Rakan Sekerja Selalu Buat Hal? Jangan Tunggu Lagi, Ini 5 Cara Untuk Anda Berdepan Dengan Individu Toksik Seperti Mereka

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Tanpa sedar, persekitaran tempat bekerja memainkan peranan yang sangat signifikan dalam naik turun emosi dan motivasi anda. Mengapa kami katakan sebegini? Ini kerana anda dikelilingi kelompok individu dengan pebagai kerenah, dan ia boleh menjadi baik ataupun toksik.

Jika ramai rakan sepejabat anda bersifat energetik dan memiliki pemikiran yang positif, ia bukanlah satu masalah malah ia adalah satu anugerah. Tetapi, bagaimana pula jika rakan sekerja anda adalah jenis yang bersifat negatif, atau dalam erti kata lain, bersikap ‘toksik’?

Di sini kami sertakan cara bagaimana untuk anda menentukan jika seseorang itu bersikap toksik di tempat kerja dan cara menangani sikap mereka ini.

Siapakah individu toksik yang boleh dikenali?

toksik

Jika anda mendapati seseorang itu sering merungut setiap masa lebih-lebih lagi terhadap perkara yang kecil dan tidak penting, dia adalah salah seorang individu yang berada dalam kategori toksik

Begitu juga jika terdapat seseorang individu yang sering menyalahkan anda dalam setiap perkara. Mereka ini sering menyalahkan anda atas kesilapan yang berlaku yang sememangnya dilakukan oleh mereka. Ini untuk mengelakkan diri mereka daripada dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang terjadi. Dalam erti kata lain, ‘jual nama orang lain’.

Ciri lain yang terdapat pada individu toksik ialah, mereka sering mengabaikan cadangan dan idea anda, dengan menganggap bahawa idea mereka lebih ‘superior’ dan benar. 

Bagaimanakah cara untuk anda menghadapi individu toksik ini?

#1. Kenal pasti ciri yang menjadikan anda sebagai mangsa atau sasaran mereka

Pertama sekali, ingatlah bahawa dengan menilai ciri diri anda tidak bermakna anda sememangnya salah dan membenarkan individu lain untuk sentiasa menyalahkan anda. 

Adakalanya, sikap anda yang bersifat ‘melayan’ menjadikan diri anda sebagai sasaran mudah individu toksik ini untuk melepaskan kemarahan dan vibe negatif mereka. Mengapa?

Ini kerana anda kelihatan seperti terlalu baik atau tidak mempunyai pendirian yang kukuh. Lebih baik jika anda kelihatan mempunyai pendapat, pendirian atau jati diri yang kukuh agar individu toksik ini tidak sewenang-wenangnya mempergunakan anda. 

#2. Percayakan perasaan dan naluri anda sendiri

Ada individu yang terpaksa berada dalam perhubungan rakan sekerja yang bersifat toksik kerana mereka kurang percayakan diri mereka sendiri. Mereka cuba untuk merasionalkan kelakuan toksik rakan sekerja mereka atau sering memberikan peluang yang tidak berasas. 

Inilah saat di mana anda sepatutnya berhenti daripada bertindak sebegitu. Anda tidak boleh sering memaafkan kelakuan mereka atau sentiasa berfikiran positif sepanjang masa terhadap kelakuan negatif mereka.

Memberikan peluang itu sememangnya baik, tetapi perlulah ada hadnya agar tidak wujud keadaan di mana ‘mereka memijak kepala anda’. 

#3. Tetapkan sempadan atau pelan untuk diri anda 

toksik

Sesetengah daripada kita mungkin terpaksa berhadapan dengan individu toksik seperti ini setiap masa. Boleh jadi individu tersebut adalah rakan di sebelah meja kerja anda di mana anda terpaksa melayan kerenahnya setiap hari. 

Cara terbaik adalah dengan menetapkan sempadan tertentu bagi kelakuan atau tingkah laku mereka yang anda rasakan melampau.

Anda tidak perlu bersikap kasar atau biadap dengan mereka, hanya perlu bersifat tegas dan tetap pendirian. Nyatakan apa yang benar dan apa yang salah terhadap perlakuan mereka. 

Dalam situasi tempat anda bekerja, jika anda rasakan tindakan individu ini sudah berlebihan, salurkan aduan kepada saluran yang betul seperti ke Bahagian Pengurusan Sumber Manusia. 

#4. Elakkan sikap normalisasi

Anda mungkin seorang yang baik hati sehinggakan bersikap positif sepanjang masa walaupun anda ditimpa bencana. Mempunyai individu yang bersikap toksik di sekeliling anda juga ibarat satu bencana kerana ia akan menggalakkan anda untuk sentiasa berfikir positif setiap masa walaupun ia jelas salah.

Jangan sesekali menormalkan setiap tindakan salah yang dilakukan oleh individu-individu toksik ini.

Mereka mungkin berkata seperti, “Alah, cakap sikit je pun, takkan nak terasa hati” untuk menormalkan tindakan mereka. Tetapi ingat, anda tidak perlu untuk mengiyakan segala kata-kata mereka. Salah tetap salah!

#5. Teruskan hidup anda tanpa mereka

toksik

Sekiranya hidup anda merana disebabkan oleh sikap individu toksik ini, tanya diri anda adakah anda masih memerlukan mereka dalam hidup anda?

Adakala anda mungkin perlu memaafkan, bersabar dan memberikan mereka masa, dengan harapan agar mereka dapat berubah secara perlahan-lahan. Tetapi persoalannya, sampai bila?

Jika ia kelihatan seperti janji yang tidak kunjung tiba, jangan tunggu lagi dan teruskan hidup anda tanpa mereka. Anda perlu tahu, ada masanya lebih baik untuk anda melepaskan sesuatu daripada terus memegangnya.

Kongsi pengalaman dan tindakan anda bersama individu toksik

Pernahkah anda dikelilingi dengan individu toksik seperti ini di tempat kerja? Jika pernah, apakah yang telah anda lakukan untuk menghadapi individu seperti ini? Mungkin anda boleh kongsikan bersama kami berkenaan pengalaman anda dan cara anda menghadapinya di tempat kerja

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Februari 18, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Februari 17, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut