backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Ini 6 Jenis Obesiti Anda MESTI Tahu! Orang Badan Kurus Pun Ada Yang Obes!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 04/08/2021

    Ini 6 Jenis Obesiti Anda MESTI Tahu! Orang Badan Kurus Pun Ada Yang Obes!

    Kita mungkin beranggapan bahawa hanya terdapat satu jenis obesiti sahaja iaitu disebabkan oleh pemakanan. Namun sebenarnya, terdapat beberapa lagi jenis kegemukan yang boleh berlaku kerana pelbagai punca lain.

    Ini 6 jenis kegemukan yang mungkin anda alami.

    Orang kurus tidak alami obesiti?

    Apabila kita menyebut mengenai kegemukan atau obesiti, imej pertama yang terbayang di fikiran pastinya sosok tubuh yang gemuk atau memiliki perut yang buncit.

    Namun, isu obesiti ini tidak selalu begitu.

    Ini kerana, pengumpulan lemak bukan hanya berlaku di bahagian perut sahaja, tetapi ia juga boleh wujud di bahagian tubuh atau organ yang lain.

    Oleh sebab itu, ada juga individu yang kurus yang dikategorikan sebagai individu obes.

    Kesemua ini bergantung kepada gaya hidup yang dijalani berserta ciri-ciri seseorang individu tersebut. 

    Jenis kegemukan yang perlu anda tahu

    Berikut ialah enam jenis kegemukan yang biasa berlaku dalam masyarakat kita:

    Jenis kegemukan 1: Kegemukan akibat pemakanan

    jenis kegemukan

    Antara jenis obesiti yang paling kerap berlaku ialah obesiti yang berpunca daripada pemakanan.

    Pemilihan jenis makanan atau cara pemakanan yang tidak sihat sememangnya boleh mempengaruhi kenaikan berat badan anda.

    Ini kemudiannya boleh menyebabkan obesiti.

    Contohnya, apabila anda makan dengan terlalu banyak dan tidak bersenam, maka lemak tubuh akan semakin meningkat.

    Selain itu, obesiti juga berlaku disebabkan pengambilan makanan yang tinggi kalori dan rendah nutrisi seperti makanan bergula dan makanan ringan. 

    Jenis obesiti 2: Obesiti kerana kurang bersenam

    Selain daripada pemakanan, masyarakat kita juga biasa mengalami obesiti disebabkan kurang bersenam atau menjalani kehidupan yang tidak aktif.

    Sekiranya anda mempunyai pengumpulan lemak di sekitar dada sehingga perut di bahagian bawah, atau di bahagian punggung, ia mungkin disebabkan oleh kurangnya aktiviti bersenam.

    Untuk mengurangkan pengumpulan lemak di kawasan tubuh, setiap individu disarankan untuk bersenam setiap hari.

    Anda disarankan untuk bersenam sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.

    Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah seperti berjalan laju, berjoging, berbasikal atau berkebun. 

    Jenis kegemukan 3: Kegemukan kerana berasa cemas

    Mungkin ramai yang tidak tahu, rasa cemas atau tertekan yang berlebihan juga boleh menjadi salah satu jenis kegemukan yang anda tidak sedar.

    Rasa cemas boleh mempengaruhi hormon tertentu di dalam tubuh anda.

    Apabila anda mengalami pelbagai jenis perasaan yang buruk seperti cemas atau tertekan, anda cenderung untuk mempunyai nafsu makan yang lebih tinggi.

    Tidak hairanlah jika ramai individu menjadikan waktu makan sebagai waktu untuk melepaskan perasaan mereka.

    Antara tanda jika anda mengalami obesiti akibat rasa cemas adalah dengan pengumpulan lemak pada perut di bahagian bawah. 

    Jenis obesiti 4: Obesiti vena

    jenis kegemukan

    Jenis obesiti ini berlaku disebabkan aliran pembuluh darah vena yang tersumbat.

    Ada banyak faktor yang boleh menyebabkan pembuluh darah vena ini tersumbat.

    Faktor yang paling kerap berlaku adalah disebabkan oleh faktor keturunan, di mana ada ahli keluarga anda yang pernah mengalami penyumbatan pembuluh darah.

    Jika hal ini berlaku, anda amat berisiko untuk mengalami obesiti berbanding mereka yang tidak mempunyai sejarah keluarga berkaitan keadaan ini.

    Antara punca lain yang menyebabkan saluran vena tersumbat adalah pengambilan makanan yang tinggi lemak.

    Jadi, untuk mengurangkan risiko seperti ini, anda disarankan untuk bersenam setiap hari bagi mengurangkan kadar lemak dalam tubuh.

    Antara tanda anda mengalami obesiti jenis ini ialah terdapatnya pengumpulan lemak pada bahagian punggung dan juga kaki. 

    Jenis kegemukan 5: Kegemukan gluten

    Berbanding jenis kegemukan yang lain, kegemukan gluten lebih banyak dialami oleh wanita yang sudah memasuki fasa menopaus.

    Walaupun hubungan antara gluten dengan obesiti ini masih tidak begitu jelas, namun obesiti lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita yang mengalami penurunan keseimbangan tubuh.

    Antara ciri-ciri jika anda mengalami kegemukan gluten ialah terdapat lemak yang berlebihan pada bahagian pinggang. 

    Jenis obesiti 6: Obesiti aterogenik

    Jenis obesiti ini biasanya dikaitkan dengan keadaan kerintangan insulin.

    Insulin merupakan sejenis hormon penting yang berfungsi mengawal paras gula darah dan mengubah tenaga makanan menjadi lemak.

    Sewaktu aktiviti pencernaan berlangsung, insulin akan merangsang sel otot, lemak dan juga hati untuk menyerap glukosa. Ia akan berfungsi sebagai tenaga tubuh dan juga simpanan lemak.

    Namun begitu, obesiti disebabkan kerintangan insulin biasa berlaku kerana sel tubuh tidak dapat mengeluarkan glukosa ini daripada darah disebabkan pengambilan lebih banyak kalori ketika makan.

    Kesannya, tubuh menyerap terlalu banyak glukosa, ini yang kemudiannya menyebabkan peningkatan berat badan.

    Apabila ia tidak dikawal, maka obesiti lebih mudah berlaku. 

    Kesimpulan 

    Ada juga obesiti yang tidak dapat dikira berdasarkan indeks jisim tubuh (BMI).

    Ia mungkin ditentukan berdasarkan pemerhatian terhadap keadaan kesihatan, gaya atau pola pemakanan sehinggalah kepada kekerapan bersenam.

    Dengan melihat kepada penyebab-penyebab jenis obesiti ini, doktor akan lebih mudah untuk memberikan nasihat atau kaedah rawatan yang sesuai dengan keadaan anda. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 04/08/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan