backup og meta

Selalu Kena Gigit Nyamuk? Ini 7 Pokok Halau Nyamuk Anda MESTI Tanam Di Rumah!

Selalu Kena Gigit Nyamuk? Ini 7 Pokok Halau Nyamuk Anda MESTI Tanam Di Rumah!

Bagi mereka yang kerap menjadi mangsa gigitan nyamuk, sudah tentu anda akan mencari cara untuk menghalau serangga tersebut daripada menggigit diri, betul tak? Apa kata anda cuba kaedah semula jadi dengan menanam pokok halau nyamuk?

Kalau ingin tahu antara jenis pokok yang boleh ditanam bagi menghalau serangga menggigit itu, teruskan membaca perkongsian artikel ini.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Penyakit Berjangkit, sila dapatkannya di sini.

Ada ke pokok halau nyamuk?

Nyamuk seperti makhluk lain, akan tertarik kepada persekitaran dengan perkara yang diperlukan untuk hidup – ini termasuklah tumbuhan tertentu.

Mungkin sukar untuk dipercayai, tapi hakikatnya nyamuk tidak hidup dengan darah yang dihisapnya – hanya betina yang menggigit dan menjadikan ia makanan untuk telurnya.

Apabila dewasa, nyamuk memakan nektar tumbuhan tertentu seperti keladi, papirus, teratai dan keladi bunting. Jadi mengeluarkan tumbuhan-tumbuhan ini daripada halaman anda pastinya dapat membantu mengurangkan nyamuk di rumah. 

Jika itu tumbuhan yang disukai nyamuk, ada ke pokok yang boleh menghalau nyamuk? Jawapannya ya, selain semburan ubat nyamuk, ada beberapa tumbuhan yang boleh jadi penghalau nyamuk.

Umumnya, nyamuk ‘mencari’ mangsa – manusia dan haiwan lain – dengan merasakan haba dan pergerakan tubuh. Ada juga dengan cara ‘menghidu’ karbon dioksida yang dikeluarkan daripada liang-liang pori badan.

Terdapat sesetengah tumbuhan yang mempunyai bauan yang kuat sehingga boleh menutup bau anda dan/atau mengelirukan nyamuk.

Bagi mereka yang mahukan jalan penyelesaian secara semula jadi, tidak mahu menggunakan spray dan tidak mempunyai alahan, sudah pasti tumbuhan penghalau nyamuk ini jawapan terbaik untuk anda!

Pokok halau nyamuk outdoor & indoor

Berikut beberapa jenis pokok yang boleh dijadikan pilihan:

Serai wangi

Citronella atau dalam istilah saintifiknya Cymbopogon nardus adalah bahan popular untuk menghalau nyamuk semula jadi. Menariknya, serai ini juga boleh ditanam di halaman rumah anda.

pokok halau nyamuk

Berdasarkan penyelidikan, produk topikal yang dihasilkan daripada tumbuhan ini dapat bertahan sebagai pelindung nyamuk untuk tempoh sekitar 2 jam – ini kerana minyak akan menyejat dengan cepat.

Jadi menanam serai wangi di kawasan rumah anda adalah penyelesaian terbaik bagi menjauhkan serangga menggigit ini daripada diri dan keluarga.

Jika anda ingin menanam tumbuhan ini, pastikan ia ditanam di kawasan yang sewajarnya. Ini kerana serai wangi boleh membesar sehingga 6 kaki tinggi dan 6 kaki lebar.

Tetapi jangan tersalah serai pula ya. Serai yang biasa digunakan dalam masakan itu berbeza dengan serai wangi.

Nama botani serai masakan itu adalah Cymbopogon citratus atau lemongrass – boleh juga digunakan untuk menghalau nyamuk, namun tidak sehebat serai wangi.

Pudina, antara pokok halau nyamuk indoor

Dikenali sebagai Mentha x piperita, tumbuhan ini jika dibiarkan boleh membiak dengan banyak. Tetapi usah risau, ia tidak invasif seperti tumbuhan lain dalam keluarga pudina

Minyak yang dihasilkan daripada tumbuhan ini bukan sahaja bagus untuk menghalau nyamuk, tetapi juga boleh membantu melegakan ketidakselesaan akibat gigitan nyamuk yang gatal.

Daun pudina mempunyai aroma yang kuat, menyegarkan dan menenangkan untuk manusia tetapi tidak bagi serangga menggigit ini.

Pokok halau nyamuk outdoor #Lavender

Aroma lavender membantu menghalang nyamuk. Malah berdasarkan kajian, minyak pati lavender dapat menangkis kebanyakan spesies nyamuk untuk tempoh antara 6 hingga 8 jam.

Jika anda menanam tumbuhan wangi ini di sekitar kawasan rumah anda, ia juga boleh menarik perhatian pendebunga bagi membantu memperbanyakkan limpahan bunga ungu.

Berminat untuk menanam lavender? Pastikan jarak antara tanaman kira-kira 2 hingga 3 kaki – bagi membolehkan ia tumbuh dan membiak dengan baik di bawah sinaran matahari.

Baca juga:

Daun selasih

Basil, nama saintifiknya Ocimum basilicum sering digunakan dalam masakan untuk menghasilkan sos pesto dan salad yang lazat. Di samping itu, ia juga berguna dalam menjauhkan nyamuk.

Tumbuhan ini secara semula jadi akan mengeluarkan aromanya, jadi daunnya tidak perlu dihancurkan atau diproses dalam apa jua cara.

Daun selasih adalah toksik pada larva nyamuk – jadi letakkan ia berhampiran kawasan tadahan air bagi menghalang nyamuk daripada bertelur.

Pokok halau nyamuk outdoor #Bunga tahi ayam

Pokok bunga ini secara azalinya cantik dengan warna yang sangat menyerlah. Pun begitu, Lantana Camara amat tidak disukai nyamuk kerana baunya yang agak busuk – lebih-lebih lagi jika ia dihancurkan sehingga lumat.

Anda boleh meletakkan pokok bunga tahi ayam yang kecil di dalam rumah. Namun, jika baunya agak mengganggu, letakkan ia di luar rumah berdekatan dengan bekas takungan air – pasu atau baldi, mahupun saluran longkang.

pokok halau nyamuk

Geranium

Nama saintifiknya Pelargonium radula biasa ditemui dalam ubat nyamuk dan lilin. Tumbuhan ini turut dikenali dengan gelaran seperti pokok halau nyamuk atau pokok jari lima. Bau kuat daripada tumbuhan ini menutupi bau penarik lain.

Tumbuhan ini mudah dijaga dan dapat dibiakkan dengan cara keratan batang. Walau bagaimanapun, ia perlu berada di kawasan teduh dan tidak boleh diletakkan terus di bawah sinaran matahari terik.

Marigold

Berada dalam keluarga bunga tahi ayam, pokok marigold mempunyai sebatian yang dapat menghalau beberapa jenis serangga.

Tumbuhan ini mudah untuk dijaga dan menghasilkan bunga yang cantik. Sudah tentu baunya yang kuat berperanan dalam menghalau serangga dan pepijat.

pokok halau nyamuk

Kebersihan persekitaran

Selain pokok halau nyamuk outdoor atau indoor, menjaga kebersihan kawasan persekitaran rumah juga merupakan cara kawalan nyamuk terbaik. Pastikan tiada air yang bertakung, terbiar di rumah anda.

Ini kerana pelbagai penyakit bawaan nyamuk boleh menjangkiti seperti malaria, demam denggi, ensefalitis atau virus Zika. Mencegah itu adalah lebih baik daripada merawat!

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Marta Ferreira Maia & Sarah J Moore (2011). Plant-based insect repellents: a review of their efficacy, development and testing. https://doi.org/10.1186/1475-2875-10-S1-S11, Accessed on May 5, 2022
  2. Amin Asadollahi, Mehdi Khoobdel, Alireza Zahraei-Ramazani, Sahar Azarmi, and Sayed Hussain Mosawi (2019). Effectiveness of plant-based repellents against different Anopheles species: a systematic review. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6925501/, Accessed on May 5, 2022 
  3. Frank C. Mng’ong’o,Joseph J. Sambali,Eustachkius Sabas,Justine Rubanga,Jaka Magoma,Alex J. Ntamatungiro,Elizabeth L. Turner,Daniel Nyogea,Jeroen H. J. Ensink,Sarah J. Moore (2011). Repellent Plants Provide Affordable Natural Screening to Prevent Mosquito House Entry in Tropical Rural Settings—Results from a Pilot Efficacy Study. https://journals.plos.org/plosone/article?id=10.1371/journal.pone.0025927, Accessed on May 5, 2022
  4. 20 Simple Ways To Get Rid of Mosquitoes. https://healthytalbot.org/topics/20-simple-ways-to-get-rid-of-mosquitoes/, Accessed on May 5, 2022 
  5. Top 10 Plants that Repel Mosquitoes Naturally. https://www.medindia.net/patients/lifestyleandwellness/top-10-plants-that-repel-mosquitoes-naturally.htm, Accessed on May 5, 2022 

Versi Terbaru

16/03/2023

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Negara Dilanda Cuaca Panas Melampau, Ikut 10 Tip Ini Untuk Elak Jatuh Sakit!

4 Sebab Kita Perlu Amal Gaya Hidup Sihat, Yang Pertama Paling Ramai Suka!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 16/03/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan