backup og meta

Ramai Ibu Hamil Alami Masalah Ini, Tapi Tak Sedar Ia Boleh Jadi Bahaya

Kencing kotor atau jangkitan saluran kencing (urinary tract infection, UTI) merupakan antara masalah kesihatan yang kerap dialami oleh wanita hamil.

Ramai Ibu Hamil Alami Masalah Ini, Tapi Tak Sedar Ia Boleh Jadi Bahaya

Walaupun ia boleh menyebabkan ketidakselesaan seperti rasa pedih ketika membuang air kecil, UTI tidak boleh dipandang ringan kerana berisiko menyebabkan komplikasi kepada ibu dan bayi jika tidak dirawat.

Ketahui kenapa air kencing kotor ketika hamil, simptom yang perlu diberi perhatian, cara mengatasi kencing kotor semasa hamil serta beberapa petua hilangkan kencing kotor semasa hamil yang boleh diamalkan sebagai langkah sokongan.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

Kenapa air kencing kotor ketika hamil?

Wanita hamil lebih mudah mengalami jangkitan saluran kencing (UTI) disebabkan perubahan fisiologi yang berlaku sepanjang kehamilan.

Antara faktor yang meningkatkan risiko ialah:

  • Perubahan hormon yang melambatkan aliran air kencing
  • Rahim yang semakin membesar dan memberi tekanan pada pundi kencing
  • Air kencing yang bertakung lebih lama dalam saluran kencing
  • Bakteria lebih mudah membiak dalam saluran kencing

Jika tidak dirawat, jangkitan boleh merebak ke buah pinggang dan meningkatkan risiko komplikasi seperti kelahiran pramatang atau bayi lahir dengan berat badan rendah.

Tanda kencing kotor semasa hamil

Antara simptom UTI yang sering dialami ialah:

  • Pedih atau sakit ketika membuang air kecil
  • Kerap terasa ingin membuang air kecil
  • Air kencing kelihatan keruh
  • Air kencing berbau kuat
  • Sakit atau rasa tekanan pada bahagian bawah abdomen atau pelvis
  • Demam
  • Loya atau muntah

Jika anda mengalami demam, sakit belakang atau simptom yang semakin teruk, segera berjumpa doktor.

Cara mengatasi kencing kotor semasa hamil

Rawatan utama untuk UTI semasa hamil ialah antibiotik yang dipreskripsikan oleh doktor. Antibiotik tertentu selamat digunakan sepanjang kehamilan dan penting untuk mengelakkan jangkitan menjadi lebih serius.

Selain mengambil ubat seperti yang diarahkan, doktor juga mungkin menasihatkan anda supaya:

  • Minum air yang mencukupi
  • Berehat secukupnya
  • Menghabiskan keseluruhan antibiotik walaupun simptom telah berkurangan
  • Datang semula untuk pemeriksaan jika simptom tidak bertambah baik

Petua di rumah boleh membantu mengurangkan ketidakselesaan, tetapi ia bukan pengganti rawatan perubatan.

Petua hilangkan kencing kotor semasa hamil

Beberapa amalan berikut boleh membantu menyokong pemulihan dan mengurangkan risiko UTI berulang.

1. Banyakkan minum air

Minum air secukupnya membantu mencairkan air kencing dan menyingkirkan bakteria daripada saluran kencing melalui proses pembuangan air kecil.

2. Jangan tahan kencing

Elakkan menahan kencing terlalu lama kerana air kencing yang bertakung boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria.

3. Minum jus kranberi tanpa gula tambahan

Sesetengah kajian menunjukkan jus kranberi mungkin membantu mengurangkan risiko bakteria melekat pada saluran kencing. Walau bagaimanapun, bukti keberkesanannya masih bercampur dan ia tidak boleh menggantikan rawatan antibiotik.

petua hilangkan kencing kotor semasa hamil
Jus kranberi boleh bantu atasi kencing kotor.

Jika anda mengambil ubat pencair darah, dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil jus kranberi.

4. Amalkan kebersihan diri yang baik

Beberapa amalan mudah yang boleh membantu termasuk:

  • Mengelap dari arah depan ke belakang selepas ke tandas
  • Menukar pakaian dalam setiap hari
  • Memastikan kawasan sulit sentiasa bersih dan kering

5. Buang air kecil selepas hubungan seksual

Membuang air kecil selepas hubungan intim boleh membantu menyingkirkan bakteria yang mungkin memasuki uretra.

6. Elakkan produk kewanitaan berpewangi

Produk seperti semburan pewangi, douche atau bedak pada kawasan intim boleh menyebabkan iritasi dan mengganggu keseimbangan bakteria semula jadi.

7. Pakai seluar dalam kapas

Pilih seluar dalam yang diperbuat daripada kapas dan tidak terlalu ketat bagi membantu mengekalkan kawasan sulit kering serta mengurangkan kelembapan yang menggalakkan pertumbuhan bakteria.

Bilakah perlu berjumpa doktor?

Segera dapatkan pemeriksaan doktor jika anda mengalami:

  • Demam atau menggigil
  • Sakit belakang atau sakit pada bahagian sisi badan
  • Darah dalam air kencing
  • Muntah yang berterusan
  • Simptom tidak bertambah baik selepas mengambil antibiotik
  • UTI yang kerap berulang semasa hamil

Rawatan awal penting bagi mengurangkan risiko komplikasi kepada ibu dan bayi.

Akhir kata

Kencing kotor semasa hamil merupakan masalah yang biasa berlaku, tetapi ia tidak boleh diabaikan kerana boleh meningkatkan risiko komplikasi jika tidak dirawat.

Perhatian!

Selain mendapatkan rawatan yang sesuai daripada doktor, anda juga boleh mengamalkan petua hilangkan kencing kotor semasa hamil seperti minum air secukupnya, menjaga kebersihan diri dan tidak menahan kencing.

Jika simptom berlarutan, bertambah teruk atau disertai demam dan sakit belakang, segera dapatkan pemeriksaan doktor untuk rawatan yang sewajarnya.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Natural Treatments for UTIs During Pregnancy. https://americanpregnancy.org/healthy-pregnancy/pregnancy-health-wellness/natural-treatments-for-utis-during-pregnancy/. Accessed on July 17, 2023

Zafriri D, Ofek I, Adar R, Pocino M, Sharon N. Inhibitory activity of cranberry juice on adherence of type 1 and type P fimbriated Escherichia coli to eucaryotic cells. Antimicrob Agents Chemother. 1989 Jan;33(1):92-8. doi: 10.1128/AAC.33.1.92. PMID: 2653218; PMCID: PMC171427. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/2653218/. Accessed on July 17, 2023

Beetz R. Mild dehydration: a risk factor of urinary tract infection? Eur J Clin Nutr. 2003 Dec;57 Suppl 2:S52-8. doi: 10.1038/sj.ejcn.1601902. PMID: 14681714. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/14681714/. Accessed on July 17, 2023

M. E. Sanders, D. Merenstein, C. A. Merrifield, R. Hutkins. Probiotics for human use. Nutrition BulletinVolume 43, Issue 3 p. 212-225. https://doi.org/10.1111/nbu.12334. Accessed on July 17, 2023 

Ritchie ML, Romanuk TN. A meta-analysis of probiotic efficacy for gastrointestinal diseases. PLoS One. 2012;7(4):e34938. doi: 10.1371/journal.pone.0034938. Epub 2012 Apr 18. PMID: 22529959; PMCID: PMC3329544. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/22529959/. Accessed on July 17, 2023

 

Versi Terbaru

30/07/2026

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Ibu Hamil Kena Selesema? Ini Pilihan Rawatan Yang Selamat Untuk Bayi!

Nak Elak Diabetes Gestasi, Kena Tahu Bacaan Gula Normal Untuk Ibu Mengandung!


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 7 hari lalu

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan