home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Ada Beberapa Simptom Yang Sama Macam Kanser Ovari (Seperti Sakit Perut)! Ini Cara Nak Bezakannya!

Ada Beberapa Simptom Yang Sama Macam Kanser Ovari (Seperti Sakit Perut)! Ini Cara Nak Bezakannya!

Tidak dinafikan, ciri kanser ovari sukar untuk dikenal pasti kerana ia menyerupai simptom penyakit lain.

Ovari wanita merupakan sebahagian daripada sistem reproduktif kaum Hawa. Setiap wanita mempunyai sepasang ovari yang berbentuk bujur dan berukuran kira-kira 4 sentimeter.

Organ ini juga tidak terlepas daripada ancaman kanser ovari yang sukar untuk dirawat jika ia sudah mencapai tahap akhir.

Ada banyak simptom kanser ovari yang perlu diperhatikan oleh wanita seperti perut kembung, cepat rasa kenyang, penurunan berat badan, rasa tidak selesa di bahagian pelvis dan sering alami sembelit.

Namun, semua ciri kanser ovari di atas bersifat umum dan ia boleh berlaku disebabkan penyakit lain. Oleh sebab itu, bagaimanakah kita hendak membezakan antara penyakit biasa dan kanser ovari?

Kanser ovari atau sista?

ciri kanser ovari

Ovari wanita terdedah dengan pelbagai jenis penyakit. Selain kanser ovari, ada satu lagi penyakit yang ditakuti kaum Hawa iaitu sista ovari. Malah, ciri kanser ovari juga menyerupai simptom sista ovari.

Sista ovari sebenarnya bukanlah kondisi yang jarang berlaku. Malah, ramai wanita mempunyai sista pada ovari mereka namun tidak menyedarinya.

Kebanyakan sista ini juga akan hilang walaupun tanpa rawatan dalam masa beberapa bulan.

Walau bagaimanapun, sista ovari yang pecah akan menunjukkan beberapa simptom seperti sakit pelvis, rasa sengkak atau ‘penuh’ pada kawasan abdomen dan perut kembung.

Pada masa yang sama, simptom ini juga hampir sama dengan kanser ovari wanita!

Oleh sebab itu, penting untuk anda mendapatkan pemeriksaan doktor secepat mungkin jika mengalami simptom ini untuk mengesahkan sama ada ia adalah sista ataupun kanser.

Kanser atau sindrom rengsa usus?

Sindrom rengsa usus (irritable bowel syndrome – IBS) merupakan sejenis kondisi yang mempengaruhi sistem pencernaan seseorang. Ia akan menyebabkan simptom seperti kejang perut, cirit-birit, sembelit dan perut kembung.

Walaupun agak menyerupai ciri kanser ovari, penghidap IBS akan mengalami simptom berpanjangan selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan.

Lebih teruk lagi, simptom ini boleh berlaku berulang kali serta akan memberikan beban fizikal dan emosi kepada penghidapnya.

IBS juga merupakan penyakit yang berlaku seumur hidup dan tidak mempunyai penawar. Ia merupakan penyakit kronik yang perlu diuruskan sepanjang hayat.

Walaupun begitu, hanya sebahagian kecil penghidap IBS mempunyai simptom yang teruk. Ramai pesakit IBS boleh mengawal simptom mereka dengan menukar diet dan gaya hidup.

Malah, mereka juga boleh mengawal stres dalam kehidupan seharian untuk mengurangkan simptom yang dialami.

Berbeza dengan kanser, simptom IBS selalunya muncul disebabkan stres ataupun salah makan.

Kanser ovari atau sindrom prahaid (PMS)?

ciri kanser ovari

Sebenarnya, PMS bukanlah sesuatu yang asing bagi kaum Hawa. 3 daripada 4 wanita pernah mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk sindrom prahaid.

Sebagai contoh, wanita yang sedang PMS lebih mudah mengalami perubahan mood, mengidam makanan tertentu, senang penat, cepat marah serta rasa sakit pada kawasan payudara.

Berbeza dengan kanser, PMS selalunya mempunyai corak tertentu. Ia akan muncul beberapa hari sebelum wanita datang haid.

Malah, corak ini juga amat mudah untuk diramal. Wanita yang mengalami sindrom prahaid yang teruk digalakkan untuk menyimpan ‘diari haid’.

Selain itu, wanita juga boleh mencatatkan hari munculnya simptom PMS dan hari ia berakhir.

Amalan ini dapat membantu wanita untuk menganggarkan bila mereka akan mengalami PMS supaya dapat bersedia dengan ubat-ubatan tertentu.

Namun, ada beberapa ciri kanser ovari yang sama dengan PMS. Kedua-duanya boleh menyebabkan:

  1. Keletihan.
  2. Perut kembung.
  3. Sembelit dan cirit-birit.

Bukan kanser sahaja, simptom PMS juga boleh menyerupai penyakit lain seperti sindrom keletihan kronik, penyakit tiroid serta depresi.

Kanser atau endometriosis?

Endometriosis merupakan sejenis penyakit yang mempengaruhi ribuan wanita yang boleh mengandung. Nama penyakit ini berasal daripada perkataan ‘endometrium’ yang bermaksud tisu yang melapisi uterus.

Endometriosis bukan sahaja boleh menyebabkan wanita rasa sakit ketika datang haid, ia juga boleh menyebabkan masalah kesuburan. Walau bagaimanapun, endometriosis boleh dirawat.

Simptom endometriosis hampir sama dengan ciri kanser ovari. Contohnya:

  1. Sakit pada kawasan perut atau pelvis.
  2. Sakit ketika melakukan seks.
  3. Sakit ketika membuang air kecil.
  4. Sembelit dan cirit-birit.
  5. Perut kembung.

Penghidap endometriosis mempunyai risiko kanser ovari wanita yang lebih tinggi.

Untuk menentukan sama ada anda menghidap endometriosis atau kanser, doktor akan melakukan ujian pelvis dan juga ultrasound.

Kesimpulanciri kanser ovari

Jika anda menghidap simptom yang sukar untuk dijelaskan atau mempunyai ciri kanser ovari, pastikan anda berjumpa doktor dengan kadar yang segera.

Jangan sesekali abaikan simptom tersebut, lebih-lebih lagi jika ia sudah berlangsung dalam satu jangka masa yang lama dan tidak bertindak balas terhadap sebarang ubat-ubatan.

Kanser ini sukar untuk dikesan awal. Namun, doktor boleh mengenal pasti punca sebenar simptom anda dan melakukan diagnosis bersesuaian.

Selain itu, pastikan doktor tahu jika anda mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser. Jika kanser ini dikesan awal, tidak mustahil ia boleh dirawat.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Mayo Clinic. 2019. Endometriosis. October 16. Accessed July 21, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/endometriosis/symptoms-causes/syc-20354656.
  2. Mayo Clinic. 2020. Ovarian cysts. August 26. Accessed July 21, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/ovarian-cysts/symptoms-causes/syc-20353405.
  3. Mayo Clinic. 2020. Premenstrual syndrome (PMS). February 7. Accessed July 21, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/premenstrual-syndrome/diagnosis-treatment/drc-20376787.
  4. NHS. 2021. What is IBS? February 24. Accessed July 21, 2021. https://www.nhs.uk/conditions/irritable-bowel-syndrome-ibs/.
  5. Ovarian Cancer. 2019. Ovarian cancer. July 25. Accessed July 21, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/ovarian-cancer/symptoms-causes/syc-20375941.
  6. You and Your Hormones. 2018. Ovaries. February. Accessed July 21, 2021. https://www.yourhormones.info/glands/ovaries/.
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Fatin Zahra Disemak pada 7 hari lalu
Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman