Si Dia Masih Tidak Bersedia? Ini 5 Cara Memujuk Pasangan Yang Belum Mahu Anak!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Jika ditanyakan pada mana-mana suami isteri, sudah pasti setiap dari mereka mahukan cahaya mata untuk melengkapkan dan menceriakan kehidupan. Namun, ada juga sesetengah pasangan yang mengamalkan perancangan keluarga kerana belum bersedia.

Persoalannya, bagaimana jika anda sudah tapi si dia masih tidak bersedia? Bagaimanakah cara memujuk pasangan yang belum mahu anak?

Tenang, Hello Doktor akan membantu anda. Sila teruskan membaca untuk tahu jawapannya!

Cara memujuk pasangan yang belum mahu anak

memujuk

Sebelum pergi dengan lebih mendalam lagi, anda perlu tahu satu perkara ini terlebih dahulu iaitu jangan memaksa!

Pasangan anda mungkin ada alasannya sendiri. Mungkin dia benar-benar belum bersedia ekoran faktor kerjaya, kewangan ataupun dia sebenarnya takut untuk menghadapi kehamilan itu sendiri.

Tanpa mengira anda adalah suami atau isteri, kalian berdua mungkin punya alasan tersendiri untuk belum bersedia mempunyai anak.

Namun, janganlah itu menjadi punca anda dan pasangan bertengkar sesama sendiri.

Jadi, usah melengahkan masa lagi. Ini cara memujuk pasangan yang belum mahu anak:

#1. Pastikan anda mempunyai motivasi kukuh untuk memiliki anak

Sebelum mula memujuk pasangan, pastikan anda mempunyai motivasi untuk memiliki anak terlebih dahulu. Tanya pada diri sendiri sama ada anda telah memiliki motivasi yang kukuh, betul, tepat dan rasional bukan emosional.

Ini kerana motivasi yang kukuh mampu mencairkan hati pasangan anda untuk akhirnya bersetuju hamil. Selepas anda sendiri jelas akan motivasi anda, barulah mula berbincang dan memujuk pasangan anda.

Pun begitu, pastikan anda cuba elakkan daripada memujuk pasangan untuk memiliki anak dengan memberi alasan yang boleh menimbulkan sengketa seperti berikut:

  • Tuntutan ibu bapa, mertua, keluarga atau orang lain
  • Mahu mengikuti norma hidup yang mengatakan pasangan wajib mempunyai anak
  • Supaya ada orang yang boleh mengurus dan menjaga anda dewasa kelak
  • Untuk mempertahankan perkahwinan anda
  • Untuk menemukan tujuan hidup anda

Alasan seperti ini adalah sama sekali tidak boleh diberikan! Ia bukan sahaja akan membuat pasangan tidak terpujuk malah hubungan kalian berdua juga berisiko untuk retak.

#2. Jelaskan perkaitan hal kehamilan dengan isu kesihatan

Selain itu, apa kata anda cuba pujuk pasangan dengan menjelaskan mengenai hal kehamilan dengan isu kesihatan anda berdua?

Beritahulah kepada isteri anda bahawa kesuburan seorang wanita akan menurun dengan mendadak apabila sudah mencecah usia 30 tahun.

Bukan itu sahaja, kehamilan lewat usia juga dikatakan boleh mendatangkan kecacatan pada kandungan serta meningkatkan risiko kematian ibu dan bayi ketika proses kelahiran.

Begitu juga dengan lelaki. Semakin tua suami anda, sudah pasti kualiti dan kuantiti spermanya juga akan berkurangan.

Jadi, cuba memujuk pasangan dengan cara menjelaskan perkaitan hal kehamilan dengan isu kesihatan sekiranya kalian merancang untuk hamil terlalu lambat.

#3. Berkompromi dalam usaha memujuk pasangan

memujuk pasangan

Apa yang paling penting, jangan sesekali memaksa pasangan anda. Sekiranya mereka memang benar-benar belum bersedia, tidak salah berkompromi dengan pasangan anda.

Jika mereka masih tidak bersedia pada ketika ini, tanyakan bila waktu mereka akan bersedia. Selepas itu, bersama-samalah tetapkan waktu yang sesuai dan dipersetujui oleh kalian berdua.

Dalam pada itu, jangan sesekali mengkritik dan menghakimi pasangan hanya kerana mereka belum mahu mempunyai anak bersama anda.

Selamilah hatinya dengan lebih mendalam lagi. Mungkin mereka memang ada alasan yang tidak boleh dielakkan?

#4. Yakinkan mereka bahawa anda sudah sedia untuk bertanggungjawab

Ramai pasangan yang menunda, menangguh atau tidak mahu terus untuk menghadapi kehamilan kerana takut dengan tanggungjawab yang bakal tiba di saat sudah memiliki anak, baik dari segi kewangan, emosional, mental, fizikal dan sebagainya.

Sekiranya hal seperti ini terjadi kepada anda atau pasangan, cuba untuk belajar, pupuk dan semat sikap tanggungjawab dalam diri anda. Fikirkan persediaan anda sekiranya sudah mempunyai anak kelak.

Sebagai contoh, anda mungkin sudah boleh menabung untuk mengukuhkan kewangan anda dari hari ini lagi. Dalam pada itu, belajarlah menguruskan emosi anda dari awal agar tidak terlalu terbeban kelak.

Jadi, salah satu cara utama dalam memujuk pasangan untuk hamil adalah yakinkan mereka bahawa anda sudah sedia untuk bertanggungjawab terhadap anak yang bakal lahir nanti!

#5. Pergi sesi kaunseling bersama pasangan

Akhir sekali, bantuan daripada para profesional adalah sangat diperlukan jika usaha memujuk si dia untuk hamil menemui jalan buntu. Mungkin kata-kata seseorang boleh memujuk pasangan anda untuk setuju?

Jadi, sila ajak si dia berjumpa pakar kaunseling untuk menemukan penyelesaian kepada masalah yang anda dan pasangan hadapi. Ketahuilah bahawa setiap masalah pasti ada penyelesaiannya!

Jangan putus asa dalam usaha memujuk pasangan 

memujuk pasangan

Kesimpulannya, terdapat banyak cara memujuk pasangan yang belum bersedia untuk hamil agar mereka setuju. Cuma, anda tidak boleh berputus asa.

Sekiranya satu cara tidak menjadi, cuba lakukan usaha yang lain pula. Lama-kelamaan, mungkin pasangan anda juga akan berlembut dan bersetuju dengan anda. Siapa tahu?

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Tarikh Reviu: Mac 9, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Mac 22, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut