Apabila melalui tempoh kehamilan, terdapat aspek penjagaan kehamilan yang perlu diketahui bagi mengelakkan masalah kesihatan lain seperti diabetes gestasi. Jom ketahui bacaan gula normal untuk ibu mengandung.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Apa itu diabetes gestasi?
Diabetes gestasi atau gestational diabetes mellitus (GDM) merupakan satu penyakit yang biasa dialami oleh individu wanita hamil. Ia adalah salah satu komplikasi perubatan yang kerap dihadapi semasa kehamilan.
Penyakit ini akan memberikan implikasi kesihatan yang serius untuk ibu dan anak dalam kandungan sekiranya tidak dikawal dengan baik.
Sekiranya menghidap penyakit diabetes, anda perlu mengendalikan gula darah dan memastikannya sentiasa dalam paras normal untuk melindungi kesihatan diri dan bayi.
Jadi, anda perlu tahu bacaan gula normal untuk ibu mengandung bagi mengelakkan diabetes gestasi.
Jenis diabetes ini boleh menjejaskan kesihatan ibu dan janin jika tidak dikesan dan dikawal.
Wanita hamil mempunyai lebih banyak risiko preeklampsia, jangkitan, macrosomic baby (saiz bayi lebih besar daripada bayi normal yang lain, walaupun tidak semua diabetes gestasi menyebabkan bayi menjadi besar) dan keguguran.
Merawat diabetes gestasi perlu untuk memastikan janin sihat dan mengelakkan komplikasi semasa kelahiran.
Bacaan gula normal untuk ibu mengandung
Anda sudah mengetahui bahawa diabetes GDM boleh mendatangkan implikasi kesihatan kepada ibu dan bayi dalam kandungan, jadi apakah bacaan gula normal untuk ibu mengandung?
Bacaan gula normal untuk ibu mengandung atau bsp bergantung kepada sama ada ketika dia berpuasa atau selepas makan. Untuk pengetahuan, BSP merupakan singkatan kepada profil gula dalam darah.
Ujian BSP sering dilakukan di hospital dan klinik kesihatan bagi ibu yang menerima diagnosis diabetes hamil atau mereka yang sudah mempunyai penyakit diabetes sebelum hamil (jenis 1 atau jenis 2).
Walau bagaimanapun, jika berkemampuan, anda boleh mendapatkan alat ujian ini untuk membolehkan ujian dilakukan di rumah.
Berapa bacaan GDM normal?
Berikut merupakan garis panduan paras gula normal untuk ibu hamil daripada American Clinical O&G (ACOG):
- Sebelum makan, bacaan bsp yang normal untuk ibu mengandung adalah kurang daripada <95 mg/dL (5.3 mmol/L)
- 1 jam selepas makan, bacaan bsp yang normal untuk ibu mengandung adalah kurang daripada <140 mg/dL (7.8 mmol/L)
- 2 jam selepas makan, bacaan bsp yang normal untuk ibu mengandung adalah kurang daripada <120 mg/dL (6.7 mmol/L)
Walau bagaimanapun, bacaan di atas adalah sekadar garis panduan semata-mata yang diperolehi daripada pelbagai penyelidikan yang dilakukan.
Ini bermakna, bacaan gula normal untuk ibu mengandung adalah berbeza bagi setiap individu.
Ibu mengandung dengan diabetes
Jadi bagaimana penjagaan bagi ibu yang mungkin mengalami masalah diabetes gestasi ini? Berikut dikongsikan beberapa tip penjagaan yang boleh diamalkan:
Pemakanan seimbang
Diet yang sihat dan seimbang amatlah digalakkan untuk setiap individu, khususnya individu yang mempunyai masalah diabetes.
Seorang pakar pemakanan boleh membantu anda membuat rancangan pemakanan seimbang dan menunjukkan cara mengawal gula dalam darah sepanjang tempoh kehamilan.
Hidangan makanan biasa bagi wanita yang mempunyai diabetes adalah termasuk tiga hidangan bersaiz kecil ke sederhana dan dua hingga empat hidangan snek.
Pengubahsuaian hidangan makanan adalah bergantung kepada tahap gula dalam darah, selera pemakanan dan pola pertambahan berat serta faktor-faktor lain berkaitan kehamilan.
Pemeriksaan doktor
Sepanjang tempoh kehamilan, ibu hamil yang mempunyai diabetes perlu untuk melakukan pemeriksaan doktor dengan kerap.
Keadaan ini adalah untuk mendapatkan cara terbaik bagi mencegah dan merawat masalah kesihatan yang dialami pada peringkat awal.
Insulin dan pil
Anda perlu mengikut jadual pengambilan insulin dan pil seperti yang diarahkan oleh doktor bagi mengawal tahap gula dalam darah.
Terdapat beberapa keadaan di mana insulin sesuai untuk dijadikan rawatan utama. Antaranya:
- Bacaan gula normal untuk ibu mengandung tidak tercapai walaupun sudah dipreskripsikan dengan kawalan pemakanan, senaman dan terapi metformin
- Tidak boleh mengambil metformin disebabkan oleh kontraindikasi atau tidak mahu mengambilnya
- Gula di dalam darah semasa berpuasa melebihi 5.3 mmol/L (walaupun belum dipreskripsi dengan terapi metformin)
- Gula di dalam darah semasa berpuasa di antara 6.0-6.9 mmol/L berserta dengan komplikasi seperti bayi besar atau polihidramnios
Pemantauan dan kawalan
Mengekalkan gula dalam darah secara terkawal juga boleh menyebabkan paras gula dalam darah berada pada tahap yang rendah. Ini boleh menjejaskan bacaan gula normal untuk ibu mengandung.
Jika anda mengambil pil diabetes atau insulin, disyorkan untuk mempunyai sumber gula yang cepat, seperti gula-gula, tablet glukosa atau gel sepanjang masa.
Berat badan ibu hamil yang disarankan
Sememangnya sepanjang tempoh mengandung, berat badan anda pasti akan bertambah. Berikut adalah kenaikan berat badan yang disarankan bagi individu wanita hamil mengikut indeks jisim badan (BMI):
- Wanita yang kekurangan berat badan dengan nilai BMI <18.5, perlu mendapatkan lebih banyak berat, dari 12.5 hingga 18 kilogram (kg)
- Wanita dengan purata berat badan nilai BMI dari 18.5 – 22.9, perlu mendapat kira-kira 11.5 hingga 16 kg
- Wanita yang mempunyai berat badan berlebihan dengan nilai BMI 23 hingga 26.9, sepatutnya menambah berat dari 7 hingga 11.5 kg
- Manakala wanita dengan nilai BMI 27 dan ke atas disarankan untuk menambah berat antara 5 hingga 9 kg sahaja
Sebaliknya, jika BMI anda adalah tinggi sebelum hamil, kenaikan berat yang lebih rendah adalah amat digalakkan.
Apa yang penting adalah untuk ibu yang sedang hamil perlu menjaga diri secara keseluruhan, melibatkan kesihatan fizikal dan mental. Elakkan stres, okay?
[embed-health-tool-due-date]