Sehingga kini, telah banyak kajian mengenai kaitan talkum dan kanser masih dijalankan. Mungkin ada kajian yang setuju dengan kenyataan ini dan mungkin ada yang tidak setuju. Namun begitu, mengapa anda mesti memilih untuk menggunakan bahan yang diragui keselamatannya, bukan? Anda mempunyai pelbagai pilihan lain yang jauh lebih selamat.
Kes wanita dijangkiti kanser ovari disebabkan oleh bedak talkum
Sebenarnya, telah banyak kes kanser ovari dihidapi oleh wanita kerana dikhuatiri disebabkan oleh bedak talkum. Ada beberapa kes di Amerika Syarikat yang melibatkan wanita dijangkiti kanser ovari yang disyaki disebabkan oleh bedak talkum keluaran syarikat kosmetik terkemuka iaitu Johnson & Johnson (J & J) telah berjaya menang di muka pengadilan.
Kes di Los Angeles
Kes ini telah difailkan oleh Terry Leavit, yang mendakwa telah menggunakan beberapa jenis produk kosmetik keluaran syarikat terbabit selama kira-kira 10 tahun lamanya dan telah didiagnosis dengan mesothelioma pada tahun 2017. Untuk pengetahuan anda, kes ini adalah yang pertama daripada puluhan kes membabitkan pengeluaran produk kosmetik keluaran syarikat ini yang dijadualkan untuk dibicarakan pada tahun 2019.
Kes ini telah mendapat perhatian seluruh dunia dan perbicaraan mahkamah di sana juga telah dijalankan. Keputusannya, seorang juri di California telah mengarahkan syarikat terbabit membayar saman sebanyak RM118.5 juta kepada wanita berkenaan setelah mengesahkan produk yang digunakannya memang mengandungi asbestos.
Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Agung California di Oakland itu adalah kekalahan yang paling kini bagi syarikat produk kosmetik itu. Selain daripada dakwaan ini, sebenarnya syarikat ini sedang berhadapan dengan lebih kurang 13,000 dakwaan berkenaan bedak talkum keluarannya di seantero negara.
Menurut wakil syarikat itu, pihaknya akan mengemukakan rayuan dengan alasan telah berlaku kesilapan yang serius prosedur dan bukti yang diutarakan semasa perbicaraan dijalankan. Walau bagaimanapun, pihak syarikat itu tidak langsung memberikan apa-apa butiran lanjut berkenaan kesilapan yang dinyatakan tersebut.
Kes di New York
Kes ini telah difailkan oleh Gloria Ristesund, yang mendakwa telah menggunakan beberapa jenis produk kosmetik keluaran syarikat terbabit selama kira-kira beberapa dekad lamanya dan telah didiagnosis dengan kanser ovari. Ini menyebabkan dia perlu menjalani rawatan histerektomi dan pelbagai jenis pembedahan lain yang berkaitan untuk merawat penyakit berbahaya yang dialaminya.
Kes ini juga telah mendapat perhatian media dan perbicaraan mahkamah di sana juga telah dijalankan. Keputusannya, syarikat terbabit diarah membayar saman sebanyak RM215 juta kepada wanita berkenaan setelah mengesahkan produk yang digunakannya memang mengandungi asbestos.
Perbicaraan kes ini telah dijalankan selama tiga minggu lamanya di mahkamah di Missouri sebelum juri membuat keputusan yang memihak kepada pendakwa. Keputusan ini bukan merupakan kekalahan yang pertama syarikat itu dan juga bukan merupakan dakwaan pertama yang terpaksa dibicarakan di mahkamah.
Menurut wakil syarikat itu, syarikat mereka sebenarnya telah menjalankan penyelidikan selama berpuluh tahun lamanya dan masih berpegang teguh kepada kepercayaan mereka yang mengatakan bahawa produk mereka selamat. Pun begitu, ia tidak begitu menepati gagasan mereka ekoran telah banyak kes yang mereka kalah di mahkamah.
Hakikatnya, produk keluaran syarikat ini kemungkinan besar memang mengandungi kandungan asbestos yang boleh membahayakan kesihatan penggunanya dan syarikat itu sendiri mengetahui mengenainya. Pun begitu, mereka mungkin memilih untuk mendiamkan diri dan tidak memberi amaran tentang bahaya penggunaannya terhadap anggota badan seperti alat sulit yang lantas boleh meninggikan risiko penyakit berbahaya seperti kanser.
Campur tangan kerajaan Amerika Syarikat
Sehubungan dengan itu, Patty Murray yang merupakan Senator Parti Demokratik Amerika Syarikat telah menghantar surat kepada syarikat berkenaan susulan telah banyak dakwaan berkenaan kewujudan asbestos di dalam produk kosmetiknya iaitu bedak talkum keluarannya.
Surat berkenaan ditujukan khas buat Ketua Eksekutif J&J, Alex Gorsky bagi mendapatkan kesahihan dakwaan ini.
Menurut laporan khas dari organisasi penyampaian berita iaitu Reuters, syarikat itu sebenarnya telah sedia maklum bahawa talkum yang digunakan dalam proses pembuatan bedak talkum itu sebenarnya memang kadangkala wujud asbestos di dalamnya, yang dikatakan boleh mengakibatkan kanser. Pun begitu, kenyataan ini telah dinafikan dan tidak dihebahkan kepada orang ramai.
Jurucakap syarikat itu iaitu Ernie Knewitz mengakui telah menerima surat tersebut dan mengatakan bahawa mereka sedia untuk berkongsi maklum balasnya dengan senator. Pun begitu, mereka masih berpegang teguh dengan kepercayaan mengenai kebersihan dan keselamatan bedak talkum keluaran mereka yang dikatakan telah disahkan oleh pihak Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (U.S. FDA).
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen