Susu Segar Atau Susu Formula: Yang Mana Lebih Baik Untuk Bayi?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Dalam kehidupan alam keibubapaan, terdapat banyak perkara yang perlu ibu bapa tahu. Selain penjagaan yang sangat asas dan umum seperti menukar lampin, memandikan bayi atau menidurkan bayi, ibu bapa juga sebenarnya perlu tahu berkenaan penyusuan susu bayi. Mungkin ibu bapa akan menjadi sedikit pening atau keliru sama ada untuk memberikan si comel mereka susu ibu, susu formula atau susu segar.

Menurut pakar, ketiga-tiga susu ini sebenarnya mempunyai potensinya masing-masing. Pun begitu, susu ibu lah yang paling terbaik dalam kalangan susu-susu yang lain. Namun disebabkan kesibukan atau pelbagai faktor-faktor lain, mungkin ada para ibu yang tidak berpeluang menyusukan bayi mereka dengan susu badan. Jadi, apakah yang boleh ibu bapa lakukan untuk menyelesaikan permasalahan ini?

Dilema pemilihan susu bayi buat ibu bapa

Sebagai pasangan ibu bapa terutamanya yang masih baru dalam alam keibubapaan, sudah pasti anda pernah atau akan terfikir tentang susu apa yang paling sesuai untuk anak anda kelak apabila mereka berpisah susu badan dengan ibunya. Mungkin ada ibu bapa yang akan mencadangkan susu formula dan ada juga yang akan menyarankan susu segar.

Ya, kedua-duanya sememangnya mempunyai pelbagai kelebihan dan kekurangannya masing-masing. Ini semuanya bergantung kepada ibu bapa dan kondisi bayi mereka sendiri. Faktor kesihatan, pekerjaan, persekitaran, dan gaya hidup anda sekeluarga mungkin akan menjadi kuncinya.

Berbalik kepada persoalan yang paling utama, antara susu segar dan susu formula, yang mana lebih baik buat si comel anda?

susu segar

Susu ibu & bayi

Sebelum menjawab persoalan tersebut, anda sebagai ibu bapa perlu tahu semua berkenaan susu ibu terlebih dahulu. Manfaat yang wujud di dalamnya mungkin akan membuat para ibu berfikir dua kali sebelum memutuskan untuk tidak langsung menyusukan bayi dengan susu ibu.

1001 manfaat susu ibu

Sesungguhnya, susu ibu merupakan makanan atau lebih tepat lagi minuman yang paling sesuai untuk seorang bayi. Ini kerana ia sudah cukup untuk menampung semua keperluan yang diperlukan oleh bayi. Dalam erti kata yang lain, segala nutrien dan nutrien yang terkandung di dalamnya mampu untuk membuat bayi anda membesar dengan baik kelak.

Sebenarnya, susu ibu bukan sahaja bagus untuk bayi bahkan para ibu yang menyusukan si comel mereka dengan susu badan juga akan mendapat manfaatnya yang tersendiri. Selain itu, susu ibu juga akan memberikan pelbagai manfaat yang lain. Berikut merupakan pelbagai manfaat susu ibu:

Manfaat susu ibu untuk bayi:

  • Ia membekalkan nutrien yang terbaik untuk bayi
  • Ia mengandungi nutrien yang sangat mencukupi buat bayi
  • Ia akan berubah-ubah bentuk dan khasiatnya mengikut keperluan bayi yang sedang dalam proses membesar
  • Ia menguatkan sistem imuniti bayi anda terutamanya ketika ia sedang dalam bentuk kolostrum
  • Ia melindungi bayi dari pelbagai jangkitan seperti cirit birit, selesema, bronkitis dan radang paru-paru
  • Ia membantu mencegah pelbagai masalah alahan seperti asma, ekzema dan kolik bayi
  • Ia mengandungi nutrien tertentu yang amat penting untuk perkembangan otak bayi
  • Ia membantu dalam meningkatkan tahap kecerdikan bayi
  • Ia tidak mudah tercemar jika hendak dibandingkan dengan pelbagai susu-susu yang lain
  • Ia mudah diperolehi pada suhu yang betul setiap masa sekali gus menyebabkan ia sangat mudah untuk disediakan
  • Ia memberi keselesaan dan keselamatan emosi kepada bayi
  • Ia memberi peluang kepada ibu dan bayi untuk berinteraksi sepenuhnya sekali gus meningkatkan hubungan kasih sayang antara ibu dan bayi

