Kecederaan Lutut Buat Karier Bola Sepak Musnah: Owen Hargreaves

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Buat pemain bola sepak, tiada apa yang lebih mengerikan daripada kecederaan lutut. Ini kerana ia akan memerlukan anda untuk berehat selama beberapa bulan. Lebih menakutkan, ia mungkin akan memusnahkan karier! Ini adalah cerita berkenaan seorang bintang bola sepak terkemuka dunia yang pernah mewakili Manchester United iaitu Owen Hargreaves.

Bintang bola sepak yang kecundang

Lahir pada 20 Januari 1981 di Calgary, Kanada, Owen Lee Hargreaves memulakan karier bola sepaknya bersama kelab remaja tempatan, Calgary Foothills. Disebabkan bakat dan usaha, Owen telah direkrut oleh kelab terkemuka dunia berpangkalan di Jerman iaitu Bayern Munich.

Sepanjang 7 tahun mewakili kelab ini, beliau telah memenangi gelaran juara Liga Jerman Bundesliga sebanyak 4 kali dan menjuarai Liga Juara-juara bagi musim 2000 – 2001. Ekoran itu, Owen telah diintai oleh kelab gergasi England iaitu Manchester United.

Pada jendela perpindahan musim 2007 – 2008, beliau telah menandatangani kontrak bersama kelab terkemuka dunia ini selama 4 musim. Ajaibnya, Owen berjaya memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-juara pada musim pertamanya. 

Namun, kegemilangan ini berubah menjadi tragedi apabila memasuki musim keduanya bersama kelab itu akibat kecederaan lutut yang dialaminya. 

lutut
Owen Hargreaves

Kecederaan lutut yang memusnahkan karier

Menurut Dr Richard Steadman yang merawat kecederaan yang dialami Owen, kerosakan pada tendon di kedua-dua belah lututnya adalah yang paling teruk pernah didiagnosis sepanjang 35 tahun profesionnya sebagai pakar bedah.

Menurut Owen pula, kecederaan ini mungkin disebabkan oleh keinginan dan kesungguhannya untuk bermain bersama Manchester United. Beliau tidak sangka kecederaan yang pada awalnya difikirkan tidak serius itu akan menjadi punca kariernya musnah.

Semasa di Bayern Munich lagi, beliau sebenarnya sudah didiagnosis dengan simptom tendinitis namun mengendahkannya kerana tidak mahu mengecewakan penyokong pasukan yang digelar The Red Devil itu. Tidak diduga, ia adalah keputusan yang tidak tepat.

Tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang, Owen yang bermain di posisi tengah bertahan terus bermain dengan bentesan dan tujahan keras bagi merampas kembali bola di tengah padang. Akibatnya, tendon pada kedua-dua lututnya semakin teruk terjejas.

lutut
Owen Hargreaves

Dilabel sebagai pembelian terburuk dalam sejarah kelab

Sir Alex Ferguson yang merupakan pengurus Manchester United menegaskan bahawa pembelian Owen adalah satu ‘malapetaka’. Pengurus legenda dari Scotland itu turut melabelkan Owen sebagai pembelian terburuk dalam sejarah kelab.

Ia bukan sekadar persepsi peribadi. Secara statistiknya, Owen cuma mampu tampil sebanyak 27 kali sepanjang 4 tahun kontraknya. Lebih mengecewakan, Ferguson sebenarnya menyimpan harapan besar untuk Owen menggantikan pemain tengah bertahan legenda mereka yang telah bersara iaitu Roy Keane.

Dr Richard kemudiannya menjelaskan bahawa lutut Owen sudah lama mengalami masalah pada patellar tendon yang mengakibatkan kondisi patellar tendinitis. Walaupun selepas menjalani beberapa pembedahan menjelang tahun 2010, lutut Owen telah menghampakannya lantas menyebabkan beliau bersara pada akhir musim 2011 – 2012.

Konklusi

Kesimpulannya, kecederaan lutut sama ada pada tendon atau ligamen seperti ACL, PCL, MCL dan LCL, ia adalah berita buruk bagi setiap atlet sukan termasuklah pemain bola sepak. Kisah Owen mungkin boleh dijadikan iktibar kepada penggemar dan pemain sebarang jenis sukan.   

Namun begitu, kecederaan lutut bukan penamat kepada segala-galanya. Owen sendiri telah menemukan kerjaya baharu sebagai pengulas sukan bola sepak. Dengan ini, beliau masih mampu mencipta karier di dalam bidang paling digemarinya iaitu bola sepak.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Tarikh Reviu: Oktober 23, 2019 | Kali terakhir kemaskini: November 27, 2019

Rujukan