backup og meta

Bacaan Kolesterol Tinggi? Ini Cara Yang Terbaik Untuk Menurunkannya, Cubalah!

Bacaan Kolesterol Tinggi? Ini Cara Yang Terbaik Untuk Menurunkannya, Cubalah!

Adakah kolesterol bahaya? Ramai yang tidak tahu kepentingan sebenar merendahkan bacaan kolesterol dalam darah.

Tahukah anda, setiap penurunan sebanyak 1% dalam bacaan kolestrol, risiko untuk menghidap penyakit jantung akan berkurang sebanyak 2%?

Sebenarnya, tahap kolesterol dalam darah amat berkait rapat dengan risiko anda untuk menghidap penyakit jantung.

Malah, semakin tinggi kolesterol dalam darah, semakin tinggilah risiko untuk anda terkena penyakit jantung!

Tahap kolesterol yang tinggi di dalam darah secara amnya tidak akan menunjukkan apa-apa simptom. Oleh sebab itu, ramai orang tidak sedar tahap kolesterol dalam badan mereka tinggi.

Tidak kiralah anda masih muda, sudah berusia, lelaki mahupun wanita – semua orang perlu menurunkan kadar kolesterol masing-masing.

Sebelum kita baca lebih lanjut mengenai langkah menurunkan kolesterol, mari ambil tahu terlebih dahulu apa itu kolesterol serta jenis-jenisnya.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.

Apakah maksud bacaan kolesterol?

bacaan kolesterol
Kolesterol rendah beri kesan positif pada jantung anda.

Jika anda berumur 20 tahun ke atas, anda digalakkan untuk mengambil bacaan kolestrol sekali dalam masa 5 tahun. 

Ujian darah yang dikenali juga dengan nama profil lipoprotein ini akan memberikan informasi mengenai:

  1. Jumlah kolesterol keseluruhan.
  2. Jumlah kolesterol LDL.
  3. Jumlah kolesterol HDL.
  4. Trigliserida (sejenis lemak di dalam darah).

Sebagai panduan, bacaan kolestrol normal anda sepatutnya:

  • Keseluruhan: kurang dari 200 mg/dL (5.2 mmol/L)
  • Trigliserida: <150 mg/dL (4 mmol/L)
  • LDL: <150 mg/dL (4 mmol/L) atau <100 mg/dL (2.6 mmol/L) untuk pesakit diabetes atau <70 mg/dL (1.8 mmol/L) untuk pesakit jantung
  • HDL: >55 mg/dL (1.4 mmol/L) untuk wanita atau >45 mg/dL (1.2 mmol/L) untuk lelaki

*di Malaysia unit yang digunakan kebiasaannya ialah mmol/L

HDL (high-density lipoprotein) merupakan kolesterol baik yang boleh melindungi anda daripada penyakit jantung. Oleh sebab itu, lebih tinggi jumlahnya, lebih baik kesannya terhadap kesihatan anda.

Baiki bacaan kolesterol, ubah gaya hidup!

Ramai pesakit perlu mengambil ubat-ubatan tertentu untuk merendahkan tahap kolesterol dalam badan.

Walau bagaimanapun, jika anda tidak mahu mengambil sebarang ubat atau jatuh sakit disebabkan kolestrol yang tinggi, anda perlu lakukan beberapa perubahan dari segi gaya hidup. 

Sebagai contoh, anda boleh:

1. Makan makanan yang lebih sihat

Pertama sekali, cuba kurangkan makanan yang kaya dengan lemak tepu. 

Sebagai contoh, elakkan pengambilan makanan seperti daging merah dan produk tenusu yang boleh menaikkan kadar kolesterol dalam badan.

Selain itu, banyakkan mengambil makanan yang kaya dengan asid lemak omega-3. Makanan seperti salmon dan kacang walnut amat berkhasiat dan mengandungi pelbagai manfaat untuk mencegah penyakit jantung.

Adakah telur mempunyai kolesterol tinggi? Jawapannya tidak jika diambil dalam jumlah sederhana.

2. Bersenam untuk rendahkan kadar kolesterol

Senaman yang berintensiti sederhana boleh meningkatkan kadar kolesterol HDL di dalam badan. Jika boleh, cuba lakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit 5 kali seminggu.

Selain itu, anda juga boleh tambah aktiviti fizikal seperti berbasikal atau berjalan kaki untuk membantu anda menurunkan berat badan.

3. Berhenti merokok untuk rendahkan bacaan kolesterol

bacaan kolesterol
Antara kesan-kesan negatif asap rokok dan produk tembakau.

Semua orang tahu keburukan yang datang bersama tabiat yang tidak sihat ini. Untuk menurunkan kolestrol dalam badan, anda perlu berhenti merokok.

4. Turunkan berat badan

Cuba turunkan berat badan jika anda mahukan kolestrol yang lebih rendah.

Tukar tabiat makan kepada yang lebih sihat. Sebagai contoh, minum lebih banyak air kosong berbanding air bergula.

Turunkan bacaan kolesterol anda untuk lebih sihat

bacaan kolesterol
Elakkan makanan manis antara cara kurangkan kolesterol.

Walaupun kolesterol diperlukan oleh badan, jumlah yang berlebihan boleh menyebabkan arteri tersumbat lalu mengakibatkan sakit jantung.

Fakta

Masalah kolesterol yang tinggi boleh dielakkan dengan melakukan perubahan dari segi gaya hidup.

Sebagai contoh, cuba berhenti merokok dan turunkan berat badan.

Dua kaedah ini merupakan antara perubahan yang boleh memberi impak positif terhadap tahap kolesterol anda.

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Cholesterol: What you Need to Know About High Blood Cholesterol: Overview.  https://my.clevelandclinic.org/health/articles/17100-cholesterol-what-you-need-to-know-about-high-blood-cholesterol/overview. Accessed February 9, 2021.
  2. Top 5 lifestyle changes to improve your cholesterol. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/high-blood-cholesterol/in-depth/reduce-cholesterol/art-20045935. Accessed February 9, 2021.
  3. High Blood Cholesterol – What You Need to Know. https://www.nhlbi.nih.gov/health-topics/all-publications-and-resources/high-blood-cholesterol-what-you-need-know. Accessed February 9, 2021.
  4. Lower your cholesterol. https://www.nhs.uk/live-well/healthy-body/lower-your-cholesterol/. Accessed February 9, 2021.
  5. High Cholesterol – Causes, Symptoms & Treatments. https://www.bhf.org.uk/informationsupport/risk-factors/high-cholesterol. Accessed February 9, 2021.

Versi Terbaru

26/07/2024

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Ini 5 Tanda Biasa Hipertensi! Pantau Tekanan Darah Anda Guna Alat Ini

10 Jenis Makanan Berkolesterol Yang WAJIB Diambil, Baik Untuk Jantung!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 26/07/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan