Kenali Ubat Hipertensi

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 17/06/2020 . 5 mins read

Hipertensi merupakan penyakit kronik yang lazim dialami oleh rakyat Malaysia. Menurut laporan yang dikemukakan Kaji Selidik Morbiditi dan Kesihatan Malaysia (NHMS), prevalens kes hipertensi di Malaysia adalah pada kadar 34.6% pada tahun 2006, 33.6% pada tahun 2011 dan 35.3% pada tahun 2015. Tanpa rawatan, penyakit ini boleh menyebabkan pelbagai jenis komplikasi yang dapat mempengaruhi belanjawan kesihatan negara seperti sakit jantung, sindrom metabolik dan strok. Artikel ini akan membincangkan lima (5) pengelasan ubat darah tinggi yang sering dipreskripsikan kepada pesakit. Teruskan membaca jika anda ingin tahu tentangnya.

Ubat darah tinggi diuretik

Ini merupakan ubat darah tinggi yang paling kerap dipreskripsikan kepada pesakit. Ia sering digunakan sebagai agen terapi mono (penggunaan satu ubat) atau dengan ubat darah tinggi yang lain. Fungsinya adalah untuk mencetuskan natriuresis atau pembuangan lebihan natrium di dalam air kencing. Perkara ini akan menyebabkan penurunan tahap kerintangan pada salur darah periferal dan mengekalkan tahap tekanan darah pada bacaan yang normal.

Antara ubat yang diklasifikasikan di dalam kategori diuretik adalah seperti berikut:

  • Furosemide dan Hydrochlorothiazide (diuretik kelas thiazide) – HCTZ
  • Amiloride (diuretik kekang kalium)
  • Indapamide dan chlorthalidone (diuretik yang berfungsi seperti kelas thiazide)

Ubat darah tinggi kelas thiazide mempunyai kesan sampingan yang kurang berbanding dengan ubat daripada kelas diuretik yang lain. Walaupun HCTZ berkesan apabila dosnya ditetapkan pada sekitar 12.5 mg hingga 50 mg sehari, namun terdapat risiko untuk mendapat kesan sampingan tinggi apabila dos yang diberikan melebihi 25 mg sehari. 

Pun begitu, dos yang ditetapkan kebiasaannya mengambil kira kesan farmakologikal terhadap tahap hipertensi semasa pesakit. Dos yang rendah, walaupun dianggap mempunyai keberkesanan yang tinggi, hanya dipreskripsikan untuk merawat hipertensi pada fasa awal penyakit. Jika terdapat peningkatan pada risiko kesan sampingan kepada pesakit, perkara tersebut akan dijelaskan oleh doktor kepada anda sebelum regimen tersebut dimulakan.

Kesan sampingan diuretik

Antara kesan sampingan yang boleh dialami selepas mengambil ubat diuretik adalah:

  • Gangguan pada sistem penghadaman
  • Jangkitan kulit
  • Kemerahan pada kulit
  • Gangguan penglihatan
  • Hipotensi postural (Tekanan darah menurun apabila berlaku perubahan pada postur badan seperti berdiri, duduk dan baring).
  • Penurunan tahap kalium di dalam badan
  • Kelesuan

Senarai di atas merupakan kompilasi kesan sampingan yang dikaitkan dengan ubat diuretik secara umum. Ubat yang berlainan mempunyai tahap risiko yang berbeza untuk menyebabkan kesan sampingan tertentu.

Perencat enzim angiotensin (ACE-I) dan perencat reseptor angiotensin II (ARB)

ACE-I

Penggunaan ubat darah tinggi ACE-I bukan sahaja boleh menurunkan tahap tekanan darah, ia juga mampu untuk merendahkan risiko individu bagi mendapat penyakit kardiovaskular. Fungsinya adalah untuk merencatkan kadar penghasilan agen yang boleh mengecutkan saluran darah dipanggil angiotensin. Kesannya, bukaan arteri dan vena akan kekal luas bagi memastikan aliran darah berjalan dengan lancar dan mengekalkan tahap kerintangan salur darah pada paras yang rendah. 

Selain daripada fungsi tersebut, penggunaan ACE-I juga boleh mencetuskan proses natriuresis secara tidak langsung akibat daripada penurunan penghasilan angiotensin pada organ buah pinggang. Ini akan mengekalkan isi padu darah pada tahap yang rendah seterusnya menurunkan beban kerja jantung untuk mengepam darah ke seluruh badan.

Antara ubat yang diklasifikasikan di dalam kategori diuretik adalah seperti berikut:

  • Captopril
  • Enalapril
  • Perindopril
  • Ramipril
  • Lisinopril

Penggunaan ubat darah tinggi ACE-I dalam kalangan pesakit kencing manis berpotensi untuk menurunkan risiko kematian akibat daripada penyakit kardiovaskular. Ia juga dapat menghindarkan mikroalbuminuria (peningkatan pada jumlah albumin di dalam air kencing), merendahkan proteinuria (protein dalam air kencing) dan merencatkan masalah buah pinggang diabetik.

