Kaki Ayam Kaya dengan Kolagen? Betul ke?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Suatu ketika dahulu, kaki ayam bukanlah menjadi pilihan bagi sesetengah individu sebagai salah satu pilihan makanan yang ingin diambil. Kadangkala, kaki ayam tersebut dibuang selepas diproses memandangkan kemungkinan tiada sesiapa yang ingin memakannya atas beberapa faktor seperti rupa bentuk, tekstur dan berasa geli memandangkan statusnya sebagai kaki ayam walaupun telah dicuci bersih dan dimasak. Namun, kebelakangan ini, semakin ramai yang mula memahami manfaat yang diperoleh daripada pemakanan kaki ayam ini. Ikuti artikel ini untuk mengetahui manfaat yang mungkin boleh anda perolehi daripada hidangan berasaskan kaki ayam.

Adakah manusia gemarkan kaki ayam?

Memakan makanan ini mungkin tidak begitu menarik dan biasa bagi sesetengah individu atau penduduk di sesebuah negara, tetapi ia dianggap sebagai makanan istimewa di banyak negara Asia, termasuk China, Vietnam, Filipina, dan Korea. Selain itu, penduduk di rantau lain turut memakan hidangan berasaskan kaki ayam. Resipi yang menyertakan jenis makanan ini sebagai bahan utamanya turut terkenal di Jamaica, Afrika Selatan, Trinidad, dan beberapa negara di wilayah Amerika Selatan.

Mengapa perlu memakan kaki ayam?

Sesetengah individu menyatakan bahawa adalah tidak elok untuk membuang bahagian-bahagian tertentu ayam yang boleh dimakan untuk mengelakkan pembaziran. Ia sangatlah benar memandangkan banyak kumpulan etnik yang memakan makanan ini adalah secara tradisinya berasal daripada kumpulan masyarakat yang berpendapatan rendah. Oleh itu, pembuangan kaki ayam diibaratkan sebagai satu pembaziran memandangkan ia boleh dijadikan sebagai lauk dan hidangan untuk dimakan oleh ahli keluarga yang lain. Selain itu, makanan ini ternyata adalah sumber makanan yang berkhasiat. Salah satu faedah positif yang berkaitan dengan khasiat memakan kaki ayam adalah disebabkan oleh kandungan kolagen kaki ayam tersebut. Penyelidikan yang dijalankan oleh Jabatan Sains Haiwan Universiti Kebangsaan Chung-Hsing di Taiwan menunjukkan bahawa kaki ayam mengandungi banyak kolagen. Kolagen, seperti yang anda ketahui, adalah bahan yang membantu kulit anda untuk kelihatan muda.

Kaki ayam dan kolagen

kaki ayam

Penyelidikan di Universiti Taiwan ini juga telah mengesahkan bahawa makanan ini adalah sumber alternatif yang baik untuk mendapatkan kolagen. Sumber yang menjadi kebiasaan manusia untuk mendapatkan kolagen adalah daripada lembu, babi dan ikan laut. Tetapi kos pengeluaran daripada sumber-sumber ini ternyata adalah sangat mahal. Kaki ayam bukan sahaja kaya dengan kolagen tetapi juga sumber asid hyaluronik, dan chondroitin sulfat. Asid hyaluronik turut digelar sebagai ‘fountain of youth’ kerana ia boleh menghalang kesan-kesan penuaan. Chondroitin sulfate pula adalah baik untuk osteoarthritis dan bermanfaat untuk individu yang mengalami masalah sendi.

Menurut Majalah Sains pula, makanan ini sememangnya mengandungi kolagen lebih daripada 20% kolagen. Kebanyakan kolagen ini akan terhidrolisis membentuk gelatin jika mencapai suhu 60-65 darjah Celsius. Memandangkan suhu memasak kaki ayam yang pastinya mencapai tahap air mendidih (lebih dari 100 darjah Celsius disebabkan sifat colligative), maka sudah tentulah kolagen telah bertukar kepada gelatin.

Jadi, adakah gelatin daripada makanan ini baik? Ya, walaupun gelatin dikategorikan sebagai protein kualiti rendah kerana kandungan amino asid utamanya telah termusnah (denatured), namun kajian saintifik telah membuktikan bahawa pengambilan gelatin mampu menumbuhkan rambut dan kuku, merawat penyakit sendi termasuk osteoarthritis.

Apakah kolagen dan apakah manfaatnya?

Kolagen boleh digambarkan sebagai protein yang berfungsi sebagai gam yang ‘memegang badan kita bersama’. Faedahnya bukan hanya untuk kesihatan kulit tetapi juga untuk jantung, bahkan dapat meningkatkan prestasi atlet. Faedah lain daripada pengambilan kolagen adalah:

  • Kulit yang lebih sihat dan muda.
  • Ia kaya dengan kalsium dan protein, tanpa karbohidrat.
  • Ia meningkatkan bekalan darah dengan menguatkan saluran darah.
  • Membantu badan dalam metabolizing lemak, oleh itu ia baik untuk penurunan berat badan.
  • Melambatkan kesan arthritis.
  • Mengurangkan rasa sakit dan bengkak (keradangan).

Kebanyakan kolagen, atau suplemen kolagen adalah mahal. Mengapa anda perlu membayar dengan jumlah yang mahal jika anda mempunyai alternatif yang amat murah atau hampir percuma iaitu dengan mengambil kaki ayam? Untuk menikmati faedah kolagen dalam kaki ayam, masukkan kaki ayam ke dalam sup, rebusan, stew atau dalam sebarang masakan.

Adakah dengan meminum kolagen yang boleh dicerna boleh membantu kulit agar lebih lembut dan anjal?

Selama berabad-abad, makanan dan minuman penduduk-penduduk Asia adalah berasaskan tumbuh-tumbuhan, rempah-rempah, dan makanan yang tidak diproses, dan ini termasuklah kaki ayam untuk menjaga kulit mereka agar lebih cantik. Pada masa sekarang, syarikat kecantikan dan farmaseutikal telah mula memasarkan produk berasaskan kolagen termasuklah produk-produk minuman kolagen.

Adakah minuman kolagen benar-benar berkesan?

kaki ayam

Dr Stefanie Williams, seorang Ahli Pakar Kulit & Pengarah Perubatan European Dermatology London, mengatakan bahawa beberapa minuman kolagen sebenarnya memenuhi tuntutan mereka untuk mendapatkan kulit yang lebih baik.

Rawan ayam baik untuk arthritis

Kaki ayam terdiri daripada tulang, kulit, dan tendon, tetapi tidak mempunyai otot. Bahagian makanan ini kaya dengan protein, kalsium, mineral, kolagen, dan tulang rawan yang mudah diserap oleh badan. Ini adalah nutrien penting yang diperlukan untuk pergerakan sendi yang baik untuk mengurangkan arthritis dan sakit sendi. Daripada anda membeli makanan tambahan dengan kandungan glucosamine dan chondroitin, adalah lebih baik untuk anda menggunakan kaki ayam di dalam sup atau renehan anda dan nikmati pilihan yang lebih murah untuk kesihatan bersama. Inilah sebabnya mengapa pakar seni pertahanan diri Cina menggunakan kaki ayam sebagai sebahagian daripada rutin diet mereka.

Di mana saya boleh mencari dan membeli kaki ayam?

Di negara ini, kita menternak daging ayam dengan sendiri dan mungkin bukan sesuatu yang sukar bagi sesiapa untuk mencari dan membelinya. Di sesetengah negara, banyak pemproses ayam menghantar kaki ayam ke luar negara kerana ia boleh dijual dengan lebih baik di negara lain. Berikut adalah beberapa cadangan tempat yang boleh anda lihat untuk mencari kaki ayam.

  • Petani tempatan yang menternak ayam daging
  • Gerai-gerai ayam
  • Kedai runcit
  • Anda juga boleh meminta kedai runcit jika mereka boleh memesan makanan ini untuk anda daripada pembekal daging mereka.

Cara menyediakan kaki ayam untuk dimasak

Sebenarnya, membersihkan makanan ini adalah agak mudah tetapi jika ini adalah kali pertama anda melakukannya, ia boleh menjadi agak janggal untuk anda. Ikuti langkah-langkah berikut untuk membantu anda melakukannya dengan baik

  • Basuh kaki ayam dengan bersih
  • Seterusnya, sapu dengan garam untuk menghapuskan sebarang kesan kotoran degil
  • Kemudian celurkan kaki ayam dalam air mendidih selama kira-kira 3 minit
  • Biarkan ia sejuk sebelum anda mengupas membran kuning yang terdapat pada kaki ayam tersebut
  • Gunakan sama ada pisau yang tajam atau gunting dapur dan potong hujung kuku/ kuku kaki ayam
  • Kaki ayam anda kini sedia untuk dimasak dalam hidangan lain mengikut keinginan anda

Bagaimana untuk memakan kaki ayam?

kaki ayam

Ia bergantung kepada jenis hidangan yang anda ingin hidangkan. Untuk resipi kaki ayam Cina, kaki diperapkan dalam perapan kicap, kacang hitam, dan beberapa jenis rempah ratus. Keseronokan ketika memakannya adalah menghisap tulang dan menikmati jus/ sos dari kaki ayam tersebut. Anda menggigit sepotong kaki, menghisap, dan menarik kulit kaki ayam tersebut. Hidangan ini sangat lazat jika diperapkan dan dimasak dengan betul. Keluarkan tulang kecil dari mulut anda dan teruskan dengan bahagian kaki ayam yang lain.

Untuk resipi makanan ini yang dilakukan di Mexico, kaki ayam dilapisi adunan tepung dan digoreng. Bahagian kulit luar kaki tersebut boleh dikunyah, tetapi selebihnya kebiasaannya tidak dimakan. Jika kaki ayam digunakan dalam sup, maka anda boleh memakan kesemua bahagian kecuali tulangnya. 

Manfaat memakan kaki ayam

Menurut National Library of Medicine, kolagen adalah protein yang paling banyak di dalam tubuh, yang menyumbang hampir satu perempat daripada jumlah jisim protein. Ia memberikan kekuatan kepada tulang, ligamen, tendon, dan sokongan bagi penyembuhan luka kulit.

  • Manfaat kulit

Kolagen membantu membentuk elastin dan sebatian lain dalam kulit yang bertanggungjawab untuk mengekalkan keremajaan, tekstur dan penampilan kulit. Pemakanan adalah kunci utama apabila melibatkan kesihatan dan penampilan kulit.  Semakin banyak kolagen yang ada di dalam badan anda, semakin kecil kemungkinan anda mempunyai tanda-tanda penuaan yang paling jelas seperti kedutan. Ia juga meningkatkan keanjalan kulit dan menghalang penuaan pramatang yang membuatkan kulit kelihatan berkedut. Oleh sebab faktor ini, beberapa doktor mencadangkan untuk memakannya untuk tujuan kecantikan kulit. Ini bermakna kolagen ayam boleh dimasukkan dalam pelan penjagaan kulit semula jadi anda.

  • Melegakan artritis

Simptom sendi artritis yang umum termasuk bengkak, sakit, kekakuan dan pelbagai pergerakan menurun. Dua daripada jenis artritis yang paling biasa dan terkenal adalah osteoartritis dan artritis reumatoid. Kolagen sebenarnya boleh membantu menghentikan penyakit autoimun seperti artritis reumatoid atau membantu memperbaik simptom artritis reumatoid. Kolagen ayam mengandungi kondroitin sulfat dan glucosamine sulfat yang mana kedua-duanya sangat baik untuk menyokong sendi dan mengekalkan tahap pH yang sihat.

  • Meningkatkan sistem imun

Penyelidikan terus membuktikan bahawa kolagen dapat membantu membuka lubang dalam lapisan usus dan menyokong integriti usus. Ini secara langsung berfungsi untuk meningkatkan sistem imun dan merupakan salah satu sebab mengapa sup ayam benar-benar boleh membuat anda berasa lebih baik apabila anda sedang melawan penyakit sementara atau masalah kesihatan yang berkaitan dengan imun. Ini juga adalah kerana kandungan mineral yang sangat bermanfaat untuk membina kesihatan. Ia juga mengandungi kolagen dan beberapa mineral seperti tembaga, magnesium, fosforus, zink dan juga kalsium. Beberapa mineral ini berguna dalam mengatasi serangan daripada penyakit. Oleh itu, dengan memakannya secara teratur dapat meningkatkan sistem kekebalan tubuh.

  • Meningkatkan kesihatan pencernaan

Kolagen ayam membantu menyokong lapisan mukosa yang sihat di dalam usus. Kajian mendapati bahawa individu yang mempunyai ketidakseimbangan pencernaan, kepekatan serum kolagen berkurangan. Ini kerana asid amino dalam kolagen membina tisu yang melekat pada kolon dan seluruh saluran usus, dengan kolagen ia dapat menyokong fungsi pencernaan yang sihat. Dengan mengekalkan lapisan mukosa usus yang sihat, anda boleh mengelakkan sindrom usus yang bocor, yang sering menjadi penyebab utama alahan makanan, kurang bertenaga, sakit sendi, penyakit tiroid, simptom penyakit autoimun dan metabolisma yang perlahan.

  • Meningkatkan prestasi atlet

Penyelidikan yang dijalankan oleh Department of Nutrition and Sports Nutrition untuk atlet di Penn State University mendapati bahawa apabila atlet ditambah dengan kolagen sepanjang 24 minggu, majoriti menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam keselesaan sendi dan penurunan faktor yang memberi kesan buruk kepada prestasi sukan. Jadi, tidak menghairankan bahawa kolagen membantu artritis serta isu berkaitan dengan sukan kerana ia secara semula jadi mengandungi kondroitin dan asid hialuronik.

  • Mempercepat penyembuhan luka

kaki ayam

Kandungan kolagen dan beberapa komponen protein dalam makanan ini, serta beberapa komponen albumin, menjadikan kaki ayam mempunyai keupayaan untuk mempercepatkan penyembuhan luka dan juga membantu mengatasi kerosakan sel. Di samping itu, dengan keupayaan makanan ini dalam menggalakkan proses penggantian sel-sel yang rosak, maka dengan memakan ayam kaki akan sangat membantu tubuh untuk meningkatkan keupayaannya bagi menghalang jangkitan. Kerosakan sel akibat daripada jangkitan akan lebih cepat diatasi, oleh itu tubuh akan bertindak dengan lebih berkesan dalam memerangi serangan bakteria yang masuk.

  • Meningkatkan kekuatan sendi dan mengelakkan kerapuhan tulang

Apabila individu menjadi semakin tua, jumlah kalsium akan berkurangan dan sel akan menjadi sukar untuk tumbuh semula. Kaki ayam mempunyai banyak nutrien seperti kalsium, protein, tulang rawan, dan kolagen yang membantu menguatkan sendi dan mencegah tulang rapuh yang berlaku pada usia tua.

  • Merendahkan tekanan darah

Kaki ayam mengandungi lebih banyak protein kolagen berbanding daripada daging dada ayam. Protein kolagen makanan ini mempunyai fungsi untuk menurunkan tekanan darah. Kolagen ini boleh menurunkan paras renin plasma agar tidak menyebabkan tekanan darah menjadi lebih tinggi. Ia juga mengandungi potasium, oleh itu bagi individu yang mempunyai tekanan darah tinggi akan menjadi lebih baik jika memakan kaki ayam. Secara umumnya, untuk membuat sup ayam yang lazat akan memerlukan banyak kandungan garam. Untuk individu yang mempunyai tekanan darah tinggi, mereka pada kebiasaannya sensitif terhadap garam. Maka tidak disyorkan untuk menggunakan banyak garam kerana garam dapat menyebabkan tekanan darah tinggi.

  • Gusi menjadi lebih sihat

Gusi adalah bahagian penting dari tubuh manusia kerana semua makanan yang masuk ke dalam tubuh diproses oleh gusi, gigi, dan lidah. Oleh itu, kita perlu mendapatkan beberapa nutrien yang membantu dalam mengekalkan gusi. Mengambil makanan ini membantu kita untuk mengekalkan fungsi gusi kerana ia mengandungi sejumlah besar kandungan kolagen, asid amino, dan bahan pembentuk gelatin yang lain. Bahan-bahan tersebut akan membantu menguatkan gusi.

  • Menjadikan kuku lebih sihat

Badan kita memerlukan kolagen untuk mengekalkan kekuatan struktur kuku. Kolagen boleh didapati daripada makanan ini, oleh itu bagi mereka yang sering mengambil makanan ini setiap hari cenderung untuk mempunyai kuku yang sihat dan kuat. Kaki ayam juga mengandungi asid amino, glycine, dan juga proline yang kandungannya dapat membantu anda untuk mengekalkan badan dan kuku yang sihat. Apabila kuku ayam dipotong, kaki ayam kebiasaannya melepaskan cecair atau gel khas yang mengandungi kandungan gelatin. 

  • Mengatasi Reumatisme

Untuk mengurangkan risiko peningkatan serangan reumatik, anda boleh melakukannya dengan mengambil kaki ayam dalam diet anda. Kolagen dalam kaki ayam inilah yang menjadikan kaki ayam melekit dan tebal apabila telah diproses. Makanan ini mengandungi bahan hydroxyapatite yang baik untuk menguatkan tulang luar dan mencegah ancaman kerapuhan tulang. Ia juga mengandungi kalsium yang baik untuk reumatisme.

Ternyata, makanan ini bukanlah bahan makanan yang boleh dipandang sepi apatah lagi dibuang. Ia adalah sumber makanan yang murah, tetapi kaya dengan kandungan khasiat terutamanya kolagen yang tinggi. Anda tidak perlu melaburkan wang anda untuk mendapatkan produk kolagen yang berharga mahal, cukup sekadar mempelbagaikan hidangan kaki ayam dalam menu anda. Anda mungkin tidak terbiasa dengan tekstur kaki ayam tersebut, tetapi anda akan terbiasa setelah kerap mencubanya. Alah bisa tegal biasa.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut