Kulat tersebut akan masuk ke badan melalui mulut, luka atau kedua-duanya dan luka tersebut tidak akan kering walaupun dirawat.
Lebih buruk, ia juga boleh memberi kesan buruk terhadap manusia termasuk menyebabkan kematian sekiranya haiwan yang dijangkiti menggigit atau mencakar kita.
Bagi aspek tubuh badan manusia, kesan daripada jangkitan kuman sporo ini hanya dapat dirasai selepas 2 bulan iaitu melalui simptom-simptom seperti bengkak dan bisul.
Selain itu, kegagalan untuk mendapatkan rawatan segera mampu menyebabkan bisul-bisul ini tumbuh di sepanjang nodus limfa.
Malah, yang lebih teruk lagi, ia bakal merebak ke dalam paru-paru dan seluruh badan, akhirnya menyebabkan kematian.
Gejala-gejala dijangkiti sporotrichosis
Gejala pertama sporotrichosis adalah benjolan bisul pada kulit yang boleh berwarna dari merah jambu sehingga hampir warna ungu.
Benjolan ini biasanya tidak menyakitkan atau hanya terasa lembut. Lama-kelamaan, ia boleh mengalami luka terbuka (ulser) yang dapat mengeluarkan cecair jernih.
Sekiranya tidak dirawat, benjolan dan ulser ini akan menjadi kronik dan mungkin tidak akan pulih selama bertahun-tahun.
Dalam kes-kes yang sangat jarang berlaku, jangkitan kulat ini boleh merebak ke bahagian tubuh yang lain, seperti tulang, sendi, paru-paru, dan otak.
Perkara ini lebih biasa berlaku dalam kalangan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah, menjadikannya sukar untuk dirawat dan boleh mengancam nyawa.
Rawatan perubatan bagi jangkitan kulat sporo
Rawatan sporotrichosis bergantung pada anggota badan yang dijangkiti.
- Jangkitan pada kulit sahaja
Jangkitan sporotrichosis ini akan dirawat dengan larutan kalium iodida.
Ubat ini diberikan 3 kali sehari selama 3 sehingga 6 bulan sehingga semua luka hilang.
Jangkitan kulit juga boleh dirawat dengan itraconazole (sporanox) hingga 6 bulan.
- Jangkitan sporotrichosis pada tulang dan sendi
Jangkitan ini jauh lebih sukar untuk dirawat dan jarang bertindak balas terhadap kalium iodida.
Oleh itu, itraconazole sering digunakan sebagai ubat pada peringkat awal selama beberapa bulan atau bahkan hingga 1 tahun.
Selain itu, amphotericin juga digunakan, tetapi ubat ini hanya boleh diberikan melalui IV.
Amphotericin mempunyai lebih banyak kesan sampingan dan mungkin perlu diberikan selama berbulan-bulan.
Bagi kes yang kronik, pembedahan kadang-kadang diperlukan untuk membuang tulang yang dijangkiti.
Jangkitan paru-paru bakal dirawat dengan kalium iodida, itraconazole, dan amphotericin dengan jumlah kejayaan yang berbeza-beza.
Lebih buruk, kadangkala kawasan paru-paru yang dijangkiti terpaksa dikeluarkan.
Meningitis sporotrichosis jarang berlaku, oleh itu maklumat berkaitan rawatannya masih belum banyak yang diterokai.
Amphotericin plus 5-fluorocytosine umumnya disyorkan, tetapi itraconazole mungkin juga dapat dicuba.
Apakah langkah pencegahan yang boleh dilakukan?

Doktor haiwan, penjaga haiwan, dan pemelihara si gebu harus sentiasa berhati-hati ketika menangani kucing yang dijangkiti kulat ini, terutama haiwan yang kelihatan sakit atau mengalami luka yang jelas.
Ini kerana, seseorang individu boleh mendapat sporotrichosis daripada haiwan peliharaan yang dijangkiti walaupun mereka tidak mencakar atau menggigit anda.
Sebilangan individu boleh mendapat sporotrichosis setelah menyentuh kucing yang dijangkiti dan kemudian menyentuh mata mereka.
Di samping itu juga, sentiasa berwaspada dengan haiwan yang tidak dikenali dan dekati mereka dengan berhati-hati, walaupun si comel itu mungkin kelihatan mesra.
Sekali lagi, hadkan kontak rapat antara kucing peliharaan dan liar, terutama yang jelas kelihatan sakit.