Terdapat pelbagai mitos tentang penggunaan pil pencegah kehamilan. Salah satu perkara yang paling digembar-gemburkan adalah kebarangkalian penggunaan pil pencegah kehamilan membuatkan wanita sukar untuk hamil pada masa akan datang. Adakah perkara ini benar ataupun ianya sekadar mitos? Teruskan membaca artikel ini bagi merungkai kebenarannya.
Bagaimana pil pencegah kehamilan berfungsi?
Pil pencegah kehamilan ialah sejenis kontraseptif hormon. Pil ini diambil melalui mulut untuk mencegah kehamilan. Jika pil diambil dengan betul, keberkesanannya adalah sehingga 99.9%. Kehamilan berlaku apabila telur yang dilepaskan dari ovari bersenyawa dengan sperma, kemudian menempel pada dinding uterus, dan menjadi janin.Pengeluaran telur dari ovari dipanggil pengovulan atau ovulasi, iaitu dikawal selia oleh hormon tertentu dalam tubuh wanita. Pil ini mengandungi sejumlah kecil hormon estrogen dan progestin. Ia berfungsi menentang hormon kitaran semula jadi dalam tubuh untuk mencegah kehamilan daripada berlaku. Kontraseptif hormon menghentikan pengovulan. Selain itu, ia juga mengubah corak mukus serviks, menjadikan sukar untuk sperma memasuki serviks untuk bertemu dengan telur. Pil ini juga mengubah lapisan rahim, jadi telur yang telah disenyawakan tidak boleh menempel sendiri pada dinding rahim.