Durian belanda atau nama saintifiknya, Annona muricata merupakan sejenis buah yang berasal dari Amerika Selatan. Tahukah anda, terdapat banyak khasiat durian belanda untuk ibu hamil, salah satunya adalah dapat mengurangkan morning sickness yang dialami oleh para ibu!
Walaupun diselaputi duri, durian belanda mempunyai rasa yang sangat manis dan lemak berkrim. Untuk wanita yang tidak mempunyai selera makan, durian belanda didapati sangat berkesan untuk membantu mengurangkan rasa lapar.
Malah, kandungan seratnya yang tinggi juga dapat mencegah ibu hamil daripada mengalami sembelit.
Durian belanda amat sedap dimakan begitu sahaja. Walau bagaimanapun, bijinya perlu dibuang kerana ia toksik terhadap badan.
Jangan lupa, durian belanda merupakan buah yang bersaiz besar dengan kandungan gula yang sangat tinggi.
Malah, sebiji buah boleh mengandungi sekitar 70 hingga 80 gram gula. Jadi, elakkan makan sebiji durian belanda sekali gus, lebih-lebih lagi jika anda menghidap kencing manis.
Fakta nutrisi durian belanda
Seperti kebanyakan buah-buahan, durian belanda merupakan sumber serat, vitamin dan mineral yang pelbagai.
Secawan durian belanda (225 gram) mengandungi:
- 148 kalori.
- 2.25 gram protein.
- 7.42 gram serat.
- 37.8 gram karbohidrat.
- 30 gram gula.
Selain serat, durian belanda juga mengandungi vitamin C, potasium dan magnesium yang amat bermanfaat untuk ibu hamil.
Malah, ia juga mengandungi antioksidan yang tinggi. Diet yang tinggi antioksidan dapat melindungi kita daripada pelbagai penyakit seperti kanser dan serangan jantung.
[embed-health-tool-due-date]
Kebaikan durian belanda untuk ibu hamil
Walaupun terdapat banyak khasiat yang terkandung di dalam durian belanda, ibu hamil perlulah lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan.
Ketika hamil, anda bukan hanya makan untuk diri sendiri, tetapi juga untuk anak dalam kandungan. Jadi, sebelum mengambil apa-apa makanan, pastikan anda mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
Ingin tahu mengenai khasiat durian belanda untuk ibu hamil? Jom ikuti kupasan kami di bawah!
1. Durian belanda dapat meningkatkan daya tahan badan
Tidak dinafikan, daya tahan badan amat penting ketika hamil. Manakan tidak, kesihatan ibu dapat memberikan impak secara langsung terhadap tumbesaran anak yang dikandung.
Jika anda risau mengenai imuniti badan, cuba tambahkan durian belanda dalam diet anda. Durian belanda mengandungi banyak vitamin C yang dapat meningkatkan daya tahan badan.
Malah, buah ini juga kaya dengan antioksidan yang dapat mengelakkan sebarang kerosakan pada sel disebabkan radikal bebas. Jadi, ibu akan lebih sihat dan sukar dijangkiti penyakit.
2. Membantu menguatkan tulang bayi
Tulang bayi terbentuk sejurus selepas wanita mengandung. Jadi, apa jua yang anda makan, semuanya akan disalurkan kepada bayi melalui uterus.
Sebab itulah, wanita hamil digalakkan untuk mengambil makanan yang kaya dengan kalsium dan mineral. Ia dapat menguatkan tulang bayi ketika si manja masih lagi berada di dalam kandungan.
Malah, durian belanda juga mengandungi banyak vitamin dan mineral yang penting seperti vitamin B, vitamin C, fosforus, zat besi dan kalsium.
Sebenarnya, banyak khasiat durian belanda untuk ibu hamil. Cuba makan seulas dua durian belanda setiap hari untuk memastikan tulang bayi sentiasa sihat dan kuat.
Khasiat durian belanda untuk ibu hamil #3. Mengelakkan masalah sembelit
Hampir 16 hingga 39% ibu mengandung akan mengalami sembelit. Malah, kebanyakannya akan mula sakit perut ketika kehamilan menginjak ke trimester ketiga.
Walau bagaimanapun, masalah sembelit boleh berlaku pada ketiga-tiga trimester. Ada juga ibu yang akan kekal mengalami masalah ini 3 bulan selepas kelahiran.
Durian belanda mempunyai serat larut air yang dapat memudahkan proses pembuangan air besar.
Malah, vitamin C yang terkandung di dalam buah ini juga dapat mengelakkan sebarang masalah usus serta mampu memudahkan proses pencernaan.
4. Mengelakkan loya pada trimester pertama
Ramai ibu yang mengalami masalah loya dan muntah-muntah pada awal kehamilan. Disebabkan morning sickness ini, ramai wanita yang mengalami kesukaran untuk mengambil makanan yang berkhasiat.
Walau bagaimanapun, rasa masam manis durian belanda mungkin dapat mengurangkan loya yang dialami oleh ibu mengandung.
Malah, ibu juga tidak perlu risau mengenai nutrisi kerana durian belanda mempunyai pelbagai vitamin dan mineral yang bermanfaat untuk badan!
Kesan sampingan durian belanda untuk ibu hamil
Walaupun buah ini mengandungi pelbagai khasiat, ia juga mempunyai beberapa kesan sampingan yang berbahaya.
Kadangkala, ekstrak durian belanda dijual sebagai teh. Namun, produk ini selalunya dijual tanpa sebarang regulasi.
Durian belanda untuk ibu hamil boleh menjadi toksik jika diambil dalam dos yang tinggi. Malah, simptomnya juga menyerupai penyakit Parkinson, seperti:
- Otot yang keras.
- Perubahan personaliti.
- Pergerakan yang perlahan.
- Sukar menggerakkan mata.
- Sukar menyeimbangkan badan.
Selain itu, kompaun yang terkandung di dalam ektrak atau teh durian belanda juga boleh mengurangkan keberkesanan ubat tekanan darah tinggi dan diabetes.
Tidak ada salahnya jika anda ingin makan durian belanda, namun pakar menasihatkan agar anda mengelakkan pengambilan ektrak dan teh.
[embed-health-tool-due-date]