Pernahkah anda dengar mengenai prosedur pasang stent jantung? Prosedur ini turut dikenali dengan nama angioplasti. Angioplasti dilakukan untuk membuka atau meluaskan bukaan salur darah arteri yang tersumbat.
Sewaktu prosedur ini dijalankan, satu belon kecil akan dimasukkan ke dalam salur darah arteri yang terjejas. Meskipun begitu, prosedur terkini adalah melibatkan satu wayar pendek yang dikenali sebagai stent jantung.
Stent ini akan diletakkan di dalam salur darah untuk membolehkan darah mengalir tanpa halangan.
Akan tetapi, siapakah yang perlu menjalani prosedur ini? Mari ikuti penjelasan kami secara lebih lanjut dalam artikel di bawah.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.
Mengapa perlu memasang stent jantung?
Jika terdapat halangan seperti lemak, plak atau darah beku yang terbentuk di dalam arteri, aliran darah ke jantung akan terjejas. Keadaan ini boleh mengakibatkan penyakit jantung koronari. Pesakit akan sering sakit dada dan mengalami masalah pernafasan.
Bukan itu sahaja, plak yang terbentuk dalam arteri juga boleh menyebabkan pembentukan darah beku. Darah beku yang pada mulanya melekat pada dinding arteri boleh tercabut lalu mengalir bersama darah ke jantung. Jika ini berlaku, pesakit berisiko untuk mengalami serangan jantung.
Dengan memastikan salur darah sentiasa terbuka, simptom pesakit dapat dikurangkan. Pada masa yang sama, doktor juga boleh memberi ubat-ubatan yang bersesuaian untuk merawat masalah jantung yang sedia ada.
Dalam kebanyakan kes, aliran darah dapat ditingkatkan selepas prosedur angioplasti. Rentetan itu, pesakit juga akan dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih selesa dan berpeluang untuk sembuh.
Jika anda pernah mengalami serangan jantung, angioplasti boleh meningkatkan kebarangkalian anda untuk terus hidup. Malah, prosedur ini juga dapat mengurangkan risiko serangan jantung pada masa hadapan.
Risiko pasang stent jantung
Tidak dapat dinafikan bahawa semua prosedur datang dengan risikonya yang tersendiri. Antara risiko utama angioplasti ialah:
- Salur darah kembali menjadi sempit. Kadangkala, apabila prosedur angioplasti disertakan dengan pemasangan stent, terdapat risiko kecil untuk arteri tersumbat semula. Malah, risiko ini akan semakin meningkat jika stent yang digunakan diperbuat daripada besi.
- Pembentukan darah beku. Darah beku juga boleh terbentuk di dalam stent selepas prosedur. Oleh yang demikian, pesakit perlu mengambil ubat mengikut jadual bagi mengelakkan pembentukan darah beku. Jangan sesekali berhenti mengambil ubat dan membelakangkan arahan doktor.
- Pesakit juga mungkin akan mengalami pendarahan pada kaki atau lengan (tempat kateter dimasukkan). Kadangkala, pendarahan yang serius mungkin berlaku dan pesakit memerlukan transfusi darah.
Selain itu, prosedur pemasangan stent juga boleh mengakibatkan komplikasi seperti:
- Sakit jantung. Walau bagaimanapun, fenomena ini jarang berlaku.
- Kecederaan pada salur darah arteri. Arteri jenis koronari mungkin akan terkoyak atau pecah ketika prosedur. Jika hal ini berlaku, pesakit mungkin perlu menjalani pembedahan kecemasan.
- Masalah buah pinggang. Pewarna (dye) yang digunakan ketika meletakkan stent boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, terutamanya dalam kalangan mereka yang sudah menghidapi masalah buah pinggang.
- Strok. Ketika prosedur angioplasti, serangan strok boleh berlaku jika ada plak yang pecah lalu memasuki aorta.
- Degupan jantung yang tidak normal. Semasa prosedur, jantung boleh berdegup terlalu laju atau perlahan. Masalah ini selalunya tidak kekal lama. Namun, pesakit mungkin akan dibekalkan dengan ubat-ubatan atau memerlukan pemasangan perentak jantung.
Sebelum prosedur angioplasti
Selalunya, angioplasti akan dilakukan apabila pesakit dibawa ke hospital disebabkan kecemasan. Jika anda dimasukkan ke dalam hospital dan perlu melakukan angioplasti, anda perlu:
- Beritahu doktor mengenai ubat-ubatan yang anda ambil, termasuklah sebarang herba yang dibeli tanpa preskripsi.
- Berpuasa, iaitu tidak makan atau minum selama 6 hingga 8 jam sebelum pemeriksaan.
- Beritahu doktor jika anda mempunyai sebarang alahan. Sama jugalah jika anda mengambil Viagra atau sedang hamil.
Selepas prosedur
Selepas prosedur pemasangan stent jantung, pesakit mungkin akan ditempatkan di dalam wad selama 2 hari untuk pemerhatian.
Secara amnya, pesakit yang menjalani prosedur angioplasti memerlukan masa selama seminggu untuk benar-benar sembuh. Pesakit juga boleh bergerak dan berjalan beberapa jam setelah tamatnya prosedur, bergantung kepada keadaan pesakit.
Baca juga:
- Badan Kurus Tapi Kolesterol Tinggi? Jaga-Jaga Ya! Ia Boleh Jadi Punca Serangan Jantung
- Elak Serangan Jantung Kali Kedua, Caranya Jaga Makan! Ubah Diet Anda Sebelum Terlambat
Kesimpulan
Prosedur angioplasti dan pemasangan stent jantung selalunya akan melancarkan peredaran darah. Selepas prosedur ini, pesakit akan berasa lebih sihat dan mampu bersenam.
Walau bagaimanapun, angioplasti tidak akan menyembuhkan penyakit anda. Malah, jika anda tidak berhati-hati, arteri mungkin akan menjadi sempit semula pada masa hadapan.
Pastikan anda mengamalkan diet mesra jantung. Lakukan senaman dan berhenti merokok untuk mengurangkan risiko pembentukan plak dalam arteri. Doktor juga akan membekalkan pesakit dengan ubat-ubatan tertentu untuk merendahkan kolesterol dan mengawal tekanan darah.
Jika anda melakukan prosedur pasang stent jantung, pastikan anda mengikut nasihat doktor untuk mengelakkan sebarang komplikasi pada masa hadapan.
[embed-health-tool-heart-rate]