Kesan sampingan ACE-I

Antara kesan sampingan yang boleh dialami selepas mengambil ubat ACE-I adalah:

  • Ruam
  • Pening kepala
  • Hipotensi
  • Peningkatan pada paras kalium
  • Loya
  • Sakit perut
  • Lemah-lemah badan
  • Kelesuan
  • Batuk kering

Senarai di atas merupakan kompilasi kesan sampingan yang dikaitkan dengan ubat ACE-I secara umum. Ubat yang berlainan mempunyai tahap risiko yang berbeza untuk menyebabkan kesan sampingan tertentu.

Ubat darah tinggi ACE-I boleh meningkatkan kadar risiko kematian bagi bayi yang baru lahir atau janin yang berada di dalam kandungan. Mereka yang hamil atau menyusukan anak tidak boleh menggunakan ubat ini. Sebelum ubat ini dipreskripsikan, risiko ini perlu diterangkan dengan jelas kepada wanita dalam lingkungan usia subur. 

Jika anda sedang hamil, dapatkan khidmat nasihat doktor bagi mendapatkan ubat terbaik untuk mengawal masalah tekanan darah tinggi anda.

ARB

Bagi perencat reseptor angiotensin pula (ARB), kesan farmakologikalnya adalah lebih kurang sama dengan ACE-I. Ia kebiasaannya dipreskripsikan kepada pesakit yang tidak boleh menggunakan ubat darah tinggi ACE-I berikutan kesan sampingannya yang teruk.

Antara ubat yang diklasifikasikan di dalam kategori diuretik adalah seperti berikut:

  • Losartan
  • Valsartan
  • Irbesartan
  • Telmisartan

Berbanding dengan ubat ACE-I, terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa ARB tidak memberikan sebarang faktor pelindung kepada individu yang mengambilnya. Namun, kajian metaanalisis yang terbaru menunjukkan ARB mempunyai potensi untuk merendahkan insiden penyakit kardiovaskular termasuk sakit jantung. 

Kesan sampingan ARB

Antara kesan sampingan yang boleh dialami selepas mengambil ubat ACE-I adalah:

  • Sakit perut
  • Sakit dada
  • Pembengkakan akibat daripada pengumpulan cecair di dalam badan (oedema)
  • Hipotensi
  • Sakit kepala
  • Loya 
  • Muntah
  • Kelesuan
  • Hipotensi postural
  • Insomnia
  • Vertigo (terasa seperti tidak seimbang atau dunia kelihatan berpusing-pusing)

Senarai di atas merupakan kompilasi kesan sampingan yang dikaitkan dengan ubat ACE-I secara umum. Ubat yang berlainan mempunyai tahap risiko yang berbeza untuk menyebabkan kesan sampingan tertentu.

Kontraindikasi bagi ubat ini sama seperti ACE-I.

Ubat darah tinggi penghalang Beta (Beta blocker)

Ubat darah tinggi beta-blocker telah lama digunakan untuk merawat masalah hipertensi. Ia menghalang penghasilan hormon adrenalin melalui perencatan reseptor adrenergik. Ia juga berupaya untuk mengurangkan kadar degupan jantung menyebabkan penurunan pada nilai tekanan darah. Kesan farmakologikal ini membuatkan ubat darah tinggi penghalang beta sesuai untuk digunakan dalam kalangan pesakit yang mengalami masalah keresahan.

Pelbagai kajian telah dijalankan bagi menguji keberkesanan ubat darah tinggi penghalang beta berbanding dengan ubat yang lain. Namun, pada kebanyakan dapatan kajian, ia menunjukkan kesan yang tidak seberapa berbanding dengan ubat lain seperti ACE-I, ARB dan penghalang saluran kalsium (CCB). Kajian metaanalisis yang terbaru menunjukkan bahawa kesan ubat penghalang beta adalah:

  • Lebih rendah berbanding dengan ubat CCB jika dilihat pada perspektif jumlah kadar kematian pesakit
  • Lebih baik berbanding dengan placebo dalam mengawal insiden penyakit kardiovaskular namun tidak melebihi ubat darah tinggi yang lain
  • Lebih baik berbanding dengan placebo dalam menghindarkan strok namun lebih teruk daripada CCB

Walaupun tampak rumit, secara amnya, ubat penghalang beta berkesan dalam merawat masalah hipertensi dan merendahkan risiko untuk mendapat masalah kardiovaskular. Antara contoh ubat penghalang beta adalah seperti berikut:

  • Acebutolol
  • Atenolol
  • Betaxolol
  • Bisoprolol
  • Metoprolol
  • Nebivolol
  • Propranolol

Kesan sampingan ubat penghalang beta

Antara kesan sampingan yang boleh dialami selepas mengambil ubat penghalang beta adalah:

  • Vertigo
  • Mual
  • Sakit kepala
  • Sejuk pada hujung jari tangan atau kaki
  • Insomnia
  • Masalah ejakulasi
  • Hipotensi postural
  • Bradikardia (kadar degupan jantung di bawah 60 degupan seminit)

Senarai di atas merupakan kompilasi kesan sampingan yang dikaitkan dengan ubat ACE-I secara umum. Ubat yang berlainan mempunyai tahap risiko yang berbeza untuk menyebabkan kesan sampingan tertentu.

Ubat ini tidak boleh diberikan kepada pesakit yang mempunyai masalah asma tidak terkawal, masalah salur darah periferal yang serius dan masalah heart block. Penggunaannya perlu dipantau secara berkala jika diberikan kepada pesakit yang mempunyai masalah paru-paru kronik seperti chronic obstructive pulmonary disease (COPD) dan pesakit asma terkawal.

Penghalang saluran kalsium (CCB)

Berbanding dengan ubat darah tinggi yang lain, CCB mempunyai tahap keberkesanan untuk menurunkan tekanan darah dan profil keselamatan yang tinggi. Kajian metaanalisis telah menunjukkan jika ia digabungkan penggunaannya dengan ACE-I atau ARB, ia boleh menurunkan risiko individu untuk mendapat penyakit jantung pada kadar yang signifikan.

Fungsi utamanya adalah untuk menyebabkan pengembangan pada salur darah. Ia berikutan CCB akan menghalang kemasukan kalsium ke dalam sel. Ini akan menurunkan tahap kerintangan periferal pada salur darah seterusnya menyebabkan tekanan darah menjadi rendah.

Antara contoh ubat penghalang beta adalah seperti berikut:

  • Amlodipine
  • Felodipine
  • Isradipine
  • Nifedipine
  • Diltiazem
  • Verapamil

Kesan sampingan ubat penghalang saluran kalsium

Antara kesan sampingan yang boleh dialami selepas mengambil ubat penghalang saluran kalsium adalah:

  • Sakit kepala
  • Pembengkakan akibat pengumpulan cecair di dalam badan (oedema)
  • Loya
  • Muntah
  • Mengantuk
  • Muka merah
  • Kelesuan

Senarai di atas merupakan kompilasi kesan sampingan yang dikaitkan dengan ubat ubat penghalang saluran kalsium secara umum. Ubat yang berlainan mempunyai tahap risiko yang berbeza untuk menyebabkan kesan sampingan tertentu.

Konklusi

Perkara penting dalam terapi farmakologikal darah tinggi yang anda perlu ingat adalah tahap kepatuhan sangat penting dalam mengawal tekanan darah. Jika anda mengabaikan ubat yang ada, masalah tekanan darah tinggi ini boleh melarat menyebabkan komplikasi lain yang lebih serius. Jika anda mengalami kesan sampingan selain daripada apa yang dinyatakan di atas, dapatkan khidmat nasihat kesihatan daripada doktor anda.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"
    Rujukan

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Lumut hati

    KegunaanApakah kegunaan Lumut hati? Lumut hati (liverwort) digunakan untuk merawat batu hempedu dan beberapa keadaan hati termasuk jaundis, pembengkakan hati, hepatitis, dan sirosis. Ia juga digunakan untuk merawat ...

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Muhammad Ikraam Abdul Latif
    Ubat/Herba A-Z, Herba A-Z 28/05/2018 . 2 mins read

    Risiko Ubat Tekanan Darah Tinggi

    Jika anda mempunyai tekanan darah tinggi, anda mungkin perlu menggunakan ubat untuk mengawal tekanan darah anda. Selain manfaat, ubat-ubatan juga mempunyai risiko dan kesan sampingan. Kesan-kesan sampingan ubat-ubatan ...

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Shahrul Izwan Naser
    Pusat Kesihatan, Hipertensi 26/05/2018 . 2 mins read

    Acetazolamide

    Ketahui mengenai %%title%% di %%sitename%%, termasuk kaeadah penggunaan, kesan sampingan, dan tindak balasnya.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Helma Hassan
    Ubat/Herba A-Z, Ubat A-Z 17/05/2018 . 8 mins read

    Rami Kanada (Canadian Hemp)

    KegunaanApakah kegunaan Rami Kanada (Canadian Hemp)? Rami Kanada ialah sejenis herba. Akarnya digunakan sebagai ubat. Walaupun terdapat kebimbangan yang serius, ia masih digunakan untuk merawat artritis, asma, batuk ...

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Firdaus Rahim
    Ubat/Herba A-Z, Herba A-Z 15/04/2018 . 3 mins read

    Artikel lain untuk anda

    5 Ubat-Ubatan Asas Untuk Merawat Tekanan Darah Tinggi, Ambil Tahu Setiap Kesan Sampingannya

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 26/04/2019 . 2 mins read

    Sampai Bila Saya Perlu Makan Ubat Darah Tinggi? Bolehkah Kalau Saya Berhenti? Ini Jawapannya Buat Anda

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim
    Diterbitkan pada 20/08/2018 . 2 mins read
    ubat darah tinggi

    5 Jenis Ubat Untuk Darah Tinggi Dan Kesan Sampingannya Yang Anda WAJIB Tahu!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim
    Diterbitkan pada 13/06/2018 . 3 mins read
    Chlorothiazide

    Chlorothiazide

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Muhammad Basheer Yahya
    Diterbitkan pada 31/05/2018 . 6 mins read