Manfaat jika ibu menyusukan bayi dengan susu badan:

  • Ia membantu pengecutan rahim dan akan mengembalikannya kepada saiz yang asal dengan cepat serta mengurangkan pendarahan selepas melahirkan bayi
  • Ia membakar kalori dan membantu bentuk badan anda kembali seperti asal dengan kadar yang segera
  • Ia mengurangkan risiko kanser payudara dan juga kanser ovari
  • Ia menjarakkan kelahiran jika pengamalan penyusuan ibu diamalkan dengan sepenuhnya

Manfaat susu ibu yang lain:

  • Ia tidak memerlukan perbelanjaan dan stok susu akan sentiasa ada
  • Ia bersifat mesra alam dan ini sangat bagus untuk persekitaran kerana tidak memerlukan sebarang botol, tin atau kotak untuk pembungkusannya

Selain daripada manfaat-manfaat yang disenaraikan di atas, mungkin terdapat beberapa lagi kebaikannya yang kita sendiri tidak pasti. Ternyatalah bahawa ada sebab mengapa pencipta kita telah menyediakan stok susu dalam badan seorang ibu itu untuk diberikan kepada bayi.

susu segar

Penceraian susu ibu & bayi

Sejurus selepas anak anda mencecah usia sekurang-kurangnya 2 tahun, mereka sudah tidak boleh lagi bergantung kepada susu badan. Ketika ini, si kecil perlu beralih kepada sumber susu yang lain, iaitu antara susu formula atau susu segar. Kebanyakan pakar pediatrik menyimpulkan bahawa anda boleh menggunakan kedua-dua alternatif ini.

Awas! Sebelum anda mula beralih kepada sumber susu yang lain, ibu bapa perlu tahu bahawa terdapat beberapa perkara yang menghendaki anda untuk menangguhkan proses penceraian bayi dengan susu badan. Berikut merupakan perkara-perkara tersebut:

Proses perceraian susu ibu dengan bayi akan bermula saat pertama kali bayi anda mengambil sumber susu selain daripada susu ibu. Proses ini merupakan penggantian penyusuan badan secara berperingkat dengan sumber susu yang lain seperti susu formula atau susu segar.

Dalam kebanyakan kes, keputusan untuk bayi bercerai susu ibu boleh dibuat berdasarkan kepada keperluan dalaman bayi dan ibu serta pertimbangan praktikal kepada keluarga. Walau bagaimanapun, adalah lebih baik untuk menangguhkan keputusan bercerai susu dalam sesetengah situasi sehinggalah suatu tempoh di mana keadaan sudah beransur pulih. Antara situasi yang diperkatakan adalah seperti:

#1. Alahan

Sekiranya si comel anda mempunyai alahan terhadap salah satu daripada sumber susu yang wujud sebagai pilihan yang ada, maka anda perlu berbincang dengan doktor pakar kanak-kanak terlebih dahulu berkenaan penangguhan penceraian susu ibu. Ada baiknya juga jika doktor sendiri yang mencadangkan makanan atau sumber susu mana yang terbaik buat bayi anda. Sebelum sebarang keputusan dibuat, teruskan penyusuan susu badan seperti biasa untuk mengelakkan berlakunya pelbagai komplikasi kesihatan yang lain terhadap bayi.

#2. Sakit

Sekiranya bayi anda mengalami demam selesema, hendak tumbuh gigi, dan baru-baru ini dimasukkan ke hospital, atau bayi anda tidak berapa sihat, maka tangguhkan terlebih dahulu proses penceraian susu badan sehinggalah mereka mula menunjukkan kondisi yang sihat. Anda juga mungkin mahu melambatkan cubaan pertama bercerai susu badan jika anda sendiri berada dalam keadaan yang tidak sihat. Sebarang tempoh transisi lebih baik dimulakan apabila anda dan si comel berada dalam keadaan sihat sama ada secara fizikal dan juga emosi.

#3. Perubahan di rumah

Sekiranya anda hamil atau baru-baru ini menyambut kehadiran bayi baru, ini bukanlah masa paling sesuai anda memutuskan untuk bercerai susu badan, kecuali jika bayi anda sendiri yang kelihatan seperti mahu begitu. Selain itu, anda juga perlu meletakkan keutamaan kepada keperluan anda dan juga bayi baru lahir dengan sentiasa menyusukan bayi baru lahir terlebih dahulu, tetapi cuba juga untuk jadi sensitif terhadap keperluan bayi anda yang lebih tua juga.

Dalam pada itu, masalah perkahwinan, penjagaan bayi baru, perpindahan kediaman, keperluan anda untuk kembali bekerja, dan pelbagai lagi situasi yang boleh mendatangkan tekanan bukanlah masa terbaik untuk memulakan perubahan besar seperti penceraian susu badan. Sebaiknya, anda mungkin boleh mula memutuskan untuk melakukannya selepas tiada lagi hal yang memberi tekanan buat anda dan juga bayi.

Oleh itu, jangan membuat keputusan secara melulu atau terburu-buru. Ketahui terlebih dahulu mengenai tahap kesihatan si comel anda sebelum memutuskan untuk bercerai susu badan dan mula memberikan susu formula atau susu segar.

Jadi, ini semua sebenarnya akan berbalik semula kepada persoalan utama artikel ini iaitu, antara susu segar atau susu formula, yang mana lebih baik untuk bayi? Ketahuilah bahawa kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangannya masing-masing dan semuanya bergantung kepada ibu bapa dan bayi itu sendiri.

susu segar

Susu segar vs susu formula

Selain susu ibu, susu sebenarnya mempunyai pelbagai jenis antaranya susu segar ataupun susu formula. Disebabkan itu, ramai ibu bapa yang keliru apabila tiba waktu mereka perlu memilih salah satu daripadanya untuk diberikan kepada si comel. Sebagai ibu bapa yang prihatin, anda perlu tahu perbezaan nutrisi antara susu segar dan susu formula.

Kandungan nutrisi susu segar dan susu formula

Kedua-dua susu segar dan susu formula mengandungi nutrien yang diperlukan oleh tubuh badan bayi atau manusia secara amnya, dan lebih kurang sama sahaja kandungan nutrisinya. Satu cawan hidangan susu segar dan susu tepung akan membawa 80 kalori, 8 gram protein dan 30% keperluan kalsium seharian.

Walaupun kedua-duanya adalah lebih kurang sama sahaja dari aspek nutrisi masing-masing, sudah pasti ada beberapa perkara yang membezakan kedua-dua susu itu, bukan?

Kelebihan susu formula

Susu formula boleh disimpan untuk jangka masa yang panjang sementara susu segar tidak mempunyai kelebihan ini. Susu formula juga tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk dan masih mampu mengekalkan kandungan nutrisinya. Anda mungkin boleh menyimpannya di kabinet atau letak sahaja ia di atas meja makan supaya mudah untuk anda melihat dan mencapainya. Paling penting buat masa kini, harga susu formula juga adalah tidak semahal susu segar.

Kelebihan susu segar

Susu segar sebenarnya mempunyai kandungan vitamin B yang lebih banyak. Satu cawan susu segar akan memberi kita 1.2 mikrogram vitamin B12 dan 0.9 miligram vitamin B5. Sementara itu, satu cawan susu formula pula mengandungi 0.9 mikrogram vitamin B12 dan 0.8 miligram vitamin B5. Fungsi vitamin B5 adalah membantu sel otak untuk kekal sihat dan vitamin B12 pula adalah penting untuk pengaliran oksigen dalam badan.

Selain itu, susu segar juga mengandungi fosforus dan selenium yang bagus untuk sel otak, sistem metabolisma serta fungsi enzim dan tiroid. Satu hidangan susu segar akan membawa 7.6 mikrogram selenium dan 47 miligram fosforus. Sementara itu pula, susu tepung hanya mengandungi 6.3 mikrogram selenium dan 27 miligram fosforus.

Paling penting, kebanyakan pakar juga berpendapat bahawa rasa susu segar adalah jauh lebih sedap berbanding susu formula dan ini mungkin akan memainkan faktor bayi anda akan menyukai susu segar lebih daripada susu formula.

Susu yang manakah lebih sesuai buat bayi anda?

Kedua-dua susu ini sebenarnya menyediakan kandungan nutrisi yang hampir sama sahaja. Sekiranya anda merupakan pasangan ibu bapa yang kurang gemar produk yang diproses, susu segar adalah pilihan yang terbaik kerana ia adalah bebas daripada bahan pengawet dan antibiotik. Sekiranya anda merupakan pasangan ibu bapa yang lebih percaya dengan produk buatan manusia, ia adalah 100% terpulang kepada anda.

Jadi? Adakah kelebihan-kelebihan tersebut dapat membantu anda untuk membuat keputusan anda? Atau adakah anda memerlukan lebih informasi?

susu segar

Mengapa susu formula?

Ada pakar yang menekankan bahawa susu formula adalah pilihan yang lebih baik kerana ia mempunyai lebih kandungan vitamin, mineral dan nutrien sekali gus menjadikan ia pilihan yang paling tepat bagi kanak-kanak yang cerewet dalam bab pemakanan dan kekurangan nutrisi dalam diet mereka.

Selain itu, susu formula juga mempunyai pelbagai jenis, rasa dan jenama yang boleh dipilih sendiri oleh ibu bapa sesuai dengan kemahuan kanak-kanak. Bagi kanak-kanak yang mempunyai alahan kepada susu lembu pula, ibu bapa boleh menggunakan susu formula alternatif yang berasaskan susu soya.

susu segar

Mengapa susu segar?

Ada pakar yang menyimpulkan susu segar adalah pilihan yang lebih baik kerana ia mengandungi kandungan gula yang jauh lebih rendah daripada susu formula. Selain kandungan gula yang tinggi, susu formula juga sebenarnya mempunyai kandungan lemak trans, laktosa, sukrosa, maltosa dan maltodextrin.

Selain itu, susu formula juga diperbuat daripada bahan bukan semula jadi yang akan berubah khasiatnya apabila suhu air meninggi sehingga 70 darjah celsius berbeza dengan susu segar yang 100% sudah pasti ia adalah hasil daripada lembu ternakan. Paling penting, susu segar sudah pasti tinggi dengan kandungan protein berbanding susu formula.

Kesimpulannya?

Jika dilihat secara logik, mengapa ibu bapa perlu memberi anak kesayangan anda susu yang bukan diperbuat daripada bahan semula jadi, bukan? Jadi, memberi susu segar mungkin merupakan pilihan yang terbaik antara kedua-dua jenis susu tersebut. Namun begitu, ada pakar yang menyimpulkan bahawa pengambilan susu segar sahaja sebenarnya bukanlah alternatif yang paling baik.

Menurut Dr Ong Eng Keow yang merupakan seorang pakar pediatrik terkemuka dari Singapura mengatakan nutrisi-nutrisi penting seperti vitamin dan mineral bukan sahaja perlu diperolehi daripada sumber susu semata-mata. Akan tetapi, nutrisi juga perlu diperolehi daripada sumber makanan pejal seperti buah-buahan, sayur-sayuran, daging, ikan dan lain-lain mengikut saranan piramid makanan.

Menurut beliau lagi, susu merupakan suplemen tambahan yang perlu diambil apabila mereka sudah berusia setahun. Ini kerana seiring dengan peredaran usia mereka yang mula melangkah masuk ke alam kanak-kanak, mereka perlu bergantung kepada makanan pejal yang ternyata mempunyai lebih nutrisi yang diperlukan untuk pertumbuhan dan perkembangan diri kanak-kanak.

Konklusi

Konklusinya, isu pemilihan antara susu segar atau susu formula ini bukanlah satu isu yang sangat besar. Ini kerana kedua-dua jenis susu ini sebenarnya akan membawa kandungan nutrien, khasiat dan manfaat yang lebih kurang sama sahaja kepada bayi.

Apa yang membezakannya, mungkin adalah bentuk luaran mereka sahaja. Susu formula mungkin tahan lebih lama kerana ia hadir dalam bentuk tepung manakala susu segar pula tidak mampu bertahan lama meskipun telah disimpan di dalam peti sejuk.

Namun begitu, jika hendak membandingkan dari segi rasa, susu segar mungkin akan menjadi pemenangnya. Ini kerana kebanyakan pakar berpendapat bahawa rasa susu segar mungkin akan lebih menarik perhatian bayi untuk meminumnya.

Dengan itu, jawapan kepada persoalan artikel ini sudah terjawab dan tiada satu pun antara pilihan susu tersebut adalah lebih baik berbanding yang satu lagi. Pihak Hello Doktor amat berharap artikel ini dapat membantu anda sebagai ibu bapa untuk memilih sumber susu yang paling sesuai buat bayi anda.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut