backup og meta

Awas Kaum Wanita, Endometriosis Boleh Kembali Lepas Dibuang! Kenapa?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 19/06/2023

    Awas Kaum Wanita, Endometriosis Boleh Kembali Lepas Dibuang! Kenapa?

    Dipercayai bahawa kondisi penyakit endometriosis boleh muncul kembali walaupun selepas dibuang. Benarkah? Jom terus baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut!

    Apa itu penyakit endometriosis?

    Jika anda merupakan salah seorang wanita yang mengalami penyakit ini, anda sudah pasti tahu ia akan mengakibatkan kesakitan pada sekitar kawasan yang terlibat, terutamanya semasa datang haid. 

    Lebih membimbangkan, endometriosis juga mungkin akan menyebabkan golongan wanita sukar untuk hamil. 

    Penyakit ini akan berlaku apabila tisu yang sepatutnya berada di dalam rahim tumbuh pada bahagian luarnya.

    Walaupun tisu tersebut berada pada luar rahim, ia masih akan berfungsi seperti sepatutnya semasa kitaran menstrual berlaku.

    Ia akan menyebabkan tisu ini pecah lalu mengakibatkan pendarahan.

    Penyakit ini sering kali akan berlaku pada bahagian pelvis seperti pundi, usus serta organ reproduktif wanita.

    Namun, ia juga mungkin boleh berlaku di bahagian ovari dan otot ligamen posterior yang menyokong rahim. 

    penyakit endometriosis

    Bagaimanapun, ia bukanlah bersifat kanser seperti yang disalah anggap oleh kebanyakan individu.

    Endometriosis tetap merupakan salah satu dari penyakit wanita yang agak berbahaya dan boleh mengancam hubungan suami isteri.

    Sebaiknya, anda yang mengalami penyakit ini perlu menjalani rawatan untuk membuangnya seawal yang mungkin.

    Persoalannya, bagaimana untuk mengetahui jika anda mengalami penyakit ini?

    Simptom penyakit endometriosis

    Antara simptom utama penyakit ini adalah kesakitan pada pelvis, terutamanya ketika kitaran menstrual berlaku. Namun, terdapat juga beberapa simptom yang lain, termasuklah:

    • Kesakitan semasa datang haid (senggugut)
    • Kesakitan ketika melakukan hubungan seks
    • Kesakitan ketika membuang air kecil
    • Pendarahan yang abnormal semasa datang haid
    • Kesukaran untuk hamil

    Selain itu, terdapat juga beberapa simptom lain yang anda perlu perhatikan seperti kepenatan, cirit-birit, sembelit, mual atau muntah-muntah, lebih-lebih lagi ketika datang haid.

    Untuk mendapatkan pengesahan sama ada anda menghidap endometriosis atau tidak, sila berjumpa dan berbincang dengan pakar untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

    Mengapa ia boleh muncul kembali?

    Sebelum itu, kita perlu tahu terlebih dahulu punca penyakit endometriosis ini berlaku.

    Hakikatnya, punca sebenar yang menyebabkan keadaan ini masih samar dan tidak jelas.

    Namun, ada satu teori yang biasa dikaitkan dengan penyakit ini dan teori tersebut dinamakan sebagai ‘retrograde menstruation’.

    penyakit endometriosis

    Ia bermaksud darah haid mengalir secara terbalik ke arah pembukaan peritoneal melalui tiub falopio.

    Ini akan menyebabkan sel-sel endometrium melekatkan dirinya pada bahagian berlainan pada pelvis.

    Kebiasaannya, endometriosis ini akan dapat dikesan selepas doktor melihat kepada sejarah perubatan dan melakukan pemeriksaan lanjut pada bahagian pelvis wanita dengan teliti. 

    Untuk lebih tepat, ia akan didiagnosis melalui pembedahan laparoskopi (key hole surgery), di mana satu peralatan khas akan digunakan untuk mengesan tisu tersebut dalam pelvis.

    Kemudian barulah rawatan seperti pengambilan ubatan atau pembedahan endometriosis akan dilakukan untuk membuangnya dari tubuh badan anda.

    Namun, ia mungkin boleh muncul kembali walaupun selepas dibuang. Apa sebabnya, ya?

    Seperti yang dilalui ramai wanita, penyakit ini masih boleh muncul kembali walaupun selepas dibuang.

    Disebabkan itu, pembedahan berikutnya perlu dilakukan untuk membuangnya sekali lagi.

    Hakikatnya, terdapat banyak rawatan terkini yang boleh memberi kelegaan dari simptom endometriosis termasuklah pembedahan laparoskopi, pembedahan menggunakan laser atau peralatan lain untuk memotong dan memusnahkan endometriosis itu.

    Namun, besar kemungkinan penyakit ini boleh kembali lagi kerana ia adalah sangat bergantung kepada kitaran haid anda.

    Jika anda seorang wanita yang mengalami kitaran haid tidak normal – ‘retrograde menstruation’, maka risiko ia untuk berlaku dan berulang kepada anda adalah lebih tinggi.

    Jadi, sila rujuk pada pakar untuk mengetahui kaedah paling bagus dalam usaha untuk merawat penyakit endometriosis yang anda alami.

    Pemakanan memainkan peranan!

    penyakit endometriosis

    Selain pengambilan ubatan atau pembedahan untuk membuangnya, apa lagi yang anda boleh lakukan? 

    Jawapannya adalah dengan mengawal dan menjaga diet pemakanan anda.

    Menurut pelbagai kajian, simptom endometriosis mungkin boleh dikurangkan dengan mengambil makanan yang tinggi dengan karbohidrat dan probiotik, produk tenusu, sayur-sayuran serta buah-buahan.

    Ada satu kajian pada tahun 2004 yang mengatakan bahawa penyakit ini mungkin dapat dikawal dengan pengambilan rumpai laut yang dinamakan sebagai ‘bladderwrack’.

    Ini kerana ia mengandungi bahan yang boleh mengurangkan tahap estrogen dalam tubuh badan wanita.

    Selain itu, cuba elak daripada mengambil kafein yang hanya akan menerukkan lagi simptom penyakit ini. 

    Bukan itu sahaja, anda juga perlu cuba untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat dengan menghentikan tabiat merokok, mengehadkan pengambilan minuman beralkohol serta melakukan senaman secara berkala.

    Dengan ini, bukan sahaja penyakit endometriosis dapat dikawal, malah kesihatan anda secara umumnya juga akan bertambah baik.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 19/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan