Bagi wanita yang melakukan penyusuan susu ibu, sampai satu masa, pasti anda ingin mengetahui tips bercerai susu. Tapi timbul pula kebimbangan tentang bagaimana keperluan nutrisi anak jika mereka berhenti menyusu badan?
Bertenang, ibu! Ada cara untuk mengekalkan nutrien yang diperlukan si manja anda itu. Namun sebelum itu, ayuh kita fahami terlebih dahulu bilakah masa terbaik untuk menghentikan penyusuan susu ibu.
Sudah bersedia menghentikan penyusuan susu ibu?
Bila masa terbaik untuk menghentikan penyusuan susu ibu adalah persoalan yang sering diutara kebanyakan ibu yang mahu “bercerai susu”. Sudah tentu perkara ini merunsingkan jika si manja masih bergantung pada susu badan.
American Academy of Pediatrics (AAP) mengesyorkan penyusuan susu ibu secara eksklusif dilakukan sekurang-kurangnya selama 6 bulan pertama selepas bayi dilahirkan 1.
Ia kemudiannya diikuti dengan 6 bulan penyusuan eksklusif bersama pengambilan makanan pepejal, sehinggalah bayi mencecah usia setahun 1. Selepas itu, penyusuan berbeza-beza mengikut tempoh yang diingini ibu.
Keputusan bercerai susu badan adalah pilihan peribadi ibu
Apabila bercakap tentang keputusan bercerai susu, ia sebenarnya terletak pada keinginan ibu dan kesediaan si manja 1, bukannya pada pandangan dan saranan pihak lain. Penyusuan susu badan boleh berlangsung selama mana yang diingini, hingga ada yang sampai anak berusia dua tahun ke atas.
Namun, jika anda sudah menetapkan masa tertentu untuk bercerai susu dengan anak, jom ikuti kaedah terbaik yang dibincangkan di bawah ini untuk memulakan proses tersebut!
Cara terbaik bercerai susu badan buat ibu yang sudah bersedia
Kaedah yang paling mudah untuk bercerai susu adalah dengan melihat isyarat yang ditunjukkan si manja sendiri yang sudah tiba masanya mereka berhenti menyusu badan 2. Antara isyaratnya seperti mereka menyusu dalam tempoh yang lebih singkat, atau kelihatan terganggu semasa sesi penyusuan.
Situasi ini akan berlaku secara semula jadi apabila mereka mula diperkenalkan dengan makanan pepejal. Impak daripada pendedahan tersebut, mereka akan beralih ke bentuk makanan lain, demi mencari keselesaan dan tekstur makanan kegemaran mereka 3.
Tips #1 bercerai susu badan: Ibu mulakan langkah pertama
Tapi, ada juga anak yang mungkin tidak langsung menunjukkan keinginan untuk berhenti menyusu badan. Ia akan berterusan sehinggalah mereka tidak lagi sanggup untuk duduk diam sepanjang tempoh menyusu 2.