Anak Bawah 5 Tahun Tak Boleh Minum Susu Alternatif?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

“Anak kau kalau tak boleh minum susu lembu, kau bagi dia minum susu badam. Susu juga tu. ‘Takda’ masalah punya,” saran Acik Bedah sebelah rumah dengan confident. Hmm…boleh ke ‘ek’ ikut idea Acik Bedah tu? Adoii..rungsing kepala memikirkannya. 

Sebelum anda ikuti sebarang saranan atau cadangan, apa kata anda baca dulu perkongsian artikel Hello Doktor. Mungkin sedikit sebanyak dapat membantu merungkai kerungsingan di hati anda.

Apa itu susu alternatif?

Dengan peningkatan ramai individu menderita masalah berkaitan pemakanan seperti isu intoleransi atau alahan terhadap laktosa,maka semakin banyaklah produk susu alternatif yang mula dihasilkan boleh didapati dalam pasaran sejak kebelakangan ini.  

Selain itu faktor yang mengatakan produk susu alternatif ini juga mempunyai jumlah kandungan nutrien yang sama seperti produk tenusu dalam kuantiti hidangan yang sama menjadikan ia sebagai satu daya tarikan untuk ramai individu memilih menggunakan produk susu alternatif ini.

Jadi apakah yang sebenarnya yang dikatakan dengan produk susu alternatif ini? Ringkasnya, produk ini merujuk kepada minuman pengganti susu atau produk yang dihasilkan melalui sumber tumbuh-tumbuhan seperti oat, kekacang – soya, pea, gajus dan badam, serta pelbagai tumbuhan lain, termasuklah kelapa.

Susu alternatif bukan pengganti sesuai

Namun menurut laporan yang diterbitkan dalam Healthy Drinks Healthy Kids, pakar memberitahu bahawa produk susu alternatif yang berasaskan tumbuhan ini sebenarnya mempunyai nilai berbeza dan tidak akan dapat dijadikan sebagai pilihan bagi menggantikan susu lembu atau susu ibu.

Pakar turut menjelaskan bahawa produk susu daripada kelapa (santan), susu beras dan susu berasaskan tumbuhan lain merupakan pengganti susu tenusu yang tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak di bawah usia 5 tahun. 

Ini kerana susu bukan sekadar mengandungi kalsium – iaitu mineral yang memainkan peranan penting dalam memastikan otot dan saraf berfungsi dengan baik dan membantu melepaskan hormon dan enzim – tetapi ia merupakan satu minuman yang mempunyai keseimbangan vitamin D, B12, kalium dan protein. 

Dalam erti kata lain, susu ini boleh diumpamakan seperti ‘satu kedai serbaneka’ yang penuh dengan komponen utama bagi pertumbuhan dan pembangunan sihat kanak-kanak.

Sangat berbeza

Berlainan pula dengan produk susu alternatif (selain daripada susu soya yang diperkaya), walaupun ia mungkin menawarkan beberapa kandungan nutrien, namun pada dasarnya ia masih sangat berbeza. Kandungan nutrien tersebut dipercayai boleh ‘memusnahkan’ nutrien yang diperolehi daripada minuman sihat yang diambil kanak-kanak. 

Dari aspek kesihatan, jika paras kalsium dalam darah adalah rendah, badan akan menggunakan kalsium yang daripada tulang bagi membantu menjalankan fungsi-fungsinya. Sekiranya bayi dan anak kecil tidak mendapat kalsium dan vitamin D (yang membantu dalam proses penyerapan kalsium), ia akan meningkatkan risiko untuk mendapat riket. 

Apa itu riket? Riket merupakan satu masalah melibatkan gangguan pada tulang lembut yang boleh menyebabkan berlaku pembengkokan kaki yang serius, tumbesaran yang kurang baik dan ada kalanya ia boleh menyebabkan otot sakit dan lemah. 

Tiada keseimbangan nutrien

Secara amnya, beberapa produk susu alternatif mempunyai salah satu kandungan ekstrem berikut iaitu sama ada jumlah kalori yang tinggi atau berlebihan untuk produk tenusu, terlalu banyak atau terlalu sedikit kandungan lemak, atau mempunyai kandungan karbohidrat yang tinggi.

Jika senarai kandungan tersebut tidak menakutkan anda, mungkin dua senarai ramuan seterusnya mungkin akan menggerunkan anda. Yang pertama, organisma diubahsuai secara genetik (genetically-modified organisms (GMO)). Ia mengandungi glysophate, yang merupakan karsinogen yang bertanggungjawab untuk kanser. 

Ramuan yang kedua adalah carageenan – iaitu derivatif rumput laut merah yang ditambah kepada makanan untuk menjadikan tekstur makanan lebih likat dan mengelakkan daripada terurai. Terdapat kajian turut mengaitkan carageenan kepada masalah berkaitan keradangan usus serta kanser.

Walaupun terdapat sesetengah syarikat telah menggunakan pendekatan bebas GMO dan carageenan dalam penyediaan produk susu alternatif, namun masih terdapat syarikat pengeluaran masih memasukkan bahan-bahan ini ke dalam produk mereka. 

Risiko penyakit

Lebih membimbangkan, produk susu alternatif cenderung mengandungi jumlah gula atau pemanis tiruan yang tinggi. Kandungan gula yang tinggi, seperti yang kita ketahui, menyumbang kepada pelbagai risiko penyakit kronik.  Ini termasuk obesiti dan penyakit jantung, serta masalah kesihatan seperti keradangan dan tekanan darah tinggi. Walau bagaimanapun, ia mungkin lebih baik sedikit daripada pengambilan minuman soda yang lebih banyak kandungan gula

Jika dilihat daripada aspek persaingan sesama pengeluar, terdapat sesetengah produk susu alternatif ini mungkin telah diperkayakan dengan kandungan nutrisi untuk menampakkan ia sebagai satu produk yang lebih “sihat” dan mampu menarik minat pembeli. Tetapi hakikatnya, komposisi nutrien tambahan yang terkandung di dalam produk ini mungkin tidak dapat membekalkan badan kita dengan vitamin dan mineral yang diperlukan sama seperti produk tenusu. 

Menurut penjelasan daripada pakar, badan kita mungkin tidak akan dapat menyerap zat dan nutrien daripada produk susu alternatif berasaskan tumbuhan sama seperti penyerapan produk tenusu. 

Ini kerana secara hakikatnya, badan kita memproses setiap jenis makanan atau cecair yang dimakan secara berbeza. Berdasarkan teori ini, didapati bahawa struktur dan komponen produk tenusu, apabila dibandingkan dengan produk susu alternatif, menjadikan kandungan nutrisi lebih “bioavailable” – satu istilah yang digunakan oleh pakar pemakanan. 

Kesimpulannya 

Jika anda mempunyai anak berusia 5 tahun ke bawah, yang mungkin mempunyai masalah berkaitan intoleransi atau alahan kepada susu lembu, mungkin susu alternatif merupakan pilihan terakhir untuk membantu anak anda memperolehi nutrisi yang diperlukan. Tetapi sebaiknya, dapatkan nasihat dan berundinglah dengan pakar pediatrik atau pakar pemakanan yang bertauliah sebelum memberikan anak anda sebarang produk susu alternatif.  Ia bukanlah sesuatu perkara yang boleh diambil mudah dan dipandang remah.

Janganlah secara membuta tuli membuat keputusan untuk mendengar dan mempercayai saranan mahupun nasihat daripada jiran sebelah rumah ataupun Dr Google, terutamanya dalam hal berkaitan kesihatan dan penjagaan diri serta keluarga.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel berikut:

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut