backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Bagaimanakah Kanser Boleh Dikesan? Ini Proses Diagnosis Yang Pesakit Perlu Tahu!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Aishah Jamaludin · Disemak pada 05/10/2022

    Bagaimanakah Kanser Boleh Dikesan? Ini Proses Diagnosis Yang Pesakit Perlu Tahu!

    Penyakit kanser merupakan satu terma yang luas dan merangkumi pelbagai bentuk kondisi yang berbeza. Oleh sebab itu, proses diagnosis mungkin berlainan mengikut jenis kanser. Jadi, bagaimanakah kanser boleh dikesan? Ini jawapannya!

    Kanser boleh terbentuk pada mana-mana bahagian badan dan mempunyai simptom yang berbeza mengikut jenis kanser yang dihidapi.

    Apabila doktor memberikan diagnosis kanser, ia bukanlah satu tekaan semata-mata. 

    Diagnosis kanser selalunya dilakukan selepas doktor menolak semua penyakit lain yang boleh mencetuskan simptom yang pesakit alami.

    Mereka juga akan menjalankan pelbagai ujian untuk memastikan diagnosis tersebut tepat. Malah, mereka juga boleh melakukan ujian yang sama untuk kali kedua demi memastikan kesahihan diagnosis tersebut.

    Selain itu, doktor juga akan melakukan beberapa ujian untuk menentukan sejauh mana kanser tersebut sudah merebak. 

    Bagaimanakah kanser boleh dikesan?

    bagaimanakah kanser boleh dikesan

    Kanser boleh menyebabkan pelbagai simptom bergantung kepada lokasi tumor, saiz dan juga sejauh mana ia telah merebak.

    Ada pesakit yang boleh merasakan ketulan atau benjolan sebagai salah satu simptom kanser, namun ada juga yang tidak mengalami sebarang simptom dan hanya merasainya pada saat akhir.

    Selalunya, kanser dikesan melalui ujian saringan rutin seperti kolonoskopi atau mamogram.

    Kadangkala, kanser juga boleh dikesan secara tidak sengaja ketika pesakit sedang mendapatkan pemeriksaan untuk penyakit lain.

    Jika doktor mengesyaki pesakit menghidap kanser, mereka akan menjalankan beberapa siri ujian diagnostik seperti:

    1. Ujian makmal: Ujian ini dilakukan untuk memeriksa tahap bahan kimia tertentu di dalam darah, urin dan cecair badan yang lain.
    2. Ujian pengimejan: Ujian pengimejan dilakukan untuk mendapatkan imej organ dalaman untuk mengenal pasti tanda kanser. Antara ujian pengimejan yang lazim ialah MRI, imbasan CT, imbasan PET dan X-ray.
    3. Endoskopi: Prosedur ini menggunakan alatan khas yang dilengkapi dengan lampu atau kamera yang boleh dimasukkan ke dalam badan untuk mengesan tumor.
    4. Biopsi: Sampel tumor pesakit akan diambil dan dianalisis. Prosedur ini selalunya dilakukan secara pembedahan ataupun melalui teknik biopsi yang tidak invasif. Biopsi adalah satu-satunya cara tentang bagaimanakah kanser boleh dikesan secara efektif.

    Bagaimanakah kanser boleh dikesan melalui ujian makmal?

    Ujian darah, air kencing atau cecair badan yang lain dapat membantu doktor untuk melakukan diagnosis kanser dengan lebih tepat.

    Kadangkala, tahap sesuatu bahan atau komponen di dalam badan boleh menjadi salah satu tanda kanser. Sebagai contoh, doktor boleh mengesan leukemia melalui ujian darah.

    Melalui ujian inilah, doktor dapat mengesan jumlah sel darah putih yang abnormal dalam kalangan pesakit kanser.

    Ujian pengimejan

    Pengimejan merupakan satu proses yang dijalankan untuk menghasilkan gambar atau imej struktur badan dan juga organ dalaman pesakit. 

    Ujian ini dilakukan untuk mengesan tumor dan juga abnormaliti lain, serta menentukan sejauh manakah penyakit tersebut telahpun merebak.

    Jadi, bagaimanakah kanser boleh dikesan melalui ujian pengimejan? Ini caranya:

    1. Imbasan CT

    Computed tomography scan atau imbasan CT dapat membantu doktor menentukan lokasi, bentuk dan juga saiz kanser.

    Selalunya, imbasan ini tidak akan memakan masa yang lama dan tidak menyakitkan. Pesakit hanya perlu berbaring selama 10 hingga 30 minit ketika badan diimbas untuk diagnosis kanser.

    2. MRI

    bagaimanakah kanser boleh dikesan

    MRI atau magnetic resonance imaging berfungsi menggunakan magnet dan juga gelombang radio untuk mengimbas badan pesakit. 

    Imbasan jenis ini boleh menghasilkan gambar yang beresolusi tinggi serta dapat menentukan sama ada kanser tersebut telah bermetastasis ke bahagian badan lain.

    Walau bagaimanapun, imbasan MRI mungkin akan menyebabkan kesan sampingan tertentu. Sebagai contoh, pesakit mungkin akan:

    1. Rasa loya.
    2. Sakit di tempat suntikan.
    3. Pening kepala selepas ujian.
    4. Rasa lemah kerana penurunan tekanan darah.

    3. Bagaimanakah kanser boleh dikesan melalui X-ray?

    X-Ray merupakan satu prosedur yang lazim dijalankan untuk mengesan kanser. Ia cepat dan tidak menyakitkan. 

    Ujian pengimejan ini dapat membantu doktor mengesan kanser di kawasan tulang, abdomen dan juga buah pinggang.

    Walaupun ujian CT dan MRI lebih tepat, namun ujian X-ray masih dilakukan kerana ia mudah, pantas dan lebih murah berbanding ujian lain.

    X-ray boleh digunakan untuk mendiagnosis kanser yang berbeza. 

    Sebagai contoh, X-ray pada kawasan dada dilakukan untuk mengesan kanser paru-paru manakala X-ray pada kawasan tulang pula boleh mengesan kanser tulang.

    4. Ultrasound

    Jika keputusan X-ray tidak jelas, doktor akan mencadangkan pesakit untuk melakukan imbasan ultrasound untuk diagnosis kanser. Imbasan ini menggunakan gelombang bunyi berfrekuensi tinggi untuk menghasilkan imej.

    Malah, imbasan ini juga boleh digunakan untuk membezakan antara sista dan juga kanser ovari.

    Walau bagaimanapun, X-ray dan ultrasound tidak setepat imbasan CT dan MRI. Malah, gelombang bunyi juga tidak boleh menembusi paru-paru dan tulang.

    Namun, imbasan ultrasound adalah selamat dan tidak mempunyai kesan sampingan yang serius.

    Endoskopi

    Endoskopi merupakan satu prosedur yang dilakukan untuk memeriksa organ di dalam badan menggunakan sejenis instrumen yang dikenali sebagai endoskop.

    Endoskop merupakan satu tiub yang panjang, nipis dan fleksibel dengan kamera pada hujungnya. Imej di dalam badan akan ditunjukkan pada televisyen.

    Prosedur ini boleh digunakan untuk melakukan diagnosis kanser atau digunakan untuk melakukan beberapa jenis pembedahan.

    Selain itu, endoskop juga boleh digunakan untuk mengambil sampel tisu dalam badan pesakit untuk analisis lanjut. Prosedur ini juga dikenali sebagai biopsi.

    Biopsi 

    bagaimanakah kanser boleh dikesan

    Bagaimanakah kanser boleh dikesan melalui biopsi?

    Biopsi merupakan satu prosedur yang dilakukan untuk mendiagnosis kanser. Melalui prosedur ini, sampel tisu badan akan diambil dan dianalisis di bawah mikroskop.

    Sampel untuk biopsi boleh diambil pada mana-mana bahagian badan termasuklah kulit, perut, buah pinggang, hati dan paru-paru.

    Prosedur ini dijalankan untuk menyiasat punca simptom yang dialami pesakit atau untuk mendiagnosis kondisi yang berbeza.

    Setelah diagnosis, biopsi juga akan dijalankan untuk menentukan tahap kanser serta keseriusan penyakit tersebut.

    Sebagai contoh, biopsi boleh menunjukkan betapa seriusnya kerosakan yang berlaku pada satu-satu organ disebabkan kanser. 

    Diagnosis kanser bukanlah pengakhirannya

    Kanser merupakan penyakit yang serius dan sering menimbulkan ketakutan pada penghidapnya. Walau bagaimanapun, pada zaman ini, banyak kanser yang boleh dirawat dan pesakit juga boleh pulih serta menjalani hidup seperti biasa. 

    Jika anda disyaki menghidap kanser, pastikan anda tahu mengenai proses diagnosis yang bakal dilakukan. Berbincanglah dengan doktor mengenai kerisauan serta kegusaran anda. 

    Pada waktu ini, kerjasama antara doktor dan juga pesakit amat penting. Dalam masa yang sama, pesakit juga digalakkan untuk mendapatkan sokongan tambahan daripada ahli keluarga serta sahabat rapat. 

    Kanser bukanlah sebuah hukuman mati. Rawatan kanser juga sudah bertambah baik disebabkan kemajuan teknologi. Jangan menyerah kalah dan yakinlah dengan saranan doktor.

    #OpenYourMind #CelikKanser

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Aishah Jamaludin · Disemak pada 05/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan