home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Khabarnya Pesakit Diabetes Tak Boleh Makan Lobak Merah Sebab Manis, Betul Ke?

Khabarnya Pesakit Diabetes Tak Boleh Makan Lobak Merah Sebab Manis, Betul Ke?

Lobak merah ialah salah satu makanan sihat yang menjadi kegemaran ramai. Banyak khasiat sayur untuk pesakit diabetes, terutamanya lobak merah yang ramai tidak tahu.

Kaya dengan beta karotena, vitamin A, potassium dan juga fiber, sayuran ini selalu menjadi pilihan individu yang inginkan gaya hidup yang lebih sihat.

Namun, ramai yang menganggap lobak merah tidak baik untuk pesakit diabetes kerana rasanya yang manis. Kenyataan ini tidak benar sama sekali!

Nak tahu lebih lanjut? Jom ikuti artikel kami di bawah.

Manis bukan bermaksud tidak boleh dimakan

Sayuran yang versatil ini bukan sahaja baik untuk kesihatan, malah sedap jika dimasak di dalam apa jua hidangan sekalipun. Jadi, tidak hairanlah jika lobak merah boleh didapati dalam kebanyakan masakan di Malaysia.

Tetapi, jika anda merupakan pesakit kencing manis, ataupun orang yang sedang menjaga individu yang menghidap diabetes, anda pasti akan lebih berhati-hati dalam memilih makanan.

Pasti anda tertanya-tanya – Boleh ke pesakit kencing manis makan lobak merah walaupun rasanya manis?

Jawapannya ialah, ya! Lobak merah ialah makanan yang sangat berkhasiat untuk pesakit kencing manis.

Walaupun lobak merah rasanya manis, kandungan gula di dalamnya ialah semula jadi. Semua sayur-sayuran dan buah-buahan adalah baik untuk kesihatan termasuklah untuk pesakit kencing manis.

Tanggapan bahawa pesakit kencing manis perlu elakkan gula secara total di dalam diet seharian mereka adalah tidak benar sama sekali.

Lobak merah mempunyai indeks glisemik (GI) yang rendah

sayur untuk diabetes

Penting untuk pesakit kencing manis ambil tahu tentang indeks glisemik (GI) sesuatu makanan.

Indeks glisemik ialah satu ukuran betapa cepatnya sesuatu makanan itu diubah menjadi gula dalam tubuh badan manusia.

Makanan yang mempunyai GI yang rendah akan bertukar menjadi gula secara stabil dan perlahan-lahan.

Ini akan mengelakkan kadar gula dalam darah daripada meningkat dengan mendadak.

Diet yang kaya dengan makanan yang mempunyai indeks glisemik yang rendah adalah disarankan untuk pesakit kencing manis.

Lobak merah mempunyai indeks glisemik yang rendah iaitu sebanyak 33.

American Diabetes Association ataupun ADA mengkategorikan makanan yang mempunyai indeks lebih rendah daripada 55 sebagai makanan rendah GI.

Oleh itu, kepada pesakit kencing manis, jangan risau ya jika anda ingin makan lobak merah!

Lobak merah mempunyai banyak khasiat

khasiat lobak

Lobak merah kaya dengan pelbagai jenis vitamin dan juga serat. Kesemua nutrisi ini penting untuk pesakit yang mempunyai diabetes. Selain itu, lobak merah juga kaya dengan:

1. Vitamin A

Lobak merah kaya dengan beta karotena yang akan ditukar oleh badan kepada vitamin A. Nutrisi ini penting untuk tumbesaran dan juga sistem imun.

2. Biotin

Biotin merupakan sejenis vitamin B yang memainkan peranan yang penting dalam metabolisme lemak dan juga protein.

3. Vitamin K1

Vitamin ini juga dikenali sebagai phylloquinone. Ia merupakan sejenis vitamin yang penting untuk kesihatan tulang.

4. Vitamin B6

Vitamin B6 penting untuk penukaran makanan kepada tenaga.

Pesakit kencing manis boleh makan lobak merah

sayur untuk diabetes

Jika anda ingin mempelbagaikan cara memasak lobak merah tanpa menghilangkan nutrisinya, anda boleh cuba rebus, jadikan jus ataupun makan sahaja secara mentah.

Tambah lagi, pasti semua serba maklum tentang kebaikan lobak merah kepada kesihatan mata.

Disebabkan lobak merah mengandungi karotenoid yang baik untuk mata, ia mungkin boleh membantu untuk elakkan retinopati diabetes (diabetic retinopathy).

Selain lobak merah, anda juga boleh cuba makan sayur lain seperti cendawan, timun, tomato, bayam, asparagus, avokado, brokoli dan kubis yang juga baik untuk diabetes.

Sayuran di atas juga mempunyai kadar glisemik indeks yang rendah, sesuai untuk dimakan oleh pesakit kencing manis.

Kesimpulan

Pesakit kencing manis jangan takut untuk makan lobak merah. Lobak merah bukan sahaja baik untuk kesihatan, malah mempunyai indeks glisemik yang rendah.

Bukan sahaja rasanya yang sedap, malah ia juga baik untuk mata dan juga penuh khasiat untuk pesakit kencing manis.

Selain itu, lobak merah juga boleh rendahkan tahap kolesterol dalam badan.

Ia juga baik untuk individu yang sedang berdiet kerana lobak merah boleh membuatkan pemakannya rasa kenyang dengan lebih lama.

Lobak merah merupakan snek yang terbaik untuk pesakit kencing manis. Oleh itu, jangan segan-segan makan lobak merah yang penuh khasiat ini ya.

health-tool-icon

Kalkulator BMR

Guna kalkulator pengambilan kalori ini untuk menentukan keperluan kalori seharian yang anda perlu, berdasarkan tinggi, berat, umur dan tahap aktiviti anda.

Lelaki

Wanita

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Harvard University. 2020. Glycemic index for 60+ foods. January 6. Accessed June 15, 2020. https://www.health.harvard.edu/diseases-and-conditions/glycemic-index-and-glycemic-load-for-100-foods.
  2. Mayo Clinic. 2017. Glycemic index diet: What’s behind the claims. August 1. Accessed June 15, 2020. https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/nutrition-and-healthy-eating/in-depth/glycemic-index-diet/art-20048478#:~:text=Purpose,as%20diabetes%20and%20cardiovascular%20disease.
  3. Nutri-Facts. 2018. Living in Color – The Health Benefits of Carotenoids. March 23. Accessed July 27, 2020. https://www.nutri-facts.org/en_US/news/living-in-color-the-health-benefits-of-carotenoids.html.
  4. The History of Carrots. Brief Carrot History and Timeline. March 23. Accessed July 27, 2020. http://www.carrotmuseum.co.uk/history.html
  5. Cleveland Clinic. Reasons Why Carrots (of All Colors) Are Healthy For You. March 23. Accessed July 27, 2020. https://health.clevelandclinic.org/reasons-why-carrots-of-all-colors-are-healthy-for-you/
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Fatin Zahra Disemak pada 30/04/2021
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor