home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Lumpuh Sebelah Muka? Ini Senaman Yang Paling Sesuai Untuk Pesakit Bell's Palsy

Lumpuh Sebelah Muka? Ini Senaman Yang Paling Sesuai Untuk Pesakit Bell's Palsy

Penyakit Bell’s palsy atau juga dikenali dengan nama idiopathic facial palsy merupakan satu kondisi yang menyebabkan seseorang itu mengalami kelumpuhan pada sebelah muka.

Tak pernah dengar mengenai penyakit ini?

Pelakon terkemuka Sylvester Stallone yang terkenal dengan watak Rocky pernah diserang Bell’s palsy.

Malah, kondisi inilah yang memberikan senyuman senget yang menjadi ‘signature look’ beliau!

Ketika diserang Bell’s palsy, otot pada sebelah bahagian muka akan menjadi lemah dan membuatkan wajah pesakitnya melorot ke bawah.

Selain itu, mata pada bahagian wajah pesakit yang terjejas susah untuk ditutup. Seperti Stallone, senyuman mereka akan jadi sedikit senget dan mungkin akan alami kesukaran untuk bercakap.

Pesakit yang mempunyai Bell’s palsy selalunya akan sembuh dalam masa 9 bulan. Namun, ia mungkin akan memakan masa yang lebih panjang.

Hanya beberapa kes sahaja yang mencatatkan kecacatan kekal pada wajah setelah pesakit diserang Bell’s palsy. Itu pun jumlahnya amat sedikit.

Dalam kebanyakan orang, Bell’s palsy berlaku secara sementara. Malah, simptomnya juga akan perlahan-lahan menghilang minggu demi minggu.

Bell’s palsy bukanlah sejenis strok, namun ia boleh menyebabkan pesakit alami simptom yang sama seperti strok.

Penyakit Bell’s palsy, apa penyebabnya?

senaman muka

Hingga ke hari ini, punca sebenar penyakit bell’s palsy masih belum lagi diketahui.

Namun, secara amnya, Bell’s palsy hanya akan menyebabkan kelumpuhan pada sebelah wajah pesakit. Tetapi, ada juga kes Bell’s palsy yang melibatkan satu wajah, namun kondisi ini amat jarang berlaku.

Saintis percaya bahawa punca Bell’s palsy adalah disebabkan oleh jangkitan virus dorman yang kembali aktif.

Ada beberapa perkara yang boleh menyebabkan keadaan ini berlaku.

Antaranya ialah sistem imun yang menjadi lemah akibat stres yang berpanjangan, tidur yang tidak mencukupi, trauma fizikal, penyakit yang minor dan juga sindrom autoimun tertentu.

Saraf pada wajah manusia akan melalui sebuah koridor tulang yang sempit yang dikenali sebagai Fallopian canal.

Saraf ini akan mengalami inflamasi dan membengkak setelah terkena jangkitan tertentu. Keadaan inilah yang akan menyebabkan kelumpuhan pada wajah pesakit.

Selain saraf pada bahagian wajah, saraf yang mempengaruhi saluran air mata, air liur dan telinga juga turut sama terjejas.

Selalunya, pesakit yang menghidap Bell’s palsy turut sama mengalami:

  1. Kencing manis.
  2. Tekanan darah tinggi.
  3. Lyme disease.
  4. Guillain-Barré syndrome.
  5. Multiple sclerosis.
  6. Myasthenia gravis.
  7. Sarcoidosis.
  8. Jangkitan, terutamanya jangkitan virus Herpes simplex.

Anda tidak boleh mencegah Bell’s palsy kerana ia selalunya disebabkan oleh jangkitan terutamanya oleh virus herpes.

Selalunya, pesakit hanya akan alami Bell’s palsy sekali seumur hidup. Namun, kadangkala ia boleh menyerang semula lebih-lebih lagi jika anda mempunyai ahli keluarga dengan kondisi yang sama.

Bagaimana fisioterapi boleh membantu pesakit Bell’s palsy?

penyakit bell's palsy

Fisioterapi amat digalakkan untuk pesakit Bell’s palsy. Untuk pengetahuan anda, ada beberapa siri pergerakan wajah yang dapat menguatkan otot pada bahagian muka.

Dengan senaman yang betul, otot tersebut dapat dikuatkan semula. Malah, koordinasi dan pergerakan otot tersebut juga dapat diperbaiki.

Rawatan fisioterapi telah terbukti dapat membantu pesakit yang mempunyai Bell’s palsy untuk sembuh dengan lebih cepat.

Malah, ia merupakan cara yang selamat, efektif dan mudah untuk dilakukan.

Bagaimana hendak melakukan senaman muka?

Senaman untuk menguatkan otot tertentu pada wajah perlu dilakukan 4 atau 5 kali sehari di hadapan cermin.

Dengan melihat pantulan diri anda sendiri, anda tidak akan melakukan senaman secara berlebihan atau bertindak menggerakkan wajah dengan keterlaluan.

Sebaliknya, lakukan senaman dengan sederhana dan gerakkan wajah secara semula jadi.

Senaman muka untuk Bell’s palsy melibatkan bahagian otot yang berlainan pada wajah anda.

Sebelum bermula, pastikan anda tahu apa yang anda boleh lakukan dan tidak boleh lakukan semasa melakukan senaman ini.

Anda boleh:

  1. Lakukan senaman muka ini di rumah.
  2. Gerakkan otot muka secara perlahan-lahan. Bersabar dan jangan terburu-buru.
  3. Frekuensi senaman bergantung kepada tahap kesembuhan anda.
  4. Lakukan senaman lebih daripada 3 kali sehari.
  5. Fokus pada wajah anda semasa bersenam. Perhatikan pergerakan wajah pada bahagian yang normal dan cuba lakukan pergerakan yang sama pada bahagian yang diserang Bell’s palsy.
  6. Lakukan senaman dalam jangka masa yang pendek. Namun, tambah bilangan senaman setiap hari.

Jangan:

  1. Elakkan memaksa diri. Jangan terlampau risau jika anda tidak dapat melakukan gerakan dengan betul atau menyiapkan semua gerakan dalam masa yang ditetapkan.
  2. Jangan terlalu memaksa pergerakan anda. Sebaiknya, pergerakan yang dilakukan haruslah bersifat sederhana.

Lakukan senaman muka dengan betul

penyakit bell's palsy

Ikuti langkah berikut:

  1. Duduk dengan tenang di hadapan cermin.
  2. Perlahan-lahan, letakkan jari anda di atas kening. Tolak kening anda naik ke atas dengan jari.
  3. Cuba dekatkan kedua-dua belah kening anda. Kerutkan kening menggunakan otot wajah.
  4. Gerakkan otot pada bahagian hidung anda pula.
  5. Gerakkan hujung mulut anda ke luar.
  6. Naikkan sebelah hujung mulut anda.
  7. Kembungkan pipi anda.
  8. Rapatkan bibir anda. Lakukannya seakan-akan anda ingin bercium.

Mudah bukan! Harapnya, dengan senaman muka ini, pesakit akan lebih mudah dan cepat sembuh daripada Bell’s palsy.

Pastikan anda lakukan senaman yang sama setiap hari, dan jangan lupa untuk tidak terlalu memaksa pergerakan anda. Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, jangan malu untuk bertanya kepada doktor!

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Hopkins Medicine. n.d. Bell’s Palsy. Accessed November 19, 2020. https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/bells-palsy.
  2. Mayo Clinic. 2020. Bell’s palsy. April 2. Accessed November 19, 2020. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/bells-palsy/symptoms-causes/syc-20370028.
  3. MyHealth Portal. 2019. Physiotherapy Management On Bell’s Palsy. August 23. Accessed November 19, 2020. http://www.myhealth.gov.my/en/physiotherapy-management-bells-palsy/.
  4. NHS. 2020. Bell’s palsy. September 11. Accessed November 19, 2020. https://www.nhs.uk/conditions/bells-palsy/.
  5. NIH. n.d. Bell’s Palsy Fact Sheet. Accessed November 19, 2020. https://www.ninds.nih.gov/disorders/patient-caregiver-education/fact-sheets/bells-palsy-fact-sheet.

 

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Fatin Zahra Disemak pada 24/11/2020
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor