Siapa suka makan ikan keli, angkat tangan! Ikan keli goreng sangat sedap dimakan dengan nasi panas. Makin berselera rasanya kalau ada air asam atau sambal belacan. Namun, bukan semua orang suka masak ikan keli. Ikan sungai selalunya lebih sukar disiang. Baunya juga lebih hanyir.
Tetapi, goreng ikan keli bukanlah sesukar yang anda sangkakan. Dengan beberapa tip yang bakal kami sediakan dalam artikel ini, anda boleh jadi pro dalam masa 5 minit!
Mungkin ramai yang tidak tahu, ikan keli merupakan makanan yang sangat berkhasiat. Kandungan kalori dan garamnya juga rendah.
Bukan itu sahaja, ikan ini juga sumber pelbagai jenis nutrien, terutamanya lemak sihat seperti asid lemak omega-3 dan 6.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Fakta nutrisi ikan keli
Ikan keli merupakan sumber protein yang bagus. Ia merangkumi hampir 49% keperluan harian protein kita.
Malah, 159 gram ikan keli mengandungi vitamin dan mineral seperti di bawah:
- 10 peratus daripada nilai harian (DV) untuk vitamin E
- 38 peratus DV untuk tiamin (vitamin B1)
- 7 peratus DV untuk riboflavin (vitamin B2)
- 18 peratus DV untuk niasin (vitamin B3)
- 10 peratus DV untuk asid pantotenik (vitamin B5)
- 15 peratus DV untuk vitamin B6
- 65 peratus DV untuk vitamin B12
- 9 peratus DV untuk magnesium
- 32 peratus DV untuk fosforus
- 14 peratus DV untuk kalium
- 29 peratus DV untuk selenium
- 8 peratus DV untuk zink
Ikan keli goreng juga mengandungi 1-4% vitamin penting seperti vitamin A, folat, vitamin C, kalsium, zat besi dan mangan.
Selain itu, ia juga mengandungi kolina dan lemak sihat seperti asid lemak omega-3 dan omega-6. Lemak ini sangat baik untuk pastikan jantung kita sentiasa sihat.
Cara untuk masak ikan keli goreng
Inginkan ikan keli yang garing dan berbunyi krup krap krup krap ketika dikunyah?
Sebenarnya, ada beberapa ‘rahsia’ memasak yang perlu anda tahu untuk pastikan ikan keli tidak meletup dan kekal garing. Antaranya:
1. Pilih ikan yang bersaiz sederhana
Jika anda inginkan ikan goreng yang garing, pilih yang bersaiz sederhana.
Selalunya, ikan yang bersaiz besar kurang sedap dan tidak berlemak. Kemudian, pastikan anda gunakan kuali besar dan minyak yang panas semasa menggoreng.
2. Bersihkan ikan dengan betul
Ikan keli mengandungi banyak cecair dan lendir. Untuk membersihkan ikan keli dan mengurangkan bau hanyir, cuba:
- Gunakan limau nipis. Kemudian campurkan bersama garam. Lumurkan pada ikan untuk kurangkan hanyir.
- Cuci dengan tepung gandum. Lumurkan dengan serbuk kunyit dan garam. Anda juga boleh perap ikan selama 15 minit sebelum goreng.
- Letakkan beberapa potong halia untuk kurangkan minyak merecik.
- Sebelum sediakan ikan keli goreng, masukkan dua hingga tiga asam keping untuk elakkan minyak merecik dan ikan meletup. Asam jawa juga dapat memejalkan isi ikan. Jadi, ikan tidak akan berderai.
- Kelar ikan keli sebelum masak. Tetapi, ini adalah opsyenal. Jika ikan keli tersebut bersaiz kecil, anda tidak perlu kelar terlalu banyak.
3. Goreng satu persatu, jangan gopoh!
Salah satu cara untuk elakkan ikan keli meletup adalah dengan menggorengnya mengikut saiz kuali.
Jangan letakkan ikan banyak-banyak sampai penuh. Jika tidak, ikan akan lambat masak dan kebarangkalian untuk meletup juga akan semakin tinggi.
4. Masih takut? Bungkus ikan keli goreng dengan daun pisang
Terbeli ikan keli yang bersaiz besar dan rasa takut untuk menggorengnya? Balut sahaja dengan daun pisang. Kemudian, goreng dalam minyak panas seperti biasa. Mudah, cepat dan selamat!
Apabila sudah masak, daun pisang akan terlerai dengan sendiri. Bau yang dihasilkan juga lebih semerbak dan isi pun lebih manis dan sedap.
Baca juga:
- Sedap, Berkhasiat Dan Paling Penting, Murah! Ini 5 Jenis Ikan Laut Yang Perlu Anda Cuba!
- Minyak Meletup-letup Masa Goreng Ikan, Cuba 6 Tip Ini Untuk Pastikan Ikan & Cantik Kejadiannya!
5. Tutup periuk ketika sediakan ikan keli goreng
Haa, ini cara yang paling mudah untuk elakkan minyak terpercik ke muka. Semasa terbalikkan ikan, rendahkan suhu sedikit dan buka penutup dengan perlahan-lahan, barulah minyak tidak terpercik!
Akan tetapi, elak balik-balikkan ikan terlalu kerap. Jika tidak berhati-hati, ikan akan melekat dan isinya akan berderai.
Kalau anda mahu pisahkan ikan dengan selamat, gunakan gunting. Barulah isinya kekal cantik!
[embed-health-tool-heart-rate]