Ikan yang disimpan dalam peti ais perlulah tahan lama agar ia boleh dimasak pada bila-bila masa apabila perlu. Jika ikan tidak disimpan dengan cara yang betul, dikhuatiri ia akan cepat busuk, malah mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan dalam peti ais anda. Jadi, apa teknik dan cara menyimpan ikan yang betul? Ini beberapa kaedah simpan ikan dalam freezer yang anda kena buat.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Teknik dan cara menyimpan ikan yang betul
Untuk menyimpan ikan dalam peti sejuk, ia bukanlah soal petua semata-mata. Tetapi, ia melibatkan keseluruhan proses daripada peringkat pemilihan ikan, hinggalah ke fasa penyimpanan.
Oleh itu, kami berikan beberapa tip simpan ikan dalam freezer yang anda kena tahu.
#1. Pilih ikan segar
Langkah pertama sebelum menyimpan ikan semestinya adalah memilih ikan yang segar.
Ini kerana, sebaik mana pun anda menyimpan ikan dalam peti sejuk, ia akan mudah busuk jika tidak segar.
Adalah lebih baik untuk anda mendapatkan ikan-ikan yang baru dinaikkan dari laut di pasar pada waktu pagi.
Ikan segar biasanya dijual pada waktu pagi kerana pada waktu itu nelayan baru pulang dari laut.
#2. Bersihkan ikan dengan baik
Tip kedua sebelum anda tahu cara menyimpan ikan adalah menyiang ikan sehingga benar-benar bersih.
Membersih dan menyiang ikan boleh mengurangkan risiko perkembangan bakteria yang boleh menyebabkan ikan cepat busuk.
Berikut adalah cara menyiang ikan dengan betul:
- Basuh bersih ikan dengan air paip
- Kemudian, bagi ikan yang bersisik, bersihkan dulu sisiknya dengan menggunakan pisau. Sisik ikan perlu ditanggalkan terlebih dahulu sebelum dibelah bagi mengelakkan isi ikan hancur
- Belah sedikit di bawah perutnya dan tarik keluar segala isi perut dan juga insang ikan
- Anda juga boleh memotong kepala ikan jika mahu
- Potong segala sirip dan ekornya agar ikan nampak lebih cantik
- Basuh bersih segala darah ikan agar ikan tidak cepat busuk
#3. Simpan dalam bekas kedap udara
Bekas kedap udara amat penting untuk menyimpan ikan.
Pertamanya, ia boleh mengelakkan air ikan daripada tumpah ke dalam peti ais. Kedua, ia mengurangkan bau ikan daripada mencemari keseluruhan peti ais.
Jika anda mahu menjimatkan ruang, anda juga boleh menggunakan plastik atau beg penyimpanan yang boleh ditutup semula (resealable bag).
Ia juga kedap udara dan lebih menjimatkan ruang penyimpanan dalam freezer.
#4. Cara menyimpan ikan: Masukkan dalam bekas berisi air
Ada satu petua yang dikongsikan mengenai cara simpan ikan untuk tahan lama.
Caranya ialah, anda siang ikan dengan bersih terlebih dahulu dan toskan. Kemudian, masukkan ikan ke dalam bekas mengikut kuantiti untuk satu kali masak.
Setelah itu, masukkan air ke dalam bekas sehingga menutupi ikan tersebut.
Simpan bekas ikan dalam peti sejuk dan keluarkan apabila hendak dimasak. Biarkan ais cair terlebih dahulu sebelum dimasak.
#5. Simpan pada suhu yang optimum
Salah satu cara menyimpan ikan yang paling penting adalah menyimpannya pada suhu yang rendah.
Suhu bahagian freezer mestilah berada pada 4 darjah Celsius atau lebih rendah daripada itu. Suhu yang rendah boleh merencatkan pertumbuhan dan pembiakan bakteria pada ikan.
Cara ini juga bukan sahaja mengelakkan mikroorganisme daripada berkembang, tetapi juga menghindari kejadian keracunan makanan akibat daripada makanan yang telah tercemar.
#6. Letakkan pada bahagian dalam freezer
Elakkan meletakkan bekas ikan berdekatan dengan pintu peti sejuk.
Ini kerana, kawasan tersebut merupakan kawasan yang paling kurang sejuk dengan suhu yang tidak stabil berbanding bahagian dalamnya.
Selain itu, ia juga boleh menyebabkan air ikan menitis pada pintu peti sejuk.
Oleh itu, simpan bekas ikan di bahagian dalam atau belakang freezer agar ia lebih cepat beku dan suhu ikan sentiasa stabil.
Penting ketahui cara menyimpan ikan
Kami percaya hampir semua orang tahu cara simpan ikan tahan lama dengan betul.
Cuma ada kalanya teknik dan cara bekukan ikan itu agak kurang tepat atau salah.
Oleh itu, fahami tip-tip yang kami kongsikan di atas ini sebelum anda menyimpan ikan dalam peti sejuk.
[embed-health-tool-bmi]