backup og meta

Ingin Cara Semula Jadi Atasi Diabetes? Ini 6 Remedi Kawal Kencing Manis

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 20/02/2024

    Ingin Cara Semula Jadi Atasi Diabetes? Ini 6 Remedi Kawal Kencing Manis

    Mungkin ada dalam kalangan pesakit diabetes yang tercari-cari remedi semula jadi untuk kawal kencing manis dan mengurangkan simptomnya. Apa kata anda baca penerangan ini dahulu.

    Info ringkas berkenaan kencing manis jenis 2

    Kencing manis jenis 2 juga dikenali dengan nama diabetes jenis 2.

    Berbanding kencing manis jenis 1, diabetes jenis 2 wujud disebabkan oleh faktor gaya hidup yang kurang sihat.

    Diabetes jenis 2 merupakan sejenis gangguan dalam cara badan mengawal dan menggunakan gula (glukosa) sebagai bahan api.

    Keadaan ini seterusnya mengakibatkan terlalu banyak gula mengalir dalam aliran darah anda.

    Bagi penghidap diabetes jenis ini, mereka akan mengalami dua jenis masalah yang sering berkaitan antara satu sama lain.

    Sama ada pankreas anda tidak menghasilkan insulin secara mencukupi atau sel tubuh tidak memberikan respons yang baik terhadap insulin. 

    Ada ke remedi semula jadi untuk kawal kencing manis?

    Tidak dinafikan, ramai daripada kalangan penghidap diabetes yang mencari-cari kaedah semula jadi dalam mengurangkan simptom dan kawal kencing manis mereka.

    Namun, perlu ditekankan di sini bahawa, remedi semula jadi hanya bertindak sebagai terapi tambahan kepada rawatan diabetes di hospital.

    Remedi semula jadi bukanlah rawatan utama atau pengganti bagi rawatan anda di hospital.

    Sememangnya ada beberapa kaedah semula jadi yang boleh membantu anda kawal kencing manis atau melegakan simptom, namun ia tidak boleh diambil sebarangan tanpa nasihat doktor.

    Berikut merupakan beberapa jenis remedi semula jadi bagi penyakit kencing manis.

    #1. Barli dan juga serat

    kawal kencing manis

    Serat diketahui sebagai salah satu nutrisi makanan yang boleh membantu mengawal paras gula darah.

    Setiap hari, kita disarankan untuk mengambil sekurang-kurangnya 30 gram serat untuk keperluan tubuh kita.

    Sumber utama yang terbaik bagi mendapatkan serat ialah melalui sayur-sayuran atau buah-buahan.

    Antara jenis tumbuhan yang amat kaya dengan serat ialah barli. Barli bukan sahaja kaya dengan serat, tetapi juga tinggi dengan kandungan protein yang sangat baik untuk penghidap diabetes. 

    #2. Cuka epal

    Ramai yang mungkin tidak tahu bahawa cuka epal juga boleh digunakan untuk kawal kencing manis dan mengurangkan simptomnya.

    Kandungan utama yang terdapat dalam cuka epal ialah asid asetik, dan ia amat kaya dengan manfaat terhadap kesihatan tubuh.

    Terdapat beberapa bukti kajian yang menyatakan kebaikan pengambilan cuka epal ini.

    Anda boleh cuba menambahkan sedikit cuka epal dalam hidangan anda selepas ini.

    #3. Aloe vera

    kawal kencing manis

    Penyelidikan awal menunjukkan bahawa aloe vera mempunyai ciri-ciri antidiabetes.

    Ia dikatakan boleh membantu mengawal gula darah selain mempercepatkan proses penyembuhan luka.

    Bagi pesakit diabetes, luka pada kaki atau ulser merupakan antara komplikasi yang biasa berlaku.

    Malah, proses penyembuhan luka dalam kalangan pesakit diabetes boleh mengambil masa yang lebih panjang berbanding mereka yang tidak menghidap diabetes.

    Oleh itu, penggunaan aloe vera boleh membantu mempercepatkan penyembuhan luka yang dialami. 

    #4. Kromium

    Kromium merupakan sejenis mineral surih yang sangat penting kepada fungsi tubuh badan manusia.

    Antara fungsi kromium ialah meningkatkan sensitiviti insulin dan memperbaiki metabolisme protein, karbohidrat dan lipid.

    Antara sumber semula jadi bagi kromium ialah hati haiwan dan juga sayur brokoli.

    Kromium juga boleh didapati dalam bentuk suplemen.

    Namun, jumlah kromium yang diperlukan oleh tubuh hanyalah dalam jumlah yang sedikit sahaja.

    Oleh itu, anda perlu merujuk doktor bagi mengetahui dos yang sesuai bagi pengambilan kromium. 

    #5. Kawal kencing manis dengan kulit kayu manis

    kawal kencing manis

    Percaya atau tidak, kulit kayu manis mempunyai kemampuan dalam merendahkan paras gula dalam tubuh manusia.

    Satu kajian berkenaan penggunaan kulit kayu manis ini telah dilaksanakan dalam kalangan mereka yang menghidap diabetes lebih daripada tiga bulan.

    Hasil kajian mendapati, terdapat kesan yang signifikan dalam penghasilan insulin, kerintangan insulin dan juga lipid dalam kalangan penghidap diabetes ini.

    Malah, ia juga menunjukkan perubahan pada nilai indeks jisim badan (BMI), lemak viseral dan juga lemak badan. 

    #6. Zink

    Zink merupakan sejenis nutrien yang menyokong tumbesaran kita sewaktu kita masih kecil.

    Selain itu, ia juga berperanan menguatkan sistem imun tubuh manusia.

    Penghidap kencing manis merupakan antara golongan yang sering mengalami kekurangan zink dalam tubuh badan.

    Berdasarkan kajian, pengambilan zink boleh membantu mengawal paras gula darah selain membantu merawat komplikasi yang berkaitan penyakit diabetes.

    Namun, pengambilan zink juga perlu dikawal dengan sewajarnya memandangkan ia boleh menyekat penyerapan sumber mineral penting lain jika diambil terlalu banyak.

    Jangan ambil remedi semula jadi sesuka hati, ikuti nasihat doktor!

    Penggunaan rawatan semula jadi ini hanyalah bertindak sebagai terapi pelengkap kepada rawatan diabetes sedia ada.

    Ia bukanlah satu kaedah rawatan utama, apatah lagi sebagai pengganti kepada rawatan di hospital.

    Pengambilan remedi-remedi ini tanpa sebarang nasihat doktor boleh mengakibatkan penurunan gula darah secara mendadak.

    Oleh itu, cara terbaik kawal kencing manis adalah dapatkan nasihat daripada doktor yang merawat anda sebelum mula mengambil sebarang remedi atau suplemen tambahan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 20/02/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan