Seperti yang diketahui oleh kebanyakan individu, penawar kepada serangan asma adalah dengan menggunakan 2 jenis ubat sedutan asma (inhaler) iaitu inhaler steroid dan inhaler bronkodilator. Secara tradisionalnya, individu yang menghidap penyakit ini pada peringkat yang ringan akan mengambil inhaler steroid pada setiap hari dan hanya perlu mengambil inhaler bronkodilator apabila simptom asma berlaku. Pun begitu, ada kajian paling kini yang mengatakan bahawa penderita penyakit ini harus menggunakannya apabila perlu sahaja.
Kajian terbaharu mengenai penggunaan inhaler
Menurut kajian yang dijalankan oleh Washington University School of Medicine di St. Louis, kanak-kanak yang menghidap asma pada peringkat yang ringan hanya perlu menggunakan kedua-dua jenis inhaler ini apabila simptom menyerang sahaja. Ini sangat berbeza daripada metode tradisional yang memerlukan penderita penyakit ini mengambil inhaler steroid pada setiap hari dan inhaler bronkodilator apabila simptom menyerang. Bagi pengkaji, ini adalah tidak relevan kerana asma yang ringan perlu diubati apabila simptom menyerang sahaja.
Menurut Kaharu Sumino yang merupakan profesor dan pengkaji, pengawalan penyakit ini pada peringkat yang ringan hanya memerlukan penggunakan ubat-ubatan yang minimum sahaja. Sebenarnya, penggunaan kedua-dua inhaler apabila simptom menyerang sudah memberi sekurang-kurang 1 per 4 dos steroid yang diperlukan daripada preskripsi pengambilan setiap hari. Ada ahli keluarga dan penderita penyakit ini sendiri telah tampil mengatakan bahawa mereka telah berjaya mengawal simptom penyakit ini selepas mempraktikkan cara ini.
Sudah terdapat banyak uji kaji klinikal yang membuktikan bahawa pengambilan ubat-ubatan asma apabila perlu sahaja sebenarnya adalah sama efektif seperti strategi tradisional yang memerlukan pengambilan sehari-harian. Selain itu, para pengkaji juga menyatakan bahawa cara ini sebenarnya dapat mengurangkan amaun penggunaan ubat-ubatan steroid sebanyak 75 peratus. Persoalannya, adakah cara terbaharu ini boleh berkesan jika dilakukan oleh individu di luar sana?
Ada satu kajian melibatkan 206 kanak-kanak berkulit hitam berusia 6 hingga 17 tahun yang menghidap asma ringan dengan penggunaan inhaler. Kajian ini dilakukan di sekitar kawasan St. Louis dan dipecahkan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama diminta untuk mengambil inhaler steroid beclomethasone apabila simptom menyerang sahaja manakala kumpulan kedua diminta untuk mengambil inhaler steroid beclomethasone ini pada setiap hari.
Selepas setahun, keputusannya menunjukkan bahawa tiada perbezaan di antara kedua-dua kumpulan ini terhadap pengawalan asma mereka. Selain itu, sistem pernafasan dan paru-paru mereka tidak langsung menunjukkan perubahan yang ketara. Paling penting, sepanjang tempoh kajian dijalankan ini tiada langsung kanak-kanak yang memerlukan rawatan perubatan ekstra akibat serangan penyakit ini daripada mana-mana kumpulan.