Nak Panjang Umur? Amalkan Makanan Jepun Ini, Banyak Kebaikannya Buat Kesihatan!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Anda biasa makan makanan Jepun? Apa hidangan kegemaran anda jika datang ke kedai-kedai makanan Jepun ini? Kami pasti, ada yang menggemari sushi, ramen, udon dan juga tempura. Jika anda menggemari semangkuk ramen, kami ada berita baik untuk anda di sini.

Pes miso panjangkan umur

Mengikut kajian terbaharu, individu dewasa yang biasa memakan pes miso yang dicampur di dalam sup ramen atau sushi akan menikmati usia yang lebih panjang. 

Kajian tersebut menyatakan, individu yang memakan produk daripada kacang soya yang difermentasi seperti miso dan natto adalah 10% kurang cenderung untuk meninggal dunia lebih awal. Penemuan ini berdasarkan kajian yang dilaksanakan terhadap diet 100,000 individu di Jepun yang dikaji selama 15 tahun. 

Apakah miso dan natto?

miso

Miso adalah sejenis pes penting dalam masakan Jepun dan biasa digunakan sebagai asas sup seperti sup miso. Ia terbuat daripada campuran kacang soya, bijian seperti beras atau barli, garam dan juga koji (sejenis kulat). Ia kemudiannya ditapai atau difermentasi selama beberapa minggu, bahkan beberapa tahun sebelum digunakan. Semakin lama ia ditapai, semakin gelap warnanya. 

Natto juga adalah poduk hasilan daripada proses fermentasi kacang soya. Ia biasanya diambil sewaktu sarapan pagi dan dimakan bersama ikan, tauhu, sup miso dan juga nasi. Natto mempunyai tekstur yang agak berlainan. Kacang soya yang ditapai ini akan kelihatan berlendir dan mempunyai bau yang agak kuat. Walaupun ia kelihatan agak kurang menyelerakan, tetapi ia sebenarnya adalah sejenis makanan yang menyihatkan.

Bagaimana miso dan natto boleh memberikan kesan sebegini?

Para penyelidik menyatakan, ini mungkin kerana produk makanan ini tinggi dengan sebatian yang bermanfaat yang membantu memastikan tahap kolesterol berada dalam keadaan yang stabil

Walau bagaimanapun, tidak semua produk kacang soya boleh mampu memberikan kesan sebegini. Sebagai contoh, tauhu biasa tidak mempunyai kesan terhadap mortaliti seseorang individu. 

Kebiasaannya, individu di Jepun akan memulakan setiap hari mereka dengan hidangan sup miso bagi memudahkan penghadaman.

Kajian libatkan 100,000 orang, 15 tahun tempoh masa

Sekumpulan penyelidik dari Pusat Kanser Negara Jepun menyiasat hubungan antara jenis-jenis produk makanan kacang soya dengan kematian daripada pelbagai sebab termasuklah kanser, penyakit kardiovaskular, penyakit pernafasan dan juga kecederaan.

Data kemudiannya dikumpulkan daripada 42,750 orang lelaki dan juga 50,165 orang wanita yang berumur antara 45 hingga 74 tahun. Peserta kajian mengisi borang soal selidik mengenai tabiat pemakanan, gaya hidup dan juga status kesihatan masing-masing. 

Kematian pula dikenal pasti daripada pendaftaran kediaman dan sijil-sijil kematian berdasarkan susulan yang telah dilakukan selama hampir 15 tahun. Penyelidik kemudiannya mendapati bahawa, pengambilan kacang soya yang telah difermentasi dengan jumlah yang tinggi mempunyai kaitan dengan risiko yang lebih rendah bagi mortaliti atau kematian yang disebabkan oleh pelbagai faktor.

Jumlah pengambilan soya termasuklah produk seperti tauhu, susu soya dan okara (pulpa soya) pula tidak memberikan sebarang kesan terhadap kematian atau mortaliti. Individu yang memakan natto juga mempunyai risiko yang lebih rendah daripada kematian akibat penyakit kardiovaskular berbanding mereka yang tidak memakan natto.

Apakah lagi jenis makanan yang dimakan orang Jepun untuk tingkatkan jangka hayat mereka?

miso

Ramai yang mengetahui mengenai purata jangka hayat orang-orang Jepun yang hidup lebih lama. Mereka bukan sahaja memiliki jangka hayat yang lebih panjang malah gaya hidup mereka juga adalah lebih sihat. Pakar-pakar menyimpulkan bahawa ia adalah hasil daripada beberapa jenis diet mereka yang lain. Antara jenis makanan lain yang sering dimakan oleh orang Jepun ialah:

#1. Ikan

Ikan merupakan sumber terbaik bagi asid lemak omega-3, yang bertanggungjawab terhadap kesihatan jantung anda. Asid lemak omega-3 ini bukan sahaja memastikan peredaran darah yang lancar, malah ia juga memberikan manfaat kepada otak, mata dan juga mengurangkan keradangan. 

Ikan kaya dengan kandungan selenium yang amat penting untuk pertahanan antioksidan dan sistem imun. Vitamin B daripada ikan juga penting bagi membantu menyeimbangkan kimia otak kita. 

#2. Rumpai laut

Bagi anda yang masih tidak tahu, rumpai laut kaya dengan kandungan mineral, termasuklah iodin, zink, magnesium, kalsium, kalium dan mineral-mineral lain. Mineral-mineral ini diperlukan untuk menyokong sistem imun tubuh, pertahanan antioksidan dan juga kesihatan jantung.

#3. Teh matcha

Matcha ialah serbuk teh hijau tradisional yang diperbuat daripada pucuk daun segar daripada pokok teh. Matcha mengandungi jenis flavanol khusus yang dipanggil sebagai catechin. Catechin membantu meningkatkan antioksidan tubuh manusia.

#4. Sayur-sayuran jeruk

Sayur-sayuran yang dijeruk secara tradisional adalah sumber terbaik bagi probiotik semula jadi. Ia mampu menggalakkan kesihatan sistem penghadaman, membantu pencernaan yang lebih lancar selain menyerap nutrien daripada makanan yang kita makan. 

Bersederhana dalam pemakanan

Walaupun pes miso didapati mampu memberikan manfaat pada tubuh, ini tidak bermakna anda boleh mengambilnya dengan jumlah yang banyak. Disebabkan oleh faktor kehadiran garam dalam kandungan pes miso, anda perlu mengehadkan pengambilan harian pes miso ini.

Pastikan anda makan mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia melalui kaedah Pinggan Sihat Malaysia. Ia boleh membantu anda mengambil mengikut jumlah makanan yang yang disarankan agar anda tidak terkurang mahupun terlebih ambil makanan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Februari 9, 2020 | Kali terakhir kemaskini: April 3, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut