Bagaimana Seseorang Individu Boleh Mendapat Kecacingan?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Semasa berada di sekolah rendah, masih segar di ingatan penulis, disuapkan dengan sejenis cecair putih. Hanya satu frasa yang terlintas pada ketika itu, ‘ubat cacing’. Terus terfikir, macam mana boleh terdapat cacing dalam badan penulis. Makan sama macam orang lain, tiada pula mengambil cacing sebagai protein tambahan. 

Adakah anda juga terfikir, bagaimana seseorang boleh mendapat kecacingan? Apakah penyebab yang menjadikan cacing bertempat di dalam perut anda? Ingin tahu jawapannya? Ikutinya di sini.

Jenis cacing

Sebelum anda pergi dengan lebih lanjut, eloklah untuk anda mengetahui jenis cacing terlebih dahulu. Terdapat dua jenis cacing usus yang sering mendiami tubuh badan manusia iaitu:

  • Flatworms, yang terdiri daripada cacing pita dan flukes
  • Roundworms, yang menyebabkan jangkitan ascariasis, pinworm dan hookworm

Penyebab kecacingan

Antara salah satu faktor yang menjadi penyebab kepada kecacingan atau cacing usus ialah, memakan daging yang separa masak atau kurang masak daripada jenis haiwan yang telah dijangkiti dengan cacing seperti ikan, lembu dan kambing. Selain itu, terdapat juga beberapa faktor lain yang menyebabkan keberadaan cacing di dalam perut, seperti:

  • Penggunaan sumber air yang tercemar
  • Penggunaan sumber tanah yang tercemar
  • Tersentuh najis yang telah tercemar
  • Tahap sanitasi yang teruk
  • Tahap kebersihan yang teruk

Simptom kecacingan

Terdapat beberapa simptom kecacingan yang boleh anda lihat dan rasa. Ini termasuklah:

  • Kesakitan badan
  • Cirit-birit
  • Mual
  • Muntah-muntah
  • Kembung perut
  • Keletihan
  • Kehilangan berat badan tanpa sebab

Bagaimana cacing memasuki perut anda?

Apabila anda mempunyai hubungan dengan faktor-faktor yang telah tercemar seperti meminum air yang telah tercemar, cacing ini akan bergerak ke bahagian usus anda dan memasukinya. Cacing-cacing ini kemudiannya membaik dan membesar di dalam usus anda. Apabila saiz dan jumlahnya semakin meningkat dan bertambah, simptom kecacingan akan mula muncul. 

Siapakah yang mudah mendapat kecacingan?

Untuk pengetahuan semua terutamanya ibu bapa dan penjaga, kanak-kanak adalah golongan yang paling mudah terdedah untuk mendapat kecacingan. Mengapa? Antara sebabnya, kanak-kanak adalah golongan yang sering bermain dengan persekitaran yang mengandungi jenis tanah yang tercemar seperti taman permainan. Selain itu, individu dewasa yang sudah berumur juga mempunyai risiko yang sama disebabkan oleh sistem imun yang semakin lemah.  

Penulis tidak pasti samada kanak-kanak di sekolah rendah masih lagi diberikan ubat cacing atau tidak. Jika tidak, anda masih boleh membawa anak anda ke klinik atau hospital berdekatan bagi mendapatkan kepastian mengenai kecacingan dan rawatan yang sepatutnya. Jangan tunggu sehingga najis anak anda dipenuhi dengan cacing-cacing yang berkeliaran. Anda juga pasti geli untuk melihatnya. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut