backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan

Terlebih Gula Punca Hiperaktif, Mitos @ Fakta? Ini Kebenarannya…

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 16/03/2022

Terlebih Gula Punca Hiperaktif, Mitos @ Fakta? Ini Kebenarannya…

Pernah dengar mengenai istilah sugar rush kesan daripada pengambilan gula berlebihan? Ia keadaan di mana seseorang menjadi lebih bertenaga atau hiperaktif selepas mengambil gula atau makanan manis dalam kuantiti yang banyak. 

Umumnya, ia dianggap fenomena biasa dalam kalangan ibu bapa. Namun apakah konsep itu benar atau sekadar rekaan semata-mata?

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan, sila dapatkannya di sini.

Teori hiperaktif kesan pengambilan gula berlebihan 

Benarkah gula yang menjadi penyebabnya? Ia dianggap benar satu ketika dahulu, namun dalam sains moden, tidak sama sekali.

Teori popular yang mengaitkan antara gula dan kesan hiperaktif adalah dicipta oleh Pakar Alahan, Dr Benjamin Feingold pada tahun 1973. 

Beliau menyarankan untuk menyingkirkan bahan tambahan dalam makanan seperti pewarna dan perisa tiruan daripada diet harian kanak-kanak kerana ia mungkin penyebab mereka hiperaktif. 

Walaupun diet yang disyorkan tidak menyebut mengenai gula, namun ia diletakkan di bawah kategori bahan tambahan selepas wujud kepercayaan umum bahan tersebut mempengaruhi tingkah laku.

pengambilan gula berlebihan

Kajian kesan gula terhadap kanak-kanak

Melalui pelbagai eksperimen, saintis tidak menemukan sebarang bukti kukuh untuk menyokong dakwaan bahawa gula boleh mengakibatkan hiperaktif. 

Sebagai contoh, pemerhatian daripada University of Kentucky mendapati, menambah dan menyingkirkan bahan tambahan makanan dalam diet kanak-kanak hanya mewujudkan isu hiperaktif daripada ibu bapa walaupun ujian klinikal objektif membuktikan sebaliknya.

Sebuah kajian lain turut dilakukan oleh University of Iowa melibatkan 2 kumpulan kanak-kanak – prasekolah biasa dan mereka yang dilaporkan sensitif terhadap gula. 

Kedua-dua kumpulan ini diberikan sukrosa, aspartam atau sakarin – 2 bahan terakhir dipercayai tidak memberi kesan ke atas tingkah laku.

Selepas ujian hiperaktif, tiada sebarang perbezaan ketara dalam tingkah laku kanak-kanak yang terlibat.

Baca juga:

Kesan pengambilan gula berlebihan kepada individu dewasa

Namun penyelidikan berkaitan mitos ini daripada University of Warwick, Humboldt University of Berlin dan Lancaster University mendapati, wujud kesan sebaliknya – gula cenderung memburukkan emosi. 

Pengkaji menggunakan data daripada 31 kajian yang telah diterbitkan melibatkan anggaran 1,300 individu dewasa. 

Pelbagai aspek emosi seperti kemarahan, kewaspadaan, kemurungan dan keletihan diambil kira. Selain itu, penyelidik juga mempertimbangkan jenis dan kuantiti gula serta jumlah aktiviti fizikal dan mental yang dilakukan peserta.

Daripada penemuan jelas menunjukkan dakwaan mitos sugar rush tersebut adalah tidak berasas – jika wujud perubahan, gula mungkin akan membuatkan diri berasa lebih teruk – cepat letih dan kurang berwaspada.  

Hanya mitos semata-mata 

Malah pada 1982, National Institute of Health (NIH) mengumumkan bahawa tiada kaitan antara gula dan hiperaktif dan ia telah dibuktikan secara saintifik.

Tetapi mengapa mitos ini masih berterusan? Ia mungkin lebih bersifat psikologi. 

Seperti dalam kajian yang dinyatakan, ia wujud kerana ibu bapa mempercayai terdapat hubungan antara gula dan hiperaktif. Walaupun hakikatnya tiada. 

Kemungkinan lain adalah anak biasanya cenderung lebih teruja pada acara keraian seperti parti hari jadi di mana makanan manis sering disajikan. Jadi ia sekali gus mewujudkan korelasi antara persekitaran yang patut dipersalahkan berbanding makanan.

Pun begitu, ia tidak bermaksud anda boleh membiarkan anak menikmati makanan manis dan tinggi kandungan gula tanpa kawalan, kerana ia boleh menjadi faktor penyumbang kepada masalah kesihatan seperti obesiti, diabetes dan kerosakan gigi.

pengambilan gula berlebihan

Pengambilan gula berlebihan, ini rasanya

Siapa yang tidak pernah mempunyai keinginan untuk makan makanan manis, kan?

Tidak dinafikan pengambilan gula dalam jumlah yang banyak adalah antara paling tidak sihat untuk anda lakukan kepada badan.

Keadaan sugar rush biasa terjadi apabila anda mengambil gula dengan banyak secara mendadak. 

Berikut antara kemungkinan gejala sugar rush:

Keinginan makan makanan manis, bergula

Makan makanan manis dan bergula dalam kuantiti tinggi boleh mengakibatkan wujud keinginan untuk mengambil lebih banyak gula.

Makanan diproses dan dibakar seperti biskut, kek, brownies, soda, jus dan gula-gula juga boleh menjadi punca sugar rush

Selain itu, pelbagai makanan siap dibungkus juga mempunyai gula tersembunyi dalam bentuk seperti glukosa, maltosa, sukrosa dan laktosa. 

Peningkatan tenaga

Kebanyakan individu mencari makanan manis untuk tenaga segera. Namun ia hanya bertahan sekitar 30-40 minit sahaja.

Gejala seperti pening, kewaspadaan dan tenaga banyak dikaitkan dengan peningkatan pengambilan kadar gula. 

pengambilan gula berlebihan

Rasa lapar selepas pengambilan gula berlebihan 

Selepas pengambilan makanan bergula, tubuh cenderung menghasilkan dos insulin yang tinggi untuk melawan gula yang banyak.

Apabila keadaan sugar rush berakhir, ia akan mengakibatkan paras gula dalam darah menjadi rendah dan menyebabkan anda berasa lapar walaupun selepas makan.

Keletihan 

Tubuh memerlukan lebih banyak tenaga semasa mencerna makanan bergula yang akhirnya akan mengakibatkan anda kurang bertenaga.

Produk makanan seperti gula-gula, makanan siap bungkus serta kek tidak memberikan manfaat pemakanan dan akhirnya membuatkan diri berasa lesu dan keletihan. 

Elakkan pengambilan gula berlebihan

Jadi terbukti teori pengambilan gula dengan banyak punca sugar rush adalah mitos. 

Namun gula berlebihan masih tidak baik untuk kesihatan kerana boleh mengakibatkan diabetes dan pelbagai masalah kesihatan lain – selain hiperaktif. Jadi kawallah pengambilan gula harian anda!

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.



Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 16/03/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan