Kesihatan Faraj: Jangan Ambil Mudah Aspek Penjagaannya

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Penjagaan dan kesihatan faraj merupakan antara perkara penting dalam aspek kesihatan keseluruhan bagi seseorang individu wanita. Faraj yang tidak dijaga terutama dalam perihal kebersihan boleh mendatangkan masalah yang berisiko menjejaskan kesuburan, keinginan seks dan keupayaan mencapai orgasma. Masalah kesihatan faraj yang tidak dirawat dan dibiarkan berterusan juga boleh menyebabkan tekanan atau masalah dalam perhubungan dan boleh memberikan kesan terhadap keyakinan diri anda. Ketahui simptom berkaitan masalah kesihatan faraj, dan aspek penjagaan yang boleh anda lakukan demi mengekalkan kesihatan faraj anda.

Apakah kepentingan penjagaan faraj?

Faraj merupakan bahagian yang istimewa dan halus pada badan wanita namun dalam masa yang sama ia merupakan bahagian yang paling rumit untuk difahami. Ia memainkan peranan penting dalam sistem reproduktif (pembiakan). Ia merupakan tempat yang memainkan peranan penting dalam perhubungan seks, di mana individu wanita yang menjaga kesihatan farajnya akan lebih menikmati hubungan seks berbanding mereka yang mengabaikan penjagaan kesihatan bahagian sulit. Malahan, faraj juga penting dalam proses kelahiran normal yang merupakan tempat keluarnya bayi. Disebabkan ini, adalah penting untuk semua wanita menjaga kesihatan faraj.

Setiap individu pasti akan menyedari apabila sesuatu berlaku kepada anggota badan, sama ada luka kecil di tangan atau sakit perut. Walau bagaimanapun, ramai individu wanita tidak memberikan perhatian yang cukup kepada faraj. Kepentingan menjaga dan mengekalkan tahap kesihatan faraj adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh.

Mengekalkan tahap kesihatan faraj dapat membantu mencegah jangkitan dan ketidakselesaan. Sebarang perubahan yang luar biasa pada pelepasan faraj atau keputihan merupakan antara petanda bahawa anda perlu memberikan perhatian kepada faraj anda.

Apa yang boleh menjejaskan kesihatan faraj?

Kesihatan Faraj Jangan Ambil Mudah Aspek Penjagaannya - anatomi faraj

Faraj, adalah nama panggilan umum bagi satu organ intim wanita. Ia merupakan saluran otot tertutup yang terdiri daripada dua bahagian; bahagian luar dan dalam. Vulva merupakan bahagian luar kawasan intim wanita yang terdiri daripada beberapa struktur utama iaitu labia (yang bermaksud bibir) mayora, labia minora, klitoris, bulu pubis (mons pubis), saluran kencing (uretra) dan pintu masuk faraj. Manakala, alat kemaluan wanita ini adalah bermula daripada bahagian dalam labia dan berakhir pada bahagian pembukaan rahim yang dipanggil pintu rahim. Pelbagai faktor yang boleh menjejaskan kesihatan alat kemaluan wanita termasuk:

  • Seks. Melakukan hubungan seks tanpa sebarang perlindungan boleh menyebabkan penyakit jangkitan kelamin (STD). Melakukan hubungan seks yang kuat atau kasar mahupun yang boleh menimbulkan sebarang kecederaan pada bahagian pelvis boleh menyebabkan trauma kepada vagina.
  • Kontraseptif (kawalan kelahiran), produk kebersihan feminin. Alat kawalan kelahiran seperti kondom dan diafragma boleh menyebabkan kerengsaan kepada alat kemaluan wanita. Penggunaan semburan, deodoran atau meruang (douches) turut boleh menyebabkan kerengsaan atau menjadikan ia bertambah kronik.
  • Kehamilan dan kelahiran. Semasa dalam kehamilan, anda akan berhenti mengalami menstruasi sehinggalah anda melahirkan. Dan, dalam tempoh itu, pelepasan faraj atau keputihan kebiasaannya akan meningkat. Koyakan kepada vagina adalah satu kebiasaan ketika proses kelahiran. Dalam sesetengah kes, episiotomi – teknik memotong bahagian perineum di antara faraj dan anus, adalah diperlukan. Kelahiran melalui vagina boleh mengurangkan kekuatan otot faraj.
  • Keadaan kesihatan. Masalah kesihatan berkaitan organ pembiakan wanita seperti endometriosis dan penyakit radang pelvis, mungkin menyebabkan hubungan seks menjadi sesuatu perkara yang menyakitkan. Parut daripada pembedahan pelvik dan beberapa rawatan kanser tertentu turut boleh menyebabkan kesakitan ketika melakukan seks. Sesetengah pengambilan ubatan antibiotik, boleh meningkatkan risiko jangkitan yis.
  • Psikologi. Masalah berkaitan psikologi seperti kegelisahan dan kemurungan turut boleh menyebabkan kemerosotan dalam keghairahan melakukan seks dan menyebabkan ketidakselesaan atau kesakitan ketika melakukan seks.
  • Hormon. Perubahan dalam tahap hormon turut boleh menjejaskan kesihatan alat kemaluan wanita. Sebagai contoh, penurunan penghasilan estrogen selepas mengalami menopaus dan semasa proses menyusui. Kehilangan hormon ini boleh menyebabkan lapisan faraj menjadi nipis (atrofi faraj), sekali gus akan menyebabkan hubungan seks yang dilakukan menjadi sesuatu yang menyakitkan.

Masalah umum berkaitan faraj

Terdapat beberapa keadaan umum yang sering kali cenderung menjejaskan keadaan kesihatan bahagian intim wanita, antaranya termasuk:

  1. Masalah seksual

Ia mungkin melibatkan kesakitan yang berterusan atau berulang, sama ada sebelum, semasa atau selepas hubungan seks dilakukan. Kesakitan yang dialami semasa penembusan (penetration) mungkin disebabkan oleh kekejangan yang tidak terkawal pada otot dinding faraj (vaginismus). Otot pada bahagian lantai pelvis boleh menjadi tegang dan menyebabkan kesakitan kronik dan kesakitan ketika melakukan seks. Kekeringan faraj, sering berlaku selepas menopaus, turut boleh menyebabkan kesakitan ketika seks.

  1. Jangkitan kelamin (STD)

Pelbagai jenis jangkitan seksual turut boleh menjejaskan vagina, seperti klamidia, gonorrhea, ketuat kelamin, sifilis dan herpes genital. Antara simptom yang boleh dilihat adalah seperti masalah keputihan yang tidak normal atau luka pada bahagian kelamin.

  1. Vaginitis.

Jangkitan atau perubahan dalam keseimbangan yis dan bakteria baik pada vagina boleh menyebabkan kerengsaan pada alat kemaluan wanita. Antara simptomnya adalah masalah keputihan, vagina berbau, kegatalan dan kesakitan. Jenis vaginitis yang biasa adalah seperti vaginosis bakteria, jangkitan yis, dan trichomoniasis.

  1. Kelonggaran lantai pelvis

Sekiranya ligamen dan tisu penghubung yang memegang uterus dan dinding faraj menjadi lemah, rahim, pundi kencing, rektum atau dinding faraj berisiko untuk tergelincir (prolaps). Ini boleh menyebabkan kebocoran air kencing semasa batuk dan bersin.

Simptom masalah faraj

Sekiranya anda mengalami simptom berikut, anda perlu berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan. Antara simptomnya adalah seperti:

  • Perubahan pada warna, bau atau jumlah keputihan

Keputihan dalam jumlah atau bentuk yang normal pastinya bukan satu masalah, tetapi jika keputihan yang dialami tampak berketul, atau kelihatan seperti keju kotej, ia mungkin simptom jangkitan yis dan keseimbangan pH anda terganggu. Jangkitan yis boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor, antaranya, meruang (douching) memakai pakaian yang terlalu ketat atau mengamalkan diet pemakanan yang tidak sihat.

  • Faraj menjadi kemerahan, gatal atau bengkak

Faraj boleh menjadi bengkak disebabkan meruang, jangkitan faraj, sista atau kerana STD. Faraj yang merah dan bengkak bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang remeh, pastikan anda mendapatkan pemeriksaan dengan segera.

  • Jangkitan saluran kencing (UTI)

Jika anda tidak mandi selepas melakukan senaman fizikal, atau kerap terlupa untuk membuang air kecil selepas melakukan seks, anda mungkin berisiko untuk mendapat jangkitan saluran kencing. Tabiat yang tidak sihat ini boleh menyebabkan bakteria merebak ke bahagian saluran kencing.

  • Kesakitan ketika melakukan seks

Merasa sakit ketika hubungan seks boleh terjadi disebabkan kekeringan. Tetapi, ia juga berisiko untuk berlaku disebabkan UTI, jangkitan yis atau vaginosis bakteria. Jika anda merasa sakit ketika melakukan seks, anggap ia sebagai simptom bahawa faraj anda memerlukan lebih penjagaan.

