Vasektomi, Teknik Cegah Hamil Kontroversi Buat Lelaki, Tapi Berkesan Ke?

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Diterbitkan pada 06/05/2020

Prosedur vasektomi, walaupun tidak kedengaran lazim, namun ia merupakan salah 1 daripada cara yang paling efektif untuk elak kehamilan.

Ia lebih kurang sama dengan kaedah ikat tiub yang boleh dialami oleh wanita untuk mengekang pergerakan ovum.

Walau bagaimanapun, di Malaysia, prosedur ini boleh menimbulkan kontroversi jika dilakukan secara elektif (sukarela tanpa sebab perubatan).

Hal ini kerana majoriti masyarakat di Malaysia beragama Islam, dan penganutnya ditegah daripada teknik kawalan kehamilan kekal seperti vasektomi.

Artikel ini akan mengupas sedikit sebanyak tentang vasektomi dan sebab di sebalik mengapa ia dilakukan.

Apa itu prosedur vasektomi dan bagaimanakah ia dijalankan?

Vasektomi merupakan 1 prosedur kawalan kehamilan kekal yang menghalang pergerakan sperma keluar ketika proses ejakulasi.

Prosedur ini melibatkan pemotongan struktur tiub yang dikenali sebagai vas deferens.

Ia adalah saluran yang membawa sperma ke tiub urethra (tempat keluar air kencing).

Oleh sebab proses fisiologi ini merupakan salah 1 aspek penting kehamilan, jadi bagi mereka yang tidak mahu hamil, fungsi tiub tersebut perlu dihalang.

Objektif utama seseorang itu menjalani prosedur vasektomi adalah untuk memastikan air mani mereka tidak mengandungi sperma.

Kaedah pembedahan boleh dibuat melalui cara klasik yang melibatkan 2 potongan (insisi) untuk mengakses struktur tiub vas deferens.

Anda mungkin berminat:

prosedur vasektomi

Selain itu, terdapat juga teknik laparoskopi dibuat melalui 1 lubang kecil bagi memotong dan mengikat tiub tersebut.

Prosedur ini lazimnya dilakukan menggunakan ubat bius setempat. 

Mereka yang menjalaninya tidak boleh membuat sebarang kerja berat atau hubungan seks untuk tempoh seminggu.

Walaupun kaedah ini boleh dikatakan 100% berkesan untuk elak kehamilan, hakikatnya ia tidak sebegitu.

Menurut Persatuan Urologi Amerika (AUA), kehamilan biasanya berlaku pada 1 daripada 1,000 pasangan yang lelakinya telah menjalani prosedur vasektomi.

Risiko kehamilan selepas menjalani prosedur tersebut

Melalui data kajian yang dikumpul, jelas menunjukkan keberkesanan prosedur vasektomi berada pada 99.9%. 

Apa yang anda perlu tahu adalah vasektomi tidak menurunkan risiko kehamilan kepada 0% sejurus selepas anda melalui prosedur tersebut.

Terdapat jangka masa di mana wanita mempunyai 0.01% untuk hamil walaupun saluran vas deferens suami sudahpun dipotong.

Saki baki sperma yang terdapat pada dinding vas deferens boleh keluar melalui ejakulasi dan proses persenyawaan dengan ovum wanita.

Ini antara sebab mengapa doktor menegaskan pasangan yang tidak mahu mempunyai anak untuk melakukan hubungan seks dengan perlindungan pada 3 bulan pertama selepas prosedur.

Jadi bila waktu yang selamat untuk anda melakukan hubungan seks tanpa menggunakan kondom dan sebagainya?

Baca juga:

5 Selebriti Popular Yang Menjalani Pembedahan Vasektomi – #5 Paling Dekat Dengan Kita!

Menurut kajian yang dijalankan oleh Kolej Pembedahan Diraja Australia pada tahun 2005, sperma akan habis dalam tempoh 3 bulan atau selepas 20 kali ejakulasi.

Terdapat beberapa subjek kajian yang masih mempunyai sperma di dalam air mani mereka selepas tempoh tersebut.

Namun, sperma tersebut tidak bergerak dan ada dalam kalangan mereka yang akhirnya mencapai azoospermia (tiada sperma dalam air mani).

Setelah anda menjalani prosedur vasektomi, anda akan dipantau oleh doktor.

Air mani anda akan dianalisis selepas 3 bulan untuk melihat sekiranya terdapat sperma yang masih aktif mencari telur.

Sama ada anda berjaya atau tidak untuk elak kehamilan bergantung kepada anda sendiri. Anda perlu patuh kepada temujanji doktor. 

Pastikan anda menggunakan kaedah kawalan kehamilan lain seperti kondom dan pil cegah hamil sebelum doktor memberikan lampu hijau.

Prosedur vasektomi dari sudut pandang agama. Adakah ia benar-benar kekal?

Bagi mereka yang memang tidak mahu mempunyai anak lagi, prosedur vasektomi boleh memberikan ketenangan minda selepas anda melakukan hubungan seks tanpa perlindungan bersama isteri.

Berbanding dengan kaedah ikat tiub wanita, prosedur vasektomi lebih murah dan mudah untuk dilaksanakan.

Walau bagaimanapun, keputusan untuk menjalani prosedur ini tidak boleh dibuat secara terburu-buru.

Hal ini kerana vasektomi merupakan 1 prosedur kekal dan tidak lagi boleh kembali kepada fungsi asal.

Oleh sebab itulah agama Islam melarang umatnya daripada melakukan perkara sebegini.

Jika kawalan kehamilan bersifat sementara, ia masih boleh dipertimbangkan.

elak kehamilan

Namun jika ia bersifat kekal, tidak kira untuk lelaki ataupun wanita, tanpa sebab perubatan yang kukuh, hukumnya tetap haram.

Bagaimana pula dengan prosedur vasektomi yang boleh disambung kembali untuk berfungsi seperti biasa?

Kajian yang dijalankan di Belgium pada tahun 2018 menunjukkan lebih daripada 7% individu yang telah menjalani vasektomi ingin menyambung tiub tersebut semula.

Walau bagaimanapun, anda perlu tahu bahawa prosedur ini sukar dan mahal kerana ia melibatkan pakar bedah yang berkemahiran tinggi.

Kadar kejayaannya adalah di antara 40% hingga 90% bergantung kepada pelbagai jenis faktor seperti:

  1. Usia 
  2. Pengalaman pakar bedah
  3. Bila prosedur vasektomi tersebut dibuat

Oleh sebab itulah golongan lelaki perlu berfikir sebaiknya. Dalam agama Islam, perkara ini tetap haram kerana terdapat kaedah lain yang lebih selamat.

Perancangan seseorang itu boleh berubah mengikut masa. 

Maka jangan bebankan diri anda di masa hadapan dengan keputusan yang dibuat sambil lewa pada hari ini.

Konklusi

Prosedur vasektomi mempunyai kadar kejayaan yang tinggi.

Berbanding dengan kaedah ikat tiub wanita, ia lebih murah dan mudah untuk dilaksanakan oleh pakar bedah.

Apa yang penting adalah anda perlu ambil masa, berfikir akan implikasi sekiranya anda sedang menimbang keputusan sama ada untuk buat atau tidak prosedur vasektomi.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy"
Rujukan

Artikel lain untuk anda

apa itu vasektomi

5 Selebriti Popular Yang Menjalani Pembedahan Vasektomi – #5 Paling Dekat Dengan Kita!

Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
Ditulis oleh Ahmad Farid
Diterbitkan pada 29/04/2020
cara pakai kondom

Pasangan Suami Isteri, Ketahui 10 Cara Pakai Kondom Yang Salah!

Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
Ditulis oleh Ahmad Farid
Diterbitkan pada 06/01/2020