Anda mengalami sakit perut sehingga muntah-muntah? Itu mungkin simptom keracunan makanan. Jom ketahui cara merawat keracunan makanan yang akan kami cadangkan di dalam artikel ini!
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Simptom keracunan makanan
Masalah keracunan makanan berlaku apabila seseorang individu itu mengambil makanan yang tercemar oleh bakteria.
Ia boleh berlaku disebabkan proses penyediaan makanan yang tidak bersih.
Kebanyakan kes keracunan makanan berlaku disebabkan salah 1 daripada 3 punca utama ini, iaitu bakteria, parasit atau virus mahupun toksin yang dihasilkan ketiga-tiga punca ini.
Simptom keracunan makanan adalah berbeza bagi setiap individu bergantung kepada puncanya. Tetapi biasanya simptom akan bermula selepas beberapa hari mengambil makanan tercemar.
Selalunya masalah ini dikategorikan sebagai kes ringan dan tidak memerlukan cara merawat keracunan makanan yang khusus.
Walau bagaimanapun, sesetengah individu perlu mendapatkan rawatan di hospital jika keadaan menjadi serius seperti kehilangan banyak air akibat kerap muntah dan cirit-birit sepanjang hari.
Antara simptom keracunan makanan yang biasa dialami adalah seperti:
- Loya
- Muntah
- Cirit-birit
- Demam
- Kesakitan pada bahagian perut
- Sakit kepala
Jadi adakah terdapat cara merawat keracunan makanan selain menggunakan ubat keracunan makanan di farmasi? Sudah tentulah ada. Teruskan membaca perkongsian artikel ini, okay?
Cara merawat keracunan makanan
Cara tradisional merawat keracunan makanan terbahagi kepada 2:
- Makanan yang perlu diambil
- Makanan yang perlu dielak
Cara merawat keracunan makanan melalui pemakanan
Selepas mengalami keracunan makanan, matlamat utama makanan yang diambil selepas itu haruslah mudah dihadam dan membantu proses pemulihan sistem gastrousus.
Antara makanan yang sesuai untuk diambil adalah seperti:
- Pisang
- Bubur nasi
- Roti bakar
3 jenis makanan itu dikatakan dapat membantu proses pemulihan kerana rasanya yang tidak begitu kuat serta tinggi kandungan kanji.
Secara tidak langsung ia mengurangkan masalah cirit-birit yang dialami.
Makanan yang tinggi kandungan kalium seperti pisang juga membantu bagi menggantikan sel elektrolit yang hilang.
Makanan lain yang boleh dicuba seperti:
- Oat rendah kandungan gula
- Kentang biasa
- Biskut kraker
- Ayam bakar tanpa kulit
Semakin lama kesakitan akibat keracunan makanan itu dialami, maka semakin banyak protein yang diperlukan untuk proses pemulihan dan pencegahan kerosakan otot akibat tiada makanan dan kalori yang mencukupi.
Bagi menggantikan kehilangan air dalam badan yang banyak, anda mungkin disarankan untuk mengambilan garam hidrasi oral (ORS).
Ia adalah campuran garam khas yang mengandungi elektrolit utama dan berfungsi mengekalkan cecair dalam badan.
5 makanan perlu dielak untuk rawat keracunan makanan
Mengalami keracunan makanan adalah 1 keadaan yang menyebabkan kerengsaan pada perut dan usus.
Kesannya, selepas mengalami keracunan, anda akan dinasihatkan untuk mengelakkan makanan yang boleh menyebabkan kesakitan pada perut.
Antara jenis makanan yang perlu dielakkan adalah seperti berikut:
#1. Produk tenusu
Jenis makanan seperti keju, aiskrim dan yogurt. Ini kerana makanan tersebut boleh menyebabkan ketidakselesaan pada perut.
#2. Makanan berlemak tinggi
Makanan bergoreng seperti ayam goreng, kentang goreng atau sebarang makanan yang mengandungi kandungan lemak yang tinggi adalah tidak bagus kerana ia boleh memburukkan lagi masalah cirit-birit yang dialami.
#3. Makanan pedas
Sudah tentu makanan yang pedas bukan pilihan yang baik untuk perut yang sedang sakit. Sekiranya anda memakan makanan seperti ini, masalah sakit perut yang dialami akan semakin serius.
#4. Makanan menyebabkan kembung
Makanan tinggi kandungan karbohidrat yang ditapai. Pakar pemakanan menggelarkannya sebagai FODMAP.
Ini kerana makanan daripada jenis ini boleh menyebabkan perut kembung bagi individu yang mengalami sindrom usus besar (IBS).
Antara makanan dalam FODMAP termasuk:
- Epal
- Kekacang
- Kubis
- Bawang merah
- Bawang putih
#5. Minuman perlu dielakkan
Kesan apabila anda kerap muntah dan cirit-birit, adalah anda akan kehilangan air yang banyak dalam badan. Ia pastinya akan membuatkan anda berasa letih.
Mesti anda terfikir untuk mengambil minuman tenaga bagi mengembalikan semula tenaga anda, bukan?
Walau bagaimanapun, Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit (CDC) tidak menggalakkan pengambilan minuman tenaga kerana ia tidak dihasilkan untuk mengatasi masalah kehilangan tenaga disebabkan cirit-birit.
Sebaliknya, minuman yang tinggi kandungan gula ini hanya akan memburukkan lagi masalah berkaitan usus dan menyebabkan cirit-birit menjadi lebih teruk.
Hindari juga pengambilan air yang tinggi kandungan kafein seperti kopi atau minuman karbonat.
Rawatan doktor
Langkah-langkah di atas adalah cara merawat keracunan makanan tanpa perlu berjumpa doktor.
Perhatian!
Dapatkan rawatan doktor sekiranya anda mengalami kesan selepas keracunan makanan seperti berikut:
- Kekeringan pada bahagian mulut atau kehausan melampau
- Tidak kencing atau air kencing berwarna pekat
- Denyutan jantung yang laju
- Tekanan darah rendah
- Berasa lemah badan
- Pening kepala terutamanya apabila bangun dari tidur
- Mengalami kekeliruan
- Penglihatan kabur
- Cirit-birit lebih daripada 3 hari
- Demam panas melebihi 39℃
- Muntah secara berterusan
Kini anda telah mengetahui bagaimana dan cara merawat keracunan makanan.
[embed-health-tool-bmr]