  • Pendarahan

Sekiranya berlaku pendarahan pada faraj antara tempoh kedatangan haid, selepas melakukan seks atau selepas menopaus, ia juga antara simptom bahawa faraj anda mungkin mengalami masalah.

Anda mungkin tidak perlu untuk berjumpa dengan doktor setiap kali anda mengalami kerengsaan dan keputihan, terutamanya jika anda pernah didiagnos dengan jangkitan yis sebelumnya dan anda mengalami simptom yang sama. Walau bagaimanapun, jika anda memilih untuk menggunakan ubatan yang boleh dibeli di kaunter atau farmasi, dan simptom yang dialami tidak berkurangan, anda mungkin perlu mendapatkan pemeriksaan doktor.

Penjagaan dan kesihatan faraj

  1. Basuh dengan berhati-hati

Faraj merupakan antara bahagian badan yang paling sensitif untuk wanita. Bahagian intim ini mempunyai tahap pH yang sangat seimbang untuk melakukan ‘tugas’ menjaga kebersihan faraj dengan baik. Oleh itu, tidak perlu menggosok bahagian dalam atau douching. Cara yang paling mudah adalah dengan membasuh faraj menggunakan sabun khusus atau hanya menggunakan air suam. Sentiasa ingat bahawa produk kebersihan biasa seperti sabun badan mempunyai pH yang tidak sesuai untuk faraj yang boleh mengakibatkan gatal dan bau.

  1. Suntikan vaksin

Vaksinasi boleh melindungi anda daripada HPV, virus yang dikaitkan dengan kanser serviks dan hepatitis B, iaitu jangkitan hati yang serius yang boleh merebak melalui hubungan seksual.

  1. Yogurt dan probiotik

Amalkan memakan yogurt dan makanan kaya probiotik untuk manfaat kesihatan faraj anda. Ia mengandungi bakteria baik yang diperlukan wanita. Dipercayai bahawa keseimbangan pH boleh diperolehi secara semula jadi dengan makan makanan sedemikian. Pilihan yang baik untuk mengamalkan makan yogurt adalah hanya secawan yogurt sehari, yang dapat membantu menyingkirkan jangkitan yis dan membunuh penyakit serta organisma penyebab jangkitan.

  1. Senaman Kegel

Melakukan senaman Kegel dapat membantu menguatkan otot lantai pelvis sekiranya tergelincir (prolaps), kebocoran air kencing atau mengalami masalah lemah otot lantai pelvis.

  1. Ruang bernafas

Elakkan memakai pakaian yang ketat atau bahan yang menghalang pengudaraan seperti poliester. Ia menghalang faraj daripada bernafas dengan betul, sekali gus ia mewujudkan haba, kelembapan dan geseran yang boleh merengsakan vulva. Untuk mengelakkan kerengsaan atau jangkitan, dinasihatkan untuk memakai seluar yang longgar dan diperbuat daripada bahan semula jadi seperti kapas.

  1. Kondom

Kesihatan Faraj Jangan Ambil Mudah Aspek Penjagaannya - kondom

Ia bukan sahaja melindungi anda dari kehamilan yang tidak diingini dan penyakit penularan seksual tetapi ia juga membantu mengekalkan tahap pH faraj anda dan mengurangkan risiko jangkitan yis. Semasa hubungan seks, bakteria dari pasangan anda bercampur dengan anda. Alat kemaluan wanita adalah bahagian yang sensitif dan ia boleh menyebabkan jangkitan bakteria atau jangkitan saluran kencing.

  1. Alkohol dan merokok

Hadkan pengambilan minuman beralkohol dan sebaiknya hindari tabiat merokok. Penyalahgunaan alkohol boleh menjejaskan fungsi seksual. Pengambilan nikotin boleh mengurangkan keghairahan seksual. Penyalahgunaan bahan tertentu juga boleh menyebabkan kesihatan fizikal dan mental menjadi lemah, yang turut boleh mendatangkan kesan terhadap fungsi seksual.

  1. Pergi bilik air

Sebelum dan selepas melakukan hubungan seks, anda perlu kencing untuk mengeluarkan air kencing anda. Kencing membantu mencegah jangkitan saluran kencing yang boleh berlaku apabila kuman uretra (urethra) ditolak ke dalam vagina ketika bersetubuh. Dan, ingatlah untuk mencuci sebelum dan selepas ke bilik air untuk menghentikan penyebaran bakteria.

  1. Pemeriksaan

Pastikan anda melakukan pemeriksaan kesihatan berjadual dan berjumpa dengan pakar sakit puan untuk penjagaan rutin. Sebaiknya lakukan pemeriksaan ujian Pap secara berjadual seiring dengan perubahan usia anda.

  1. Penjagaan keseluruhan

Sebaiknya, untuk menjaga kesihatan faraj, anda perlu menjaga kesihatan diri anda secara keseluruhan. Amalkan pengambilan diet pemakanan yang betul, kawal berat badan dan bersenam. Ia bukan sahaja baik untuk kesihatan badan anda, tetapi ia juga baik untuk kesihatan organ seksual anda juga. Jika anda mengalami masalah kesihatan yang kronik, boleh meningkatan risiko masalah kepada alat kemaluan wanita, seperti diabetes yang tidak terkawal boleh menyebabkan kecenderungan yang tinggi untuk mengalami UTI dan jangkitan yis.

Tip menyingkirkan bau pada faraj

Kesihatan Faraj Jangan Ambil Mudah Aspek Penjagaannya - faraj berbau

Jika anda berdepan dengan masalah vagina berbau, anda mungkin perlu melakukan beberapa perkara untuk membantu anda mengatasi masalah bau yang anda hadapi. Antara tip dan teknik berikut, mungkin dapat membantu anda menghilangkan bau faraj secara semula jadi.

  1. Kebersihan

Pastikan anda membersihan bahagian luar vagina anda secara berkala dengan menggunakan kain lap dan sabun yang lembut. Penggunaan loofah mungkin boleh menyebabkan luka kecil dan menjadikan ia terdedah kepada jangkitan. Membersihkan alat kemaluan wanita dapat menyingkirkan kulit mati, peluh dan kotoran. Jangan menggunakan sebarang sabun wangi atau sabun pencuci badan. Bau dan bahan kimia yang terkandung dalam produk tersebut mungkin akan mengganggu pH semula jadi faraj anda. Penggunaan sabun bar mungkin lebih lembut dan bersesuaian berbanding sabun pencuci badan.

  1. Menukar

Sekiranya anda memakai seluar dalam yang diperbuat dari bahan satin, sutera atau poliester, sebaiknya, anda disarankan untuk menukarkannya kepada seluar dalam yang diperbuat daripada kapas. Ini kerana kapas membantu bahagian intim anda untuk bernafas dan amat berfungsi untuk menyerap peluh dan cecair yang keluar dari badan anda. Kelembapan yang berlebihan boleh menganggu tahap bakteria semula jadi anda.

  1. Ubatan

Produk ubatan yang boleh dibeli di kaunter atau farmasi, mungkin dapat membantu mengembalikan pH semula jadi alat kemaluan wanita. Jika anda mencuba salah satu daripadanya dan bauan yang anda alami semakin teruk, sila berjumpa dengan doktor. Anda mungkin perlu menggunakan produk lain atau mendapatkan preskripsi alternatif yang lebih berkesan.

  1. Cuka

Kerap mandi panas boleh menyebabkan gangguan dan menjejaskan pH keseimbangan semula jadi anda. Tetapi, anda mungkin boleh menambah satu atau dua cawan cuka epal ke dalam mandian panas dan berendam selama 20 minit. Penggunaan cuka secara semula jadi boleh mengurangkan bakteria.

  1. Memotong

Bulu atau rambut pada bahagian pubis boleh menyebabkan kewujudan bau yang tidak menyenangkan. Ini kerana ia cenderung untuk memerangkap peluh dan cecair yang keluar dari badan. Jadi, untuk menjaga kebersihan bahagian intim anda, cukur atau potongnya.

  1. Basuh

Sebaiknya, untuk menjaga kebersihan bahagian intim anda disarankan untuk membasuhnya dengan lebih kerap. Jadikan ia satu tabiat untuk membasuh vagina anda sebelum dan selepas melakukan hubungan seks untuk mengelakkan sebarang kehadiran bau yang tidak menyenangkan. Hindari daripada menggunakan sabun biasa yang boleh menyebabkan kekeringan dan kerengsaan. Gunakan produk kebersihan feminin yang bersesuaian untuk kegunaan mencuci dan keringkan dengan sebaiknya. Ketika membeli sebarang produk feminin, pastikan anda memilih produk yang tidak mengandungi pewangi, ini kerana ia berisiko untuk menyebabkan jangkitan yang cenderung membuatkan vagina anda menjadi gatal bengkak dan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.

Menjaga kesihatan faraj adalah sangat penting untuk setiap wanita. Sekiranya anda mendapati apa-apa perubahan pada vagina anda, anda perlu berjumpa dan berunding dengan doktor anda secepat mungkin.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut