Lazimnya, individu hanya minum barli ketika mereka sedang demam atau tidak sihat sahaja. Sedangkan, mungkin ada banyak lagi kebaikan air barli yang tidak ramai orang tahu. Jom baca artikel ini!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Barli, bijian yang popular sebagai minuman
Sebelum pergi dengan lebih lanjut, anda perlu tahu bahawa barli adalah sejenis bijian yang berasal daripada keluarga gandum dan biasa dijadikan sebagai bahan asas dalam pembuatan roti dan biskut.
Selain popular di dalam masakan dan makanan, bijian ini juga biasa dijadikan sebagai minuman herba orang dulu. Ia dipercayai mampu membantu merawat kondisi demam pada suhu yang sederhana.
Disebabkan rasa yang agak kosong di mana ia tidak manis dan tidak pula masam atau masin, air ini mungkin kurang popular dalam kalangan golongan muda terutama kanak-kanak, remaja dan belia.
Usah tunggu sampai demam baru hendak minum air ini, terdapat banyak kelebihan minum barli terhadap kesihatan!
Ini kebaikan air barli kepada kesihatan anda!
Siapa sangka bahawa minuman yang berasal daripada bijian ini sangat berkhasiat dan bermanfaat pada tubuh badan?
Buat anda yang masih ragu-ragu dan tidak percaya, berikut adalah antara kebaikan air barli kepada kesihatan kita semua:
#1. Menstabilkan tekanan darah tinggi
Menurut kajian terbitan Journal of the American Dietetic Association, dipercayai bahawa peningkatan pengambilan makanan yang berasaskan bijirin atau bijian mungkin mampu menstabilkan tekanan darah tinggi.
Ini kerana ia sarat dengan kandungan kalium, kalsium dan magnesium yang boleh membantu mengawal masalah itu.
Kebaikan air barli #2. Menguatkan tulang
Kedua, minuman ini juga kaya dengan zat besi, fosforus, kalsium, magnesium, mangan dan zink yang akan membantu menyumbang kepada pertumbuhan dan pengekalan jisim serta struktur tulang.
Pun begitu, pengambilan fosforus dan kalsium itu perlu seimbang kerana fosforus yang terlalu banyak dengan kalsium yang terlalu sedikit mungkin akan meningkatkan lagi risiko kondisi osteoporosis.
Kebaikan air barli #3. Melegakan perut
Ketiga, minuman ini turut mampu membantu merangsang proses pengeluaran sisa makanan melalui salur pencernaan dan penghadaman ekoran ia mengandungi kandungan serat yang sangat tinggi.
Dalam pada itu, ia boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria baik selain merencatkan pertumbuhan bakteria jahat di dalam perut sekali gus meningkatkan lagi aktiviti probiotik yang amat diperlukan.
#4. Meminimumkan risiko sakit jantung
Menariknya, bijian ini kaya dengan niasin yang merupakan subjenis vitamin B di mana ia akan mengurangkan jumlah kolesterol jahat atau LDL.
Niasin ini boleh membantu mencegah radikal bebas selain menghindar agregasi platelet yang sama penting bagi tujuan serupa seperti di atas tadi.
Dengan kelebihan tadi, air barli mungkin boleh membantu mengurangkan kolesterol tidak baik sekali gus berpotensi untuk menstabilkan tekanan darah dan serangan jantung yang boleh mendatangkan bahaya!
#6. Sesuai untuk mereka yang sedang berdiet
Kebaikan air barli yang seterusnya adalah ia mampu membantu usaha individu untuk mengawal berat badan kerana ia sangat tinggi dengan pelbagai jenis asid amino penting selain sarat dengan serat.
Jika hendak dibandingkan dengan bijian atau bijirin yang lain, ia paling rendah kalori namun boleh membuat individu kenyang lebih lama. Kesannya, anda tidak akan makan pada kadar lebih banyak.
Kelebihan minum barli #5. Mengurangkan radang
Akhir sekali, tabiat kerap minum air ini yang tinggi kolin mampu membantu merawat keradangan dalam tubuh badan.
Di samping itu, ia juga mungkin boleh membantu tubuh badan memperbaiki isu atau masalah berkaitan dengan tidur, otot, otak, sel serta sistem saraf meskipun tahap keberkesanannya berbeza bergantung individu.
Patutkah bijian ini dijadikan minuman harian?
Memandangkan ia memang terbukti banyak manfaat dan khasiat, ramai mungkin tertanya waktu sesuai minum air barli? Adakah ia hanya bagus ketika anda sedang sakit atau pada bila-bila masa?
Untuk pengetahuan anda semua, tiada masalah untuk minum air ini pada setiap hari walaupun ketika anda sedang sihat, ekoran ia sangat sesuai dijadikan sebagai minuman ruji.
Apa yang individu perlu jaga-jaga adalah kalau anda ada kondisi alergi gandum atau sebarang alahan berkaitan dengan bijian dan bijirin tertentu. Dapatkan maklumat dan nasihat doktor tentangnya.
[embed-health-tool-bmr]