Di sebalik beberapa siri gempa bumi besar yang berlaku baru-baru ini di Turkiye, Jepun dan terkini di Sumatera, Indonesia, pakar memberi amaran Malaysia untuk bersiap siaga menghadapi ancaman gempa.
Tiada siapa yang dapat menjangkakan kejadian bencana alam ini. Namun, jika ia ditakdirkan berlaku di mana-mana kawasan termasuklah negara kita, apa yang perlu kita lakukan?
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan, anda boleh klik di sini.
5 kawasan di Malaysia berisiko
Bulan lalu, kita dikejutkan dengan notifikasi amaran awal gempa dari sistem Android yang diterima menerusi telefon pintar masing-masing. Ini berikutan gempa bumi kuat yang melanda Utara Sumatera, Indonesia.
Gegaran di negara jiran itu turut dirasai di beberapa negeri di Malaysia. Berikutan itu, pakar memberi amaran awal kepada rakyat Malaysia untuk bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan ancaman gempa di sini.
Terbaru, Ketua Penyelidik Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan Seismologi dan Gempa Bumi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Ir Dr Azlan Adnan dalam kenyataannya berkata, Malaysia perlu bersiap sedia dengan risiko gempa.
Menurutnya, negara kini sudah berada dalam Lingkaran Api Pasifik yang menjadikan Malaysia terdedah dengan risiko gempa.
Lima kawasan Semenanjung Malaysia yang dijangka mengalami risiko gempa ialah Kuala Lumpur, Kuala Pilah (Negeri Sembilan), Manjung dan Temenggor (Perak) serta Kenyir (Terengganu).
Walau bagaimanapun, maklumat terkini di laman METMalaysia pada jam 4 petang, 1 Mei 2023, tiada ancaman tsunami mahupun gempa di Malaysia sungguhpun berlakunya satu gempa sederhana di Jepun (1 Mei 2023).
Februari lalu, gempa bumi besar turut melanda Turkiye dengan mengorbankan puluhan ribu nyawa.
Malaysia merupakan antara negara yang terawal menghantar pasukan penyelamat iaitu Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia atau SMART (Special Malaysia Disaster Assistance and Rescue Team) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat di Turkiye.
Gempa bumi, apa tindakan kita?
Kita mungkin tidak boleh menjangka jika sesuatu kejadian gempa itu berlaku.
Walaupun Malaysia boleh dikatakan sebagai kawasan yang agak kurang mengalami gempa, namun kemungkinan atau potensi untuk ia berlaku masih lagi ada.
Oleh itu, tidak salah jika kita turut bersedia dengan mengetahui apa yang perlu dibuat sebelum, semasa dan selepas gempa terjadi.
Sebelum gempa berlaku
Ada beberapa langkah penting yang perlu dipelajari bagi menyediakan diri kita menghadapi bencana gempa.
Antaranya ialah:
- Ketahui tanda-tanda awal gempa seperti bunyi runtuhan dari jauh yang semakin kuat, rasa bergoyang-goyang secara perlahan atau melihat sesuatu yang digantung mula bergoyang atau bergegar perlahan
- Kenal pasti kawasan selamat. Pastikan anda tahu kawasan yang selamat untuk berlindung jika runtuhan berlaku seperti di bawah meja atau di bawah katil
- Rancang dan latih diri anda dengan langkah yang perlu dilakukan jika berlaku gempa
- Buat posisi seperti merangkak jika gempa dijangka berlaku
- Wujudkan pelan evakuasi kecemasan seperti jalan keluar yang selamat dari rumah dan jalan alternatif lain seperti tