Jaga-jaga, Elak Tidur Telentang Semasa Hamil. Ini Sebabnya!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Jika anda adalah seorang wanita yang sedang hamil, bagaimanakah pengurusan seharian diri anda? Lebih penting lagi bagaimanakah anda tidur? Ada kajian yang menyatakan berkenaan kesan posisi anda tidur terhadap bayi yang akan dilahirkan. Apakah kesan yang dinyatakan tersebut? Ikutinya melalui penulisan ini.

Posisi tidur dan berat badan bayi

Sekumpulan saintis daripada Universiti Auckland, Australia mendapati, wanita hamil yang tidur telentang semasa trimester ketiga, akan cenderung melahirkan bayi dengan berat badan kelahiran yang rendah. Mereka mendapati kumpulan responden ibu hamil yang tidur telentang mempunyai purata berat bayi sebanyak 3.41 kg. Berat ini mempunyai kekurangan sebanyak 144 gram berbanding berat bayi yang dilahirkan oleh ibu hamil yang tidur dengan posisi berlainan seperti tidur mengiring.

Apa kaitan antara posisi tidur ibu dan berat kelahiran bayi?

Menurut kajian, tidur telentang semasa trimester ketiga telah dikaitkan dengan pengurangan aliran darah ke dalam rahim, yang mana ia boleh menyekat pertumbuhan dan perkembangan bayi dalam kandungan.

Hasil kajian yang diterbitkan dalam jurnal Obstetrics and Gynecology ini mendapati, bayi yang dilahirkan oleh ibu yang tidur dengan posisi telentang bersaiz lebih kecil berbanding bayi-bayi yang lain. Walau bagaimanapun, kedua-kedua kumpulan bayi tersebut masih dilahirkan dengan berat kelahiran yang sihat. Menurut University of Michigan, walaupun berat purata kelahiran bayi adalah 3.5 kg, namun julat berat kelahiran antara 2.5 kg hingga 4.5 kg adalah dianggap sebagai normal.

Posisi tidur telentang

Berbaring atau tidur telentang dipercayai boleh memampatkan vena cava, iaitu salur vena besar yang mengembalikan darah dari kepala ke jantung, dan aorta, yang membawa darah ke seluruh tubuh. Saintis menyatakan, ini mengurangkan jumlah darah yang dipam keluar daripada jantung, yang seterusnya mengurangkan oksigen dan bekalan nutrien kepada janin.

Oleh itu, bagi wanita hamil terutamanya bagi mereka yang telah berada pada trimester ketiga, cubalah untuk berbaring atau tidur dengan posisi selain tidur telentang. Anda boleh mengiring ke kanan atau ke kiri untuk mengurangkan beban di atas saluran vena dan tulang belakang badan anda. Kami juga percaya bahawa tidur di bahagian sisi adalah lebih selesa berbanding tidur telentang bagi ibu yang sedang hamil.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut