Dulu Berdua, Kini Bertiga: 5 Tip Bawa Bayi Naik Pesawat

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

‘Sayang, sebenarnya selamat atau tidak bawa bayi naik pesawat’?. Ini merupakan soalan lazim yang ditanyakan oleh seorang ibu kepada pasangannya ketika sedang merancang untuk pergi melancong bersama dengan bayi kesayangan mereka. Hakikatnya, setiap ibu bapa pasti akan berasa bimbang untuk membawa si kecil mereka keluar berjalan kerana khuatir akan berlaku apa-apa yang tidak diingini kepadanya, lebih-lebih lagi jika perlu menaiki kapal terbang. Jadi, apakah yang ibu bapa perlu lakukan? Sila ikuti artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut.

Dulu berdua, kini bertiga

London? Madrid? Paris? Rome? Namakan sahaja destinasi pelancongan idaman anda kepada pasangan untuk berbulan madu, ia pasti akan tercapai demi membuktikan cintanya kepada anda. Namun, itu semua sebelum kelahiran insan baru dalam kehidupan anda berdua. Kehadiran si kecil ini memang akan membawa kegembiraan kepada pasangan yang baru berkahwin namun dalam masa yang sama turut mengundang kegelisahan.

Ini kerana anda yang dulunya sangat gemar mengembara ke luar negara bersama pasangan kini perlu membawa bayi anda sekali bersama. Jika ia merupakan kali pertama anda melakukannya, ia memang agak menyusahkan. Pun begitu, anda perlu bersabar. Jangan sesekali menyalahkan si kecil anda itu. Anda sendiri tidak mahu merosakkan mood anda dan pasangan sebelum pergi melancong, bukan?

Jadi, ada beberapa tip yang anda dan pasangan boleh cuba ikuti sebelum mula menempah tiket kapal terbang dan bilik hotel anda. Ia terjamin akan membantu!

Tip bawa bayi melancong menaiki pesawat

Usah khuatir, Hello Doktor ada panduan yang boleh anda ikuti:

#1. Jumpa doktor terlebih dahulu

Pertama sekali, sila bawa bayi anda berjumpa dengan doktor terlebih dahulu. Bincang dengan doktor anda mengenai lokasi percutian anda dan ambil vaksin yang diperlukan. Selain itu, minta nasihat mereka sama ada boleh atau tidak anda bawa bayi anda menaiki kapal terbang sekiranya si kecil anda itu ada menghidapi penyakit jantung atau paru-paru.

#2. Tukar lampin bayi sebelum menaiki pesawat

Sebelum menjejakkan kaki ke dalam kapal terbang, pastikan anda tukar lampin pakai buang bayi anda terlebih dahulu. Ini bukan sahaja demi keselesaan si kecil anda, tetapi juga untuk penumpang sebelah anda. Siapa sahaja yang mahu bau busuk tiba-tiba muncul, bukan? Lebih-lebih jika saiz pesawat itu kecil dan jarak antara penumpang adalah rapat.

#3. Bawa selimut bayi sendiri

Ya, mungkin ada sesetengah pesawat yang menyediakan selimut tapi tidak semua. Jika tidak disediakan, anda boleh cuba minta kepada krew kabin di dalam pesawat. Pun begitu, apa kata anda bawa selimut bayi anda sendiri. Sudah tentu lebih mudah, selesa dan tidak menyusahkan orang lain, bukan?

#4. Beri bayi makan snek yang sesuai

Sedangkan orang dewasa pun boleh muntah dalam pesawat, apatah lagi bayi? Jadi, pastikan anda beri bayi anda makanan yang sesuai dan tidak memualkan. Jika masih menyusu, susukan sahaja si kecil anda ketika sedang dalam penerbangan sehingga tertidur. Sudah tentu anda dan pasangan anda akan dapat menikmati permandangan di luar tingkap dengan lebih tenang.

#5. Tutup telinga bayi

Paling penting, sentiasa tutup telinga bayi sepanjang penerbangan dengan menggunakan kapas atau fon telinga untuk mengelakkan bayi menangis kerana perubahan tekanan udara ketika berada di udara. Sebaiknya, pasangkan lagu yang boleh membuat mereka mengantuk lalu tertidur di dalam pangkuan anda.

Tiba sahaja di destinasi, periksa keadaan bayi anda. Jika dia ada menunjukkan tanda seperti muntah-muntah, cirit-birit atau tidak henti menangis, bawa dia berjumpa dengan doktor berhampiran anda. Jika tiada sebarang perubahan, teruskan nikmati percutian anda seperti dalam perancangan. 

Dengan segala tip-tip berikut, anda tidak perlu lagi bertanya kepada pasangan sama ada selamat atau tidak bayi naik pesawat. Walaupun dulu berdua, kini bertiga dan seterusnya berempat atau berlima, tiada lagi masalah untuk anda bawa keluarga melancong ke luar negara dengan menaiki kapal terbang!

 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut