backup og meta

Haid Tidak Menentu Salah Satu Petanda PCOS, Jadi Bagaimana Cara Nak Kesan Jika Hamil?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 09/11/2021

    Haid Tidak Menentu Salah Satu Petanda PCOS, Jadi Bagaimana Cara Nak Kesan Jika Hamil?

    PCOS adalah keadaan kesihatan yang boleh mengganggu hormon, kesuburan dan penampilan seseorang wanita. Justeru, pesakit yang inginkan zuriat mungkin sukar untuk mengesan kehamilan.

    Menurut Centers for Disease Control (CDC), sehingga 12% wanita di Amerika Syarikat mengalami kesukaran untuk hamil kerana masalah PCOS yang tidak dirawat.

    Sebenarnya, jumlah ini mungkin lebih besar kerana hampir 50% wanita dengan sindrom ini tidak tahu mereka menghidapnya atau tidak didiagnosis dengan betul.

    Justeru, bagi pesakit PCOS yang sedang bergelut untuk mendapatkan zuriat, apakah cara-cara yang boleh dilakukan untuk mengesan kehamilan?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini. 

    Apa itu PCOS?

    Sindrom ovarium polikistik (PCOS) adalah gangguan hormon yang biasa berlaku pada wanita usia reproduktif.

    Wanita dengan masalah PCOS mungkin mengalami haid yang jarang, berpanjangan dan tahap hormon lelaki (androgen) yang berlebihan.

    Ovari akan menghasilkan banyak koleksi cecair (folikel) dan gagal melepaskan telur secara berkala.

    Punca sebenar PCOS tidak diketahui. Diagnosis dan rawatan awal bersamaan dengan penurunan berat badan dapat mengurangkan risiko komplikasi jangka panjang seperti diabetes jenis 2 serta penyakit jantung.

    Cara mengesan kehamilan bagi pesakit PCOS

    Seperti yang diterangkan, antara gejala utama seseorang menghidapi PCOS, atau Sindrom Ovari Polikistik, adalah mempunyai kitaran haid yang tidak teratur.

    Ini boleh menjadikan pesakit sukar untuk mengetahui sama ada mereka hamil atau tidak didatangi haid pada bulan tersebut.

    Walaupun ujian kehamilan yang positif daripada doktor adalah satu-satunya cara untuk memastikannya, namun terdapat beberapa tanda awal kehamilan yang boleh diperhatikan.

    Selain itu, jika anda ingin hamil, ada langkah-langkah yang dapat dilakukan untuk membantu mengatur ovulasi, sekali gus meningkatkan peluang anda hamil.

    #1 Mengenali tanda-tanda awal kehamilan

    Perhatikan sama ada terdapat sebarang perubahan terhadap payudara anda.

    Pembengkakan payudara boleh menjadi petunjuk awal hamil, jadi jika anda menyedari bahawa payudara berasa sakit atau coli lebih ketat daripada biasa, anda mungkin mengandung.

    Ini cenderung terjadi dalam beberapa minggu pertama, kerana tubuh sedang menyesuaikan diri dengan hormon baru yang dihasilkan, dan biasanya hanya berlangsung sekitar 2 minggu.

    Biasanya, perubahan payudara berlaku sebelum atau sekitar waktu yang anda biasanya didatangi haid.

    #2 Masih berasa mengantuk dan penat walaupun telah rehat secukupnya

    Sekiranya jadual rutin harian tidak berubah tetapi tiba-tiba anda semakin kerap tidur siang, ini mungkin merupakan petanda yang anda harapkan.

    Rasa letih sepanjang masa boleh menjadi tanda awal kehamilan, walaupun selepas mendapat tidur yang mencukupi sekitar 7 atau 8 jam.

    Perkara ini berlaku kerana badan anda meningkatkan pengeluaran progesteron ketika hamil, dan tahap hormon ini yang tinggi boleh menyebabkan rasa mengantuk lebih daripada kebiasaan.

    #3 Perhatikan tanda-tanda loya atau mengelak sesetengah makanan tanpa sebab

    Sekiranya anda sering berasa mual atau mengelak untuk makan sesetengah makanan tanpa sebab yang jelas, ini mungkin petanda mengandung.

    Ramai wanita mengalami mual pada suatu ketika sepanjang kehamilan peringkat awal.

    Perasaan mual atau lebih dikenali sebagai morning sickness yang disebabkan kehamilan dapat terjadi pada bila-bila masa sepanjang hari, dan cenderung untuk pulih pada trimester kedua.

    Pun begitu, sesetengah wanita juga ada yang tidak mengalami masalah ini, jadi tidak mual bukan bermaksud anda tidak hamil ya.

    #4 Perhatikan seberapa kerap anda berulang alik ke tandas

    kencing selepas seks

    Antara petanda lain untuk mengesan kehamilan adalah dengan perubahan dalam kekerapan anda berulang alik ke tandas.

    Sekiranya anda kerap ke tandas untuk membuang air kecil, cuba kira kitaran menstruasi dan lakukan ujian kehamilan selepas tarikh tersebut.

    #5 Berlaku sedikit pendarahan

    Sekiranya hamil, anda mungkin mengalami pendarahan implantasi, iaitu pendarahan atau keputihan berwarna coklat yang terjadi sekitar waktu kedatangan haid.

    Walau bagaimanapun, pendarahannya adalah lebih ringan berbanding haid anda, dan mungkin berterusan selama beberapa minggu.

    Pendarahan implantasi boleh menjadi petunjuk yang baik bahawa anda harus menjalani ujian kehamilan.

    Tetapi sekiranya pendarahan yang dialami teruk disertai dengan rasa sakit pada bahagian perut, lakukan pemeriksaan segera!

    #6 Periksa suhu badan anda

    Cara lain untuk mengesan kehamilan adalah dengan memeriksa suhu badan, ini kerana perubahan suhu dalam badan juga boleh menjadi petanda kehamilan.

    Biasanya, suhu badan anda akan turun tepat ketika haid akan bermula, tetapi jika suhu anda tetap tinggi setelah bermulanya menstruasi, maka ini dapat menunjukkan tanda-tanda kehamilan.

    #7 Perhatikan masalah sakit belakang atau kekembungan perut

    Walaupun sakit belakang dan kembung perut juga merupakan tanda-tanda awal menstruasi, namun dalam beberapa keadaan ia juga dapat menjadi petanda kehamilan.

    Laporkan gejala ini kepada pakar sakit puan anda bersama dengan gejala-gejala lain yang telah berlaku.

    #8 Lakukan ujian kehamilan di rumah jika anda mengesyaki sedang hamil

    Ujian kehamilan di rumah adalah cara yang paling berkesan untuk dilakukan sekiranya haid yang dijangkakan tidak berlaku.

    Walau bagaimanapun, jika anda mengalami haid yang tidak teratur kerana PCOS, lakukan ujian kehamilan ketika anda mula mengalami gejala-gejala di atas.

    Sekiranya anda mendapat keputusan yang negatif, tunggu kira-kira 2 minggu, kemudian lakukan ujian tersebut sekali lagi.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 09/11/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan