Cara Besarkan Payudara Tanpa Pembedahan

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Ada yang mengatakan saiz bukanlah sesuatu yang penting. Sesetengah individu wanita lebih selesa dengan payudara yang bersaiz kecil mahupun sederhana. Namun, cita rasa antara individu adalah berbeza, jadi terdapat juga individu wanita yang mahu memiliki payudara bersaiz besar. Bagaimana cara besarkan payudara? Pembedahan? Atau terdapat kaedah semula jadi yang boleh dilakukan? Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang topik ini, ikuti perkongsian yang berikut.

Payudara

Payudara adalah merupakan tisu yang berada pada otot dada (pectoral). Payudara wanita adalah terhasil daripada tisu khusus yang boleh menghasilkan susu iaitu tisu kelenjar (glandular tissue) bersama tisu lemak. Jumlah lemak yang berada pada payudara itu yang akan menentukan saiz payudara. 

Pada bahagian payudara yang menghasilkan susu dibahagikan kepada 15 hingga 20 bahagian yang dipanggil lobus. Dalam setiap lobus, terdapat struktur yang lebih kecil yang dirujuk sebagai lobules, di mana susu dihasilkan. Susu bergerak melalui rangkaian tiub kecil yang dipanggil duct (saluran). Duct akan bersambung antara satu sama lain dan terus ke duct yang besar, yang akhirnya keluar menerusi kulit pada puting. Bahagian gelap pada kulit sekeliling puting itu adalah dipanggil sebagai areola. 

Cara Besarkan Payudara Tanpa Pembedahan - anatomi payudara

Tisu penghubung dan ligamen menghasilkan sokongan kepada payudara dan memberikan bentuk. Saraf pada payudara memberikan rasa sensasi. Payudara juga mengandungi saluran darah, saluran limfa dan nodus limfa. 

Faktor Mempengaruhi Saiz Payudara

Payudara dianggap sebagai salah satu aset terbesar bagi seorang wanita. Payudara yang anjal dan penuh menjadikan badan seseorang individu lebih menarik. Ia menjadi antara sebab mengapa majoriti wanita mahukan payudara penuh. 

Saiz dan bentuk payudara adalah berbeza bagi setiap wanita. Ia sedikit sebanyak dipengaruhi oleh beberapa faktor. Tetapi adakah anda tahu faktor apakah yang mempengaruhi saiz payudara anda?

  1. Berat badan

Secara umumnya, payudara terdiri daripada tisu lemak. Oleh itu, saiz payudara mungkin akan berubah apabila seseorang individu itu mengalami peningkatan berat badan ataupun penurunan berat badan.

  1. Genetik

Saiz dan bentuk payudara yang unik juga boleh terhasil daripada gen yang diwarisi daripada kedua ibu bapa anda. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor atau hubung kait lain seperti diet pemakanan dan persekitaran yang berkemungkinan cenderung untuk mengubah corak genetik anda. 

  1. Hormon

Hormon yang terkandung dalam badan anda adalah penentu kepada saiz payudara anda. Kebanyakan wanita mengalami perubahan ketika mengalami tempoh akil baligh. Ini disebabkan oleh pengeluaran hormon yang dipanggil estrogen. Sebarang ketidakseimbangan hormon dalam badan berkemungkinan akan mengakibatkan perkembangan payudara yang tidak sihat.

Cara Besarkan Payudara

Anda sudah mengetahui faktor yang memainkan peranan utama dalam perkembangan payudara anda. Jika anda sedang mencari cara besarkan payudara, tetapi tidak mahu melakukannya dengan cara pembedahan, teruskan membaca perkongsian ini untuk mengetahui cara besarkan payudara secara semula jadi. 

1. Urutan dan minyak

  • Minyak zaitun

Minyak zaitun merupakan sumber nutrien yang kaya dan dipercayai dapat membantu meningkatkan peredaran darah. Ia mengandungi phytoestrogen yang meniru aktiviti estrogenik dalam badan anda dan ia boleh digunakan sebagai salah satu cara besarkan payudara anda. 

Untuk menggunakan kaedah ini, ada memerlukan 2 sudu teh minyak zaitun. Ambil sedikit minyak zaitun dan gosokkan di telapak tangan anda. Kemudian sapu dan urutkan dengan lembut payudara anda selama 5 hingga 10 minit. Anda disarankan untuk mengulangi keadah ini untuk 1 atau 2 kali dalam sehari. 

  • Minyak pati serai 

Minyak pati serai ini mengandungi monoterpene yang dipanggil nerol. Nerol didapati menunjukkan aktiviti estrogenik pada kepekatan yang tinggi. Oleh itu, dipercayai minyak pati serai ini dapat digunakan sebagai cara besarkan payudara tanpa pembedahan. 

Cara Besarkan Payudara Tanpa Pembedahan - minyak pati serai

Anda memerlukan 10 hingga 12 titis minyak pati serai ini, 30 ml minyak zaitun atau minyak kelapa. Campurkan kedua-dua minyak pilihan anda. Sapu campuran ini pada payudara dan urutkan payudara anda selama 5 hingga 10 minit. Ulang kaedah ini setiap pagi dan malam sehingga anda mencapai hasil yang diingini. 

  • Minyak pati ros

Kaya dengan kandungan monoterpenoid yang dipanggil geraniol. Bahan geraniol dalam minyak pati ros ini berfungsi sama seperti nerol, di mana ia turut menunjukkan aktiviti estrogenik pada kepekatan tinggi. Oleh itu, minyak pati ini turut dianggap sebagai kaedah berkesan untuk merangsang pertumbuhan tisu payudara anda sekali gus merupakan satu cara besarkan payudara yang selamat tanpa pembedahan.

Jika anda memilih untuk menggunakan minyak pati ros sebagai cara besarkan payudara, anda memerlukan 10 hingga 12 titis minyak ini dan 30 ml minyak zaitun atau minyak kelapa. Seperti menggunakan minyak pati serai, campurkan kedua-dua minyak mentah ini. Kemudian sapukan ke bahagian payudara anda. Lakukan urutan lembut pada payudara selama 5 hingga 10 minit. Lakukan urutan ini sekurang-kurangnya dua kali sehari. 

Walaupun tidak ada sebarang kajian saintifik untuk membuktikan keberkesanan mengenai penggunaan minyak sebagai cara besarkan payudara, tetapi tidak salah untuk mencubanya, bukan?

2. Vitamin

Pengambilan vitamin adalah satu lagi pendekatan cara besarkan payudara yang selamat. Vitamin A, B3, C dan E adalah cukup popular untuk fungsi keupayaannya yang dapat membantu membesarkan payudara, bersama manfaat kesihatan lain yang turut ditawarkan. 

Vitamin A berfungsi untuk membantu dalam proses pengeluaran kolagen yang membantu menganjalkan payudara, vitamin B3 pula dapat membantu dalam meningkatkan peredaran darah dalam badan anda, secara tidak langsung ia menggalakkan pembesaran payudara. 

Manakala vitamin C membantu menghasilkan kolagen, memastikan sel payudara kekal terhidrasi dan dalam masa yang sama membantu mengimbangi hormon-hormon badan anda yang boleh mempengaruhi saiz payudara anda. 

Vitamin E dapat membantu dalam mengawal selia paras kolesterol anda, yang akhirnya memberikan kesan dalam peningkatan saiz payudara anda. 

Tetapi, amatlah disarankan untuk anda mengambil makanan yang kaya dengan vitamin dalam diet pemakanan sebagai pilihan utama anda berbanding pengambilan supleman tambahan. 

3. Diet pemakanan

Pengambilan makanan yang betul turut dapat dijadikan sebagai cara besarkan payudara yang baik. Sesetengah makanan dipercayai dapat membantu untuk merangsang estrogen dan pertumbuhan payudara. 

Antara makanan yang boleh diamalkan adalah seperti buah-buahan seperti betik, epal, kurma, delima dan ceri. Manakala bagi sayuran pula seperti lobak, taugeh, terung, bawang putih dan timun. Kekacang seperti walnut, pistachio dan buah berangan. Buah zaitun dan avokado juga merupakan antara pilihan makanan yang baik.

4. Senaman dada

Selain pemakanan, senaman juga merupakan cara besarkan payudara yang paling selamat tanpa pembedahan. Gabungan diet pemakanan yang sihat bersama latihan senaman dada yang baik, pastinya dapat membantu anda mendapatkan payudara yang anda ingini.

Senaman dada biasanya melibatkan bahagian lengan serta bahu, dan ini membantu dalam peregangan dan toning di sekitar payudara anda. Selain membantu untuk meningkatkan saiz payudara anda, latihan seperti push-up, chair lift, wall press, dan chest press juga dapat menjadikan anda lebih sihat dan cergas. 

Cara Besarkan Payudara Tanpa Pembedahan - senaman

  • Wall presses 

Jika anda memilih untuk melakukan senaman ini sebagai cara besarkan payudara, apa yang perlu anda lakukan adalah:

  1. Berdiri di hadapan dinding dan tekan tapak tangan anda secara rata pada dinding, pada paras yang sama dengan dada anda.
  2. Secara perlahan dan terkawal, gerakan badan anda tanpa mengerakkan kaki, sehingga kepala anda hampir menyentuh dinding.
  3. Kembali ke kedudukan asal.
  4. Ulang 10 hingga 15 kali.
  • Arm circles

Merupakan pilihan senaman lain yang boleh dilakukan sebagai cara besarkan payudara. Apa yang boleh anda lakukan adalah:

  1. Depakan tangan anda (luruskan tangan ke bahagian sisi).
  2. Perlahan-lahan buatkan bulatan kecil dari belakang selama 1 minit.
  3. Kemudian buatkan bulatan kecil ke hadapan untuk tempoh 1 minit juga.
  4. Gerakan yang seterusnya adalah mengerakkan tangan anda ke atas dan ke bawah, dalam gerakan perlahan, untuk 1 minit.
  5. Ulang langkah untuk 1 atau 2 kali sebelum berehat.
  • Arm presses

Senaman seterusnya ini yang boleh diamalkan sebagai cara besarkan payudara boleh dilakukan sama ada dengan duduk atau berdiri.

  1. Luruskan tangan anda ke hadapan dada, pastikan jari anda rapat antara satu sama lain.
  2. Kemudian dalam gerakan yang terkawal, gerakkan tangan anda ke belakang dan bengkokkan ke belakang.
  3. Selepas itu bawakan tangan anda ke hadapan.
  4. Ulang senaman ini selama 1 minit.
  5. Untuk menjadikannya lebih sukar, anda boleh memegang pemberat.
  • Prayer pose
  1. Rapatkan kedua-dua belah tapak tangan anda, tekankan keduanya untuk tempoh 30 saat
  2. Kemudian, dengan kedua-dua belah tapak tangan masih dalam keadaan rapat, bengkokkan siku anda sehingga 90 darjah dan tekankan kedua-dua belah tapak tangan antara 1 sama lain di hadapan dada anda untuk selama tempoh 10 saat. 
  3. Kembali luruskan tangan anda.
  4. Ulang langkah ini selama 15 kali.
  • Horizontal chest press

Senaman lain yang boleh dilakukan sebagai cara besarkan payudara adalah horizontal chest press. Apa yang boleh anda lakukan adalah:

  1. Bawa tangan anda ke hadapan badan dan bengkokkannya secara 90 darjah. 
  2. Depakan tangan anda seluas yang boleh dan kembalikan kedudukan asal semula.
  3. Ulang senaman ini untuk 1 minit
  • Chest press extensions

Untuk melakukan senaman ini anda memerlukan dumbbell dan anda perlu berbaring.

  1. Pegang dumbbell pada setiap tangan, angkat tangan anda lurus ke atas. 
  2. Kemudian bengkokkan siku.
  3. Secara perlahan-lahan, luruskan kembali tangan.
  4. Anda boleh memilih untuk membengkokkan tangan secara bersilang, iaitu sebelah tangan dibengkokkan dan sebelah yang lain dalam keadaan lurus.
  5. Ulang untuk 12 kali bagi 3 set senaman.

Makanan Bantu Besarkan Payudara

Seperti yang dinyatakan di awal tadi, diet pemakanan yang betul dapat membantu anda membesarkan payudara anda. Berikut adalah antara beberapa jenis makanan yang baik untuk anda amalkan.

Produk tenusu

Semua produk tenusu seperti susu dan keju, merupakan antara makanan yang baik untuk diamalkan. Susu mengandungi hormon pembiakan yang sama seperti di dalam badan manusia. Susu lembu mengandungi hormon estrogen, progesteron dan prolaktin yang penting untuk pengeluaran susu. 

Susu soya

Satu lagi sumber yang kaya protein dan dapat meningkatkan saiz payudara anda adalah susu soya. Ia mengandungi isoflavon yang bertindak seperti estrogen dan bertanggungjawab untuk meningkatkan saiz payudara. Anda juga boleh memilih untuk makan kacang soya secara terus. Ia merupakan antara pilihan cara besarkan payudara yang selamat!

Kacang 

Cara Besarkan Payudara Tanpa Pembedahan - kekacang

Jika anda mahukan payudara yang lebih besar, jangan lupa untuk memasukkan walnut, kacang gajus, kacang tanah dan pecan ke dalam diet pemakanan anda. Makanan ini merupakan pilihan makanan yang tinggi protein dan lemak yang baik. Bukan itu sahaja, kacang juga dapat membantu mengekalkan tahap kesihatan jantung dan otak yang baik.

Sayuran berdaun hijau

Merupakan pilihan makanan yang lengkap dengan nutrisi tinggi dan boleh membantu menjaga tahap kesihatan anda. Walaupun sayuran berdaun hijau seperti bayam mungkin tidak mengandungi phytoestrogen yang tinggi untuk membantu merangsang perkembangan sel tisu payudara, tetapi ia dapat membantu dalam pembentukan payudara anda. 

Alasan lain yang menyebabkan anda harus memakan sayuran ini adalah ia mencegah penghasilan testosteron lelaki di dalam individu wanita. Ini sekaligus dapat membantu mengimbangkan hormon dalam badan wanita dan memberikan ruang kepada tahap estrogen semula jadi untuk mengawal fungsi badan.

Makanan laut

Pengambilan makanan laut boleh memberikan manfaat dan kebaikan untuk kesihatan anda. Tetapi terdapat sesetengah jenis makanan boleh membantu merangsang pembesaran payudara. Makanan seperti udang, tiram dan ikan dan rumpai laut kaya dengan kandungan mangan yang dapat menggalakkan hormon seks di dalam badan. Sebagai hasilnya, saiz payudara anda akan membesar. Pastikan anda memasukkan makanan laut ke dalam diet makanan anda dan lihatlah hasilnya nanti.

Bijian

Biji bunga matahari, biji labu adalah antara jenis bijian yang disyorkan untuk pertumbuhan payudara anda yang lebih baik. Biji-bijian ini dapat membantu meningkatkan tahap estrogen dalam badan. Dalam masa yang sama ia menggalakkan pembesaran payudara. Selain itu, anda boleh mencuba biji bijan. Ia juga boleh membantu untuk mendapatkan payudara yang lebih besar. Cuba taburkan biji bijan ke dalam makanan anda dan nikmati rasa dan manfaat yang ditawarkan.

Ayam

Mungkin ada yang tidak tahu atau anda mungkin tidak percaya, ayam juga merupakan antara jenis makanan yang dapat membantu membesarkan payudara anda tanpa pembedahan dan dengan cara yang selamat. Ayam dipercayai dapat menggalakkan peningkatan tahap estrogen yang mana ia merupakan cara asas untuk membesarkan payudara secara semula jadi. 

Daging 

Jika anda inginkan payudara yang besar, anda tidak boleh menyingkirkan protein daripada diet anda. Makanlah daging, secara tepatnya daging tanpa lemak, ia mungkin merupakan antara cara paling penting dan berkesan untuk membantu anda.

Buah-buahan

Buah-buahan segar harus dijadikan sebagai makanan ruji penting dalam diet harian anda. Ia merupakan pilihan makanan yang baik dan istimewa yang dapat membantu pertumbuhan badan anda secara semula jadi. 

Pilihan buah-buahan seperti ceri dan beri biru adalah buah yang kaya estrogen yang dapat meningkatkan tahap estrogen badan dan meningkatkan tahap pembesaran yang baik. Epal dan plum juga antara pilihan buah-buahan yang baik. 

Fenugreek 

Apa itu fenugreek? Jika disebut fenugreek, pasti anda kedengaran janggal. Tetapi jika disebut sebagai biji halba, pasti anda pernah mendengarnya atau biasa menggunakannya. Biji halba bukan sahaja dapat membantu menurunkan berat badan dan memberikan kesihatan rambut yang lebih baik. Hakikatnya, biji halba merupakan sumber phytoestrogen yang tinggi. Anda boleh mengambilnya dalam bentuk kapsul, atau minyak pati, atau apa sahaja cara, ia pasti merupakan kaedah yang baik untuk payudara anda.

Penjagaan Kesihatan Keseluruhan

Untuk mendapatkan payudara yang lebih besar atau mengikut saiz yang anda inginkan, anda masih tetap perlu memberikan perhatian terhadap tahap kesihatan diri anda secara keseluruhan. Jaga aspek pemakanan, senaman serta pastikan anda turut memberikan badan anda rehat yang mencukupi. Jangan nanti kerana inginkan saiz payudara yang lebih besar, tahap kesihatan anda diabaikan. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut