backup og meta

Ramai Meninggal Dalam Kereta Akibat Serangan Jantung, Ini 8 Perkara Penting WAJIB Tahu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 20/10/2021

    Ramai Meninggal Dalam Kereta Akibat Serangan Jantung, Ini 8 Perkara Penting WAJIB Tahu

    Serangan jantung dan sakit dada kiri sememangnya sesuatu yang menakutkan lebih-lebih lagi jika ia berlaku semasa kita sedang memandu.

    Jika menggunakan telefon, makan sambil memandu dan memandu semasa mabuk boleh meningkatkan risiko kemalangan, apatah lagi jika anda sakit dada sebelah kiri semasa memandu.

    Saban tahun, jumlah kes mereka yang mengalami masalah kardiovaskular di seluruh dunia meningkat.

    Namun, apakah kebarangkalian anda untuk mendapat serangan jantung semasa sedang memandu?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Penyakit Jantung, sila dapatkannya di sini.

    Simptom serangan jantung mungkin berbeza mengikut individu

    Serangan jantung dan sakit dada kiri berlaku apabila aliran darah ke jantung terhalang.

    Keadaan ini boleh terjadi akibat pengumpulan lemak, kolesterol dan bahan lain yang membentuk plak pada dinding arteri jantung.

    Jika plak tersebut pecah dan membentuk darah beku, ia boleh tersekat pada saluran arteri kecil menyebabkan otot jantung kekurangan darah dan mati dalam proses tersebut.

    Pelbagai simptom sakit dada kiri boleh dialami oleh mereka yang menghidap sakit jantung.

    Antara yang lazim adalah:

    • Sakit dada kiri
    • Sakit lengan kiri yang menjalar ke leher, dagu atau belakang badan
    • Loya
    • Pedih ulu hati atau sakit abdomen
    • Sesak nafas
    • Berpeluh sejuk
    • Kelesuan
    • Pening kepala

    Walau bagaimanapun, apa yang anda perlu tahu, bukan semua yang mendapat serangan jantung akan mengalami simptom yang sama.

    Sebagai contoh, tahap keterukan sakit dada boleh mengelirukan pesakit. Ada yang mengalami sakit teruk dan ada yang mengalami sakit yang ringan. 

    Dalam situasi tersebut, mereka yang mengalami sakit ringan kebiasaannya beranggapan ia merupakan simptom masalah lain.

    Padahal apa yang dialami oleh mereka adalah serangan jantung dan perkara ini boleh menjadi teruk sekiranya mereka tidak mendapatkan rawatan dengan kadar segera.

    Bagi pesakit diabetes tidak terkawal pula, simptom sakit dada kiri mungkin tiada. Namun, mereka boleh mengalami simptom lain seperti yang tersenarai.

    Sakit jantung ketika memandu, apa langkah seterusnya?

    sakit dada kiri

    Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh pemandu atau penumpang jika berlaku serangan jantung:

    1. Jika anda sedang memandu dan mengalami simptom serangan jantung, lepaskan pedal minyak secara perlahan-lahan dan cari kawasan yang selamat di bahu jalan atau kawasan rehat untuk memarkir kereta secepat mungkin.
    2. Kalau ada penumpang bersama anda, minta bantuan mereka untuk membelok kereta ke arah yang selamat.
    3. Bawa bertenang. Tidak kiralah sama ada penumpang atau pemandu yang mendapat serangan jantung, panik hanya mencetuskan huru-hara.
    4. Pastikan anda membawa mangsa ke hospital secepat mungkin. Elakkan daripada membawa mereka ke klinik kecil, memandangkan ia tidak mempunyai kelengkapan untuk merawat serangan jantung.
    5. Jika jarak di antara hospital dan anda terlalu jauh, hubungi perkhidmatan kecemasan dan maklumkan kedudukan anda.
    6. Kalau pesakit mempunyai ubat kemam (nitroglycerin) atau aspirin, bantu pesakit untuk mengambil ubat tersebut.
    7. Jika degupan jantung pesakit terhenti, lakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) untuk mengekalkan fungsi otak, mengembalikan aliran darah dan pernafasan.
    8. Jika anda berhampiran dengan pusat membeli-belah, cari mesin defribilator automatik. Mesin ini boleh membaca ritma jantung dan menghantar kejutan elektrik mengikut keperluan semasa.

    Adakah saya masih boleh memandu kereta jika alami masalah jantung?

    sakit dada kiri

    Secara amnya, jika anda mengalami sebarang masalah kesihatan yang boleh menyebabkan anda hilang kawalan stereng kereta, anda tidak disarankan memandu.

    Terdapat beberapa perkara yang kebiasaannya menjadi faktor bagi menentukan keupayaan seseorang itu untuk memandu:

    • Jika keadaan kesihatan anda boleh menyebabkan anda pengsan semasa memandu seperti epilepsi, aritmia dan hilang kesedaran
    • Jika keadaan kesihatan boleh mempengaruhi keupayaan anda untuk memandu dengan selamat seperti kecacatan tubuh, rabun warna, cacat penglihatan, masalah mental dan kebergantungan terhadap dadah dan alkohol

    Jika anda mengalami masalah kesihatan yang berkaitan, anda akan diperiksa oleh doktor bagi mengenal pasti keupayaan anda untuk memandu.

    Dalam kes tertentu, anda mungkin ditegah daripada memandu memandangkan keadaan kesihatan anda serius.

    Namun, sepantas mana anda boleh kembali memandu bergantung kepada:

    • Jika anda masih mengalami sebarang simptom sakit dada kiri 
    • Jenis rawatan yang pernah anda terima
    • Berapa cepat anda sembuh

    Jika anda baru lepas menjalani sebarang pembedahan atau prosedur kesihatan, rujuk kepada doktor jika anda boleh memandu.

    Kebanyakan prosedur, terutamanya yang membenarkan pesakit balik pada hari yang sama tidak menyarankan anda memandu.

    Jika berlaku sedemikian, pastikan anda membawa teman untuk memandu selepas semuanya selesai.

    Konklusi

    Serangan jantung hingga menyebabkan sakit dada kiri ketika memandu boleh mendatangkan kesan buruk bukan sahaja kepada pemandu, malah penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.

    Sekiranya anda mempunyai masalah jantung atau kesihatan kronik lain sehingga menjejaskan keupayaan anda untuk memandu dengan selamat, rujuk kepada doktor yang bertauliah.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 20/10/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan