Terdapat sejenis diet atau gaya pemakanan yang disebut sebagai diet yoyo. Jenis diet ini digelar seperti berikut disebabkan kesannya seperti permainan yoyo yang turun naik, melambangkan berat badan anda yang turun naik dalam masa yang singkat. Anda mungkin ingin tahu dengan lebih lanjut mengenai jenis diet yoyo ini dan apakah kesannya kepada tubuh badan.
Apakah yang dimaksudkan dengan diet yoyo?
Secara umumnya, diet yoyo merupakan keadaan di mana anda mengalami kehilangan berat badan tetapi berat kembali naik dalam tempoh masa yang sekejap.
Keadaan ini juga boleh berlaku berulang kali kepada anda.
Jenis diet yoyo ini juga dikenali dengan nama yoyo effect atau weight cycling.
Kesan diet ini sering kali berlaku dalam kalangan mereka yang kerap bertukar-tukar jenis diet atau corak pemakanannya.
Sekiranya kesan yoyo ini berlaku, berat badan anda mungkin akan kembali kepada paras sebelum anda menjalani diet khusus untuk menurunkan berat badan.
Bahkan, berat badan anda juga mungkin akan kembali dengan angka yang lebih besar daripada sebelum itu.
Kesan diet yoyo kepada kesihatan anda
Ramai daripada kita yang mencuba pelbagai jenis diet mungkin tidak sedar bahawa diri kita sedang mengalami kesan yoyo.
Jika kesan jenis diet ini terus berlaku, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan yang agak buruk kepada tubuh badan.
Kesan diet ini boleh meningkatkan risiko penyakit tertentu memandangkan seseorang itu cenderung untuk mengehadkan jumlah makanan sehingga menjadi sangat sedikit.
Apabila hormon ini dihasilkan dengan terlalu banyak, ia boleh menggalakkan perkembangan penyakit kanser, diabetes jenis 2 dan juga penyakit jantung.
Jika ini berlaku, ia boleh mendedahkan anda kepada pelbagai risiko penyakit kronik.
Bukan hanya fizikal, jenis diet yoyo juga menjejaskan psikologi anda
Selain akibatnya terhadap fizikal, kesan jenis diet yoyo juga boleh berlaku terhadap keadaan psikologi anda.
Kenaikan berat badan semula sejurus selepas anda berjaya menurunkannya boleh membuatkan anda berasa putus asa.
Semua orang mengetahui bahawa untuk menurunkan berat badan ini bukanlah satu perkara yang mudah.
Oleh itu, jika berat badan kembali naik dan perlu berdiet semula daripada peringkat awal, ia boleh membuatkan anda berasa lebih sukar untuk melakukannya.
Satu kajian yang dilaksanakan pada tahun 2011 menyatakan bahawa, individu yang mengalami kesan diet ini mempunyai rasa kepercayaan diri yang lebih rendah terhadap tubuh badan mereka berbanding mereka yang tidak mengalaminya.
Bukan itu sahaja, seseorang yang mengalami kesan jenis diet yoyo juga boleh mengalami depresi disebabkan mereka tidak berkemampuan untuk menurunkan berat badan dan mengekalkannya.
Walaupun anda mungkin mengalami kesan diet yoyo ini, ia bukanlah satu pengakhiran yang membuatkan anda berputus asa.
Ia sepatutnya menjadi sebab untuk anda terus bersemangat dalam membuat perubahan jangka panjang terhadap diet dan gaya hidup anda.
Ini boleh membantu anda untuk mengekalkan berat badan yang ideal.
Tip untuk mengelakkan kesan diet ini kepada tubuh
Terdapat beberapa cara atau tip yang boleh anda ikuti untuk memastikan agar kesan diet ini tidak berlaku ketika anda sedang berdiet:
#1. Tukar fokus diet anda
Jika anda mahukan kesan penurunan berat badan ini bertahan lebih lama, cuba kekalkan berat badan yang telah berkurangan.
Mengekalkan berat badan setelah ia mengalami penurunan ternyata sedikit sukar berbanding ketika anda menurunkannya.
Oleh itu, jangan terlalu bergantung kepada jumlah makanan harian anda semata-mata.
Anda juga perlu mengubah gaya hidup anda kepada yang lebih sihat seperti kekal aktif dan memilih jenis makanan yang sihat.
#2. Jangan bertukar-tukar jenis diet
Sebelum anda memulakan diet, cari maklumat terlebih dahulu berkenaan jenis diet yang paling sesuai dengan diri anda.
Jangan bertukar-tukar kepada diet yang lain setelah anda memilih satu jenis diet untuk diamalkan.
Selain itu, kekalkan gaya pemakanan yang sihat setelah berat badan mengalami penurunan.
#3. Pantau berat badan anda
Pemantauan berat badan dengan kerap boleh membantu anda untuk menurunkan berat.
Namun, sekiranya berat badan tidak turun-turun, anda tidak perlu berasa stres.
Ini kerana, stres boleh menjejaskan diet anda. Jika berat badan anda sudah mengalami penurunan pula, jangan lupa untuk terus mengamalkan gaya pemakanan yang sihat.