Apabila menyebut mengenai makanan viral, pastinya akan terbayang berbagai-bagai jenis makanan dan juga minuman, betul tak?
Tidak dinafikan makanan dan minuman tersebut nampak menyelerakan dan sedap untuk dinikmati. Tetapi dari aspek kesihatan, bagaimana? Dalam perkongsian artikel ini ada jawapannya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.
Makanan viral sana sini
Sebagai rakyat Malaysia, kita sememangnya beruntung kerana negara kita ini kaya dengan variasi jenis makanan daripada pelbagai kaum.
Sudah menjadi lumrah sebagai manusia untuk mempunyai keinginan mencuba sesuatu yang baharu. Lebih-lebih lagi jika ia adalah sesuatu yang unik. Disebabkan itu terciptanya pelbagai idea kreatif oleh penjual makanan.
Apabila sesuatu jenis makanan atau minuman itu menjadi buah mulut serta tarikan ramai, maka secara tidak langsung ia akan menjadi popular. Kesannya, akan berpusu-pusulah orang ramai untuk mencubanya. Daripada situlah lahirnya makanan viral!
Tetapi adakah makanan yang diviralkan ini baik untuk kesihatan?
Makanan viral vs aspek kesihatan
Berikut dikongsikan beberapa jenis makanan dan minuman yang diviralkan:
1. Teh tarik dalam tin
Dahulu pernah viral mengenai minuman ini. Sejujurnya ia cuma air teh tarik yang boleh didapati di mana-mana kedai makan.
Tetapi apa yang membuatkan minuman dihasilkan di sebuah kedai kopi di Pulau Pinang ini viral adalah kerana ia dihidangkan di dalam bekas tin susu.
Kebimbangan tercetus di sini kerana ia menggunakan bekas tin susu (krimer manis) yang dikitar semula.
Ini kerana penggunaan tin bekas susu dan tin-tin lain yang dikitar semula bagi tujuan penyediaan minuman boleh memberikan risiko kepada pengguna. Ia juga dikhuatiri boleh mencederakan pengguna semasa minum disebabkan permukaan tin yang tajam.
Selain itu wujud risiko keracunan makanan jika tin yang digunakan kotor, berkarat atau sebagainya.
2. Bubble tea
Fenomena minuman bubble tea atau lebih dikenali sebagai air boba mula menjadi viral sejak beberapa tahun lepas.
Bahkan sehingga ke hari ini wujud banyak cawangan kafe di seluruh Malaysia yang menyediakan minuman viral boba.
Namun dari aspek kesihatan, adakah air boba yang berasal dari Taiwan ini baik untuk diminum?
Dalam kebanyakan kes, bubble tea ini mengandungi paras gula yang tinggi. Ia dikaitkan dengan masalah kesihatan kronik jangka panjang seperti diabetes, obesiti, penyakit kardiovaskular, penyakit hati berlemak bukan alkohol (NAFLD), penurunan kognitif dan beberapa jenis kanser.
Pengambilan minuman bergula ini juga dikaitkan dengan lemak badan yang lebih tinggi pada anak kecil.
3. Kunafa, antara makanan viral
Bagi mereka yang gemarkan makanan Arab, sudah tentu kalian pernah menikmati hidangan pencuci mulut Kunafa. Ia kini merupakan antara makanan yang sedang popular dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Umumnya, pencuci mulut tradisional dari Timur Tengah ini dibuat dengan pastri berputar dipanggil kataifi dan direndam dalam sirap manis berasaskan gula disebut sebagai attar.
Makanan ini biasanya dilapisi dengan keju atau bahan lain seperti krim beku, pistachio atau kacang lain.
Dari aspek kesihatan, kunafa merupakan makanan yang tinggi kandungan gulanya. Ia tidak seharusnya diambil secara berlebihan kerana boleh mencetuskan pelbagai risiko kesihatan.
Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan pengambilan gula tambahan haruslah dihadkan, tidak lebih daripada 10% penggunaan tenaga harian kita.
Dengan erti kata lain, jumlah purata pengambilan gula tambahan untuk seorang dewasa sepatutnya tidak boleh melebihi 10 sudu teh sehari atau sebanyak 50 gram sehari.
Baca juga: