backup og meta

9 Nutrien Wajib Ada Dalam Susu Untuk Ibu Hamil, Barulah Kandungan Membesar Dengan Sihat

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 3 minggu lalu

    9 Nutrien Wajib Ada Dalam Susu Untuk Ibu Hamil, Barulah Kandungan Membesar Dengan Sihat

    Selain mengamalkan pemakanan sihat sepanjang tempoh kehamilan, bakal ibu juga disarankan untuk mengambil susu dalam rutin diet harian. Tetapi bagaimana untuk mencari susu ibu mengandung yang bagus? Baca selanjutnya untuk jawapan.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

    Susu ibu mengandung yang bagus

    Bagi wanita hamil, menjaga pemakanan adalah sangat bermanfaat untuk diri dan juga bayi dalam kandungan.

    Pengambilan susu semasa mengandung merupakan kaedah yang dapat memenuhi keperluan nutrisi lengkap ibu hamil. 

    Bilakah waktu sesuai minum susu untuk ibu mengandung?

    Seorang wanita hamil boleh mengamalkan pengambilan susu dari tempoh awal kehamilan mereka.

    Ini kerana ia mengandungi nutrien penting yang dapat mengekalkan kesihatan tubuh bakal ibu seperti kalsium dan vitamin D serta menawarkan kebaikan kepada kandungan.

    Adakah pengambilan susu semasa mengandung menjadikan bayi besar?

    susu ibu mengandung yang bagus

    Minum susu semasa hamil boleh menjadikan bayi sihat kerana ia membekalkan sejumlah besar lemak kalsium, protein dan kalori yang diperlukan untuk perkembangan janin.

    Pun begitu, susu sahaja tidak boleh menjadi penanda aras kepada berat dan saiz keseluruhan bayi.

    9 kandungan penting dalam susu ibu hamil yang bagus

    Bagaimana untuk menentukan susu terbaik untuk ibu mengandung? Lebih-lebih lagi terdapat pelbagai jenis jenama susu di pasaran.

    Tidak dinafikan setiap susu yang terjual di pasaran menawarkan kelebihan tersendiri. Namun terdapat beberapa nutrien penting yang harus ada dalam susu yang bagus untuk bakal ibu.

    Protein

    Protein penting dalam pembentukan tisu dalam badan, terutamanya untuk janin seperti pembentukan otot, menjaga kesihatan ibu atau tulang janin, mengekalkan kesihatan kulit ibu semasa mengandung dan beberapa faedah lain.

    Kandungan protein dalam susu juga diperlukan untuk pembentukan darah dan air ketuban yang sihat. Ia turut menjadi antibodi untuk ibu dan janin.

    Susu ibu mengandung yang bagus harus ada kalsium 

    Kandungan kalsium dalam tubuh ibu hamil sangat diperlukan kerana ia menyokong proses pembentukan gigi dan tulang janin.

    Kalsium terbukti baik bukan sahaja untuk kesihatan tetapi turut membantu bekalan susu, agar kelak si ibu dapat melakukan penyusuan dan memberikan susu yang terbaik kepada bayi pada masa hadapan.

    susu ibu mengandung yang bagus

    Susu ibu hamil yang bagus #Asid folik 

    Nutrien ini membantu perkembangan otak dan saraf tunjang bayi. Ia juga diperlukan dalam penghasilan sel darah merah dan putih.

    Wanita yang mendapat sekurang-kurangnya 400 mikrogram asid folik setiap hari pada awal kehamilan boleh mengurangkan risiko bayi mereka dilahirkan dengan kecacatan tiub neural.

    Ia merupakan kecacatan kelahiran yang melibatkan perkembangan otak dan saraf tunjang yang tidak lengkap.

    Vitamin B12

    Vitamin B12 memainkan peranan penting dalam pembentukan sel darah merah bayi serta perkembangan otak dan fungsinya.

    Susu ibu mengandung yang bagus #Vitamin D 

    Vitamin ini membantu penyerapan kalsium untuk membolehkan perkembangan tulang dan gigi si manja yang sihat.

    Vitamin D juga penting untuk kulit dan penglihatan yang sihat. Semua wanita, hamil atau tidak, memerlukan 15 mikrogram vitamin D sehari.

    susu ibu mengandung yang bagus

    DHA

    Docosahexaenoic acid (DHA) adalah lemak yang membantu pertumbuhan dan perkembangan otak dan mata bayi dalam kandungan.

    Iodin

    Nutrien yang berfungsi dalam penghasilan hormon tiroid. Hormon ini berperanan membantu badan menggunakan dan menyimpan tenaga daripada makanan.

    Iodin diperlukan ketika hamil untuk membantu perkembangan sistem saraf bayi. Sistem saraf seperti otak, saraf tunjang dan saraf lain, membantu anak bergerak, berfikir dan merasa.

    Zat besi dalam susu ibu mengandung yang bagus

    Badan menggunakan zat besi untuk menghasilkan hemoglobin. Ia merupakan protein dalam sel darah merah yang membawa oksigen ke tisu badan.

    Sepanjang kehamilan akan berlaku peningkatan keperluan zat besi. Ia bagi menghasilkan lebih banyak darah untuk membekalkan oksigen kepada anak dalam kandungan.

    Jika nutrien ini tidak mencukupi, anda berisiko mengalami anemia kekurangan zat besi. Antara simptomnya seperti sakit kepala atau cepat letih.

    Sekiranya keadaan ini teruk, wujud risiko kelahiran pramatang, berat lahir rendah dan kemurungan selepas bersalin.

    Baca juga:

    Kolin 

    Penting untuk beberapa proses fisiologi semasa kehamilan seperti biosintesis membran dan pengembangan tisu, neurotransmisi dan perkembangan otak janin.

    Ia juga membantu mencegah beberapa kecacatan kelahiran biasa, sekali gus menjadikan ia antara nutrien wajib ada dalam susu ibu hamil yang bagus.

    Akhir kata

    Dengan pelbagai jenama susu berada di pasaran, anda mungkin keliru untuk memilih susu ibu mengandung yang bagus untuk diamalkan. 

    Sekiranya mengalami situasi tersebut, jangan malu untuk berunding dan mendapatkan nasihat doktor bagi lebih kepastian mengenai pilihan susu yang terbaik.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 3 minggu lalu

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan