Tahukah anda bagaimana cara untuk mengira waktu subur selepas period? Perkara ini penting terutamanya bagi mereka yang ingin merancang untuk hamil.
Walaupun terdapat banyak kalkulator kira waktu subur di laman web kesihatan, namun waktu subur dan waktu tidak subur wanita berbeza bagi setiap individu.
Meskipun begitu ia tidak bermakna kita tidak boleh meramal bila waktu terbaik untuk melakukan hubungan seks bersama pasangan.
Jika anda ingin meningkatkan kebarangkalian untuk hamil, kiraan waktu subur selepas period boleh membantu mengatur kekerapan anda melakukan hubungan seks.
Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Perihal ovulasi, waktu subur selepas period
Kitaran haid wanita terbahagi kepada beberapa fasa. Antara yang menjadi tumpuan bagi mereka yang ingin mendapatkan anak adalah waktu ovulasi.
Jadi, apa itu ovulasi?
Ia merupakan satu fenomena biologi di mana telur yang berada di dalam ovari keluar selepas matang kesan daripada perubahan hormon untuk disenyawakan dengan sperma.
Jika berlakunya pertembungan dan persenyawaan, produk kepada proses tersebut akan bergerak ke rahim dan ditanam di sana.
Apa yang anda perlu tahu adalah, sejurus keluar ovum (sel telur) daripada ovari, ia mempunyai masa sekitar 12 jam untuk disenyawakan.
Sekiranya tiada persenyawaan berlaku, sel tersebut akan mengalami fasa peluluhan (disintegration) dan dinding rahim yang menebal, kelak, akan jatuh sebagai darah haid.
Jika dilihat pada durasi ovum, secara logiknya, akan ada anggapan penting untuk kita meramal waktu yang tepat bagi proses ovulasi.
Bayangkan, anda hanya ada masa 12 jam sahaja!
Walau bagaimanapun, bukan semua individu mempunyai jumlah hari kitaran haid seperti apa yang digambarkan dalam buku teks.
Oleh sebab itu kiraan waktu selepas period agak mencabar, terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai kitaran haid teratur.
Pun begitu, waktu singkat yang dimiliki oleh ovum boleh ditimbang kembali dengan jangka hayat sperma di dalam badan wanita.
Secara amnya, sperma boleh hidup di antara 3 hingga 5 hari (3 hari lebih ideal) di dalam tubuh wanita.
Melalui dua maklumat jangka hayat sel ini lah kita boleh mengatur tabiat seks harian bagi meningkatkan kecenderungan untuk mendapatkan anak.
Purata panjang bagi kitaran haid wanita
Sebelum kita menentukan bila waktu subur dan waktu tidak subur wanita, anda perlu tahu tempoh satu kitaran haid.
Menurut buku teks perubatan, secara puratanya, wanita normal mempunyai jumlah kitaran haid 28 hari.
Namun begitu, badan manusia tidak selalu beroperasi seperti apa yang termaktub dalam buku teks.
Terdapat pelbagai jenis faktor yang boleh mempengaruhi kitaran haid wanita.
Apa yang anda perlukan sekarang adalah purata durasi bagi kitaran haid dengan menggunakan kiraan ringkas matematik.
Kira atau lihat pada rekod (jika anda menulis) jumlah hari kitaran haid bagi tiga bulan.
Apabila anda mempunyai jumlah tersebut tambahkan dan bahagi 3 bagi mendapatkan nilai purata.
Sebagai contoh, jumlah hari kitaran haid anda adalah:
- 28 hari pada bulan pertama
- 32 hari pada bulan kedua
- 27 hari pada bulan ketiga
Jika ditambah kesemua angka tersebut, anda akan mendapat nilai 87.
Seterusnya, bahagi 3, nilai yang bakal anda perolehi adalah 29 hari.
Secara ringkasnya, kita boleh simpulkan, anggaran nilai purata bagi kitaran haid anda adalah 29 hari.
Langkah ini penting sebelum kita mengambil kira nilai seterusnya bagi meramal kiraan bagi wanita yang ingin hamil.
Kiraan waktu subur selepas period yang tepat
Oleh sebab terdapat dua fasa (fasa folikel dan fasa luteal) di antara fasa ovulasi, pengiraan waktu subur selepas period secara tepat agak mencabar.
Setiap wanita mempunyai jumlah hari bagi fasa folikel dan luteal berbeza, tidak kiralah seberapa besar pun nilainya.
Walau bagaimanapun, bagi mendapatkan anggaran masa untuk mengetahui waktu subur, kita menggunakan nilai fasa luteal tetap pada 14 hari. Anda juga boleh menggunakan kalkulator kira waktu subur.
Ini bermakna nilai anggaran purata 29 hari sebentar tadi (bergantung kepada hasil pengiraan anda) perlu ditolakkan dengan 14 hari.
Hasil kiraan tersebut akan memberikan nilai 15. Secara mudahnya, ramalan bagi waktu subur adalah pada sekitar hari ke-15 kitaran haid.
Oleh sebab wanita mempunyai kiraan yang berbeza, maklumat berkenaan dengan jangka hayat sperma boleh diambil untuk meningkatkan kebarangkalian hamil.
Jika hubungan seks dibuat 3 hari sebelum hari ke-15, maka, waktu yang paling sesuai untuk anda mencuba adalah pada hari ke 13, 14 dan 15.
Waktu tersebut boleh dianggap sebagai waktu subur selepas period.
Bagi mereka yang tidak pasti dan mempunyai kitaran haid tidak teratur, hubungan seks pada kekerapan sekali dalam tempoh dua hingga 3 hari boleh meningkatkan kebarangkalian anda untuk hamil.
Konklusi
Nilai yang dinyatakan di atas tidak boleh diambil sebagai angka mutlak bagi jumlah hari fasa tertentu.
Namun ia berguna jika anda ingin membuat kiraan jangkaan berkaitan dengan waktu subur selepas period.
Perhatian!
Jika anda ragu, dapatkan khidmat nasihat daripada doktor perubatan anda sekarang.
[embed-health-tool-pregnancy-weight-gain]