Selain ketidaksuburan, simptom utama endometriosis adalah sakit semasa haid atau juga dikenali sebagai dysmenorrhea. Ia berlaku 60% hingga 80% dalam kalangan penghidap penyakit ini. Oleh sebab itu, mereka yang mengalami dua simptom ini perlu mendapatkan nasihat profesional bagi menjalani rawatan yang sepatutnya.
Rawatan daripada pakar boleh membantu masalah anda
Perubatan moden telah banyak membantu mencari penyelesaian bagi banyak penyakit. Ini termasuk endometriosis. Meskipun rawatan yang tersedia mungkin tidak sepenuhnya menyelesaikan punca, ia membantu mengawal simptom yang ada.
Endometriosis adalah penyakit kronik. Ia memerlukan pelan rawatan yang panjang dan sesuai mengikut setiap individu bergantung kepada umur, simptom dan tahap kesuburan.
Pilihan rawatan yang ada termasuk:
- Ubat-ubatan.
- Terapi hormon.
- Pembedahan.
Salah satu atau gabungan daripada mana-mana pilihan di atas mungkin diberikan bergantung kepada keadaan individu terbabit. Anda juga mungkin dirujuk kepada doktor khusus dalam mengendalikan kes masalah kesuburan.
Antara rawatan yang dilihat berkesan adalah pembedahan menggunakan kamera kecil. Kaedah ini disebut sebagai laparoskopi. Dengan berpandukan kamera, doktor dapat melihat bahagian dalam pelvis tanpa perlu melakukan bukaan besar pada kulit. Seterusnya, tisu endometriosis akan dibuang. Dalam kes tertentu, ovari yang terjejas mungkin dibuang.