksin Astrazeneca kurangkan risiko jangkitan COVID-19

    Pada saat COVID-19 melanda dunia sejak dua tahun yang lalu, vaksin merupakan senjata terampuh buat masa sekarang untuk melawan jangkitan virus ini.

    Vaksin berfungsi ‘mengajar’ sistem imun tubuh kita untuk bagaimana melawan jangkitan yang berpunca daripada sesuatu virus tersebut.

    Dalam kes ini, sudah tentulah virus COVID-19.

    Bagi syarikat pengeluar vaksin AstraZeneca, mereka mengeluarkan vaksin COVID-19 yang dipasarkan dengan jenama Vaxzevria.

    Namun, jenama ini jarang disebut kerana ia lebih dikenali dengan nama vaksin AstraZeneca sahaja.

    Bagi individu yang mengambil vaksin jenama ini, mereka memerlukan dua dos bagi melengkapkan status imunisasi penuh.

    Dos kedua akan diberikan dalam tempoh empat hingga 12 minggu selepas dos yang pertama.

    Berdasarkan perkembangan jangkitan yang telah menyebabkan kemunculan varian-varian baharu, penerima vaksin AstraZeneca turut memerlukan suntikan dos tambahan atau booster.

    Suntikan booster ini akan meningkatkan tahap imuniti badan untuk melawan jangkitan COVID-19.

    Di Malaysia dan kebanyakan negara-negara lain, penerima suntikan AstraZeneca akan diberikan suntikan booster daripada vaksin Pfizer/BioNTech

    Kesan vaksin AstraZeneca boleh sebabkan keradangan tulang belakang?

    kesan vaksin astrazeneca

    Jika anda menaip “Astrazeneca kesan sampingan” di enjin carian internet seperti Google, anda akan menemukan pelbagai berita dan maklumat berkenaan kesan sampingan vaksin jenis ini.

    Namun yang terbaharu, carian “astrazeneca kesan sampingan” di Google akan menunjukkan satu berita mengenai kesan sampingan yang menyebabkan keradangan tulang belakang.

    Pada 14 Januari 2022, pengawal selia ubat-ubatan Eropah telah mencadangkan penambahan satu lagi kesan vaksin AstraZeneca yang terkini, iaitu sejenis keradangan tulang belakang yang dikenali sebagai mielitis melintang (transverse myelitis).

    Apa itu mielitis melintang? Mielitis melintang merupakan sejenis keradangan yang berlaku pada kedua-dua sisi, satu bahagian saraf tunjang.

    Gangguan saraf ini selalunya akan merosakkan bahan penebat yang meliputi gentian sel saraf (myelin).

    Mielitis melintang akan mengganggu mesej yang dihantar oleh saraf tunjang ke seluruh badan.

    Ini boleh menyebabkan kesakitan, kelemahan otot, kelumpuhan, masalah deria, atau masalah pundi kencing dan juga usus.

    Namun anda perlu ketahui bahawa kesan sampingan ini amat jarang berlaku.

    Malah, pihak jawatankuasa keselamatan Agensi Perubatan Eropah (EMA) telah menjelaskan bahawa kebaikan atau manfaat vaksin AstraZeneca ini masih kekal sama.

    Jumpa doktor dengan segera jika alami kesan vaksin AstraZeneca ini

    kesan vaksin astrazeneca

    Anda perlu mendapatkan bantuan kecemasan dengan segera jika alami sebarang simptom atau gejala mielitis melintang ini.

    Antara simptom yang perlu anda perhatikan ialah:

    • Rasa sensasi yang tidak normal: Sesetengah individu yang mengalami mielitis melintang melaporkan sensasi kebas, kesemutan, kesejukan atau rasa terbakar. Sesetengah individu juga akan menjadi sangat sensitif terhadap sentuhan ringan, pakaian, atau terhadap haba atau rasa sejuk yang melampau
    • Rasa sakit: Kesakitan mungkin bermula secara tiba-tiba di bahagian bawah belakang anda. Kesakitan yang tajam mungkin akan berlaku pada kaki, lengan, atau di sekitar dada atau perut anda. Rasa sakit ini mungkin berbeza-beza berdasarkan bahagian saraf tunjang anda yang terjejas
    • Masalah pundi kencing dan usus: Anda mungkin akan lebih kerap membuang air kecil, mengalami masalah kencing tidak lawas, atau sukar untuk membuang air kecil. Anda juga mungkin akan mengalami masalah sembelit
    • Rasa lemah pada bahagian lengan dan kaki: Sesetengah individu mungkin terasa berat pada bahagian kaki mereka. Rasanya seolah-olah mereka perlu mengheret kaki mereka untuk bergerak. Malah, ada yang mungkin mengalami kelumpuhan jika gangguan saraf yang dialami begitu teruk

    Berjumpa dengan doktor dalam kadar segera boleh mengurangkan risiko komplikasi yang lebih buruk daripada berlaku. 

    Kesan vaksin AstraZeneca lain

    Sekali lagi ditegaskan bahawa, kesan sampingan yang menyebabkan keradangan tulang belakang ini sangat jarang berlaku.

    Kemungkinannya untuk berlaku itu ada, namun kadar kekerapannya amat rendah di seluruh dunia.

    Selain daripada kesan sampingan tersebut, anda mungkin akan mengalami kesan sampingan lain yang lebih biasa dan lebih ringan.

    Antara kesan vaksin AstraZeneca yang lebih ringan ialah:

    • Badan berasa letih
    • Lokasi suntikan menjadi bengkak, sakit, sengal atau gatal
    • Sakit kepala
    • Sakit otot
    • Sakit sendi
    • Loya tekak
    • Demam 

    kesan vaksin astrazeneca

    Anda juga mungkin akan mengalami cirit-birit, muntah-muntah, kesakitan seperti jangkitan flu dan kekurangan tenaga.

    Namun, kesan-kesan ini agak jarang berlaku dan nisbah kekerapan ia berlaku ialah 1 orang dalam setiap 100 individu.

    Kesan sampingan ini juga boleh berlaku dalam kalangan penerima vaksin jenama lain. 

    Manfaat lebih tinggi daripada kesan sampingan

    Pada masa ini, vaksin bukan lagi pilihan tetapi satu-satunya cara untuk mencegah jangkitan dengan berkesan.

    Kesan sampingan vaksin yang berlaku ini hanyalah bersifat ringan dan sementara sahaja.

    Anda perlu mengetahui bahawa manfaat yang diberikan oleh vaksin ini jauh lebih besar daripada kesan sampingan yang anda alami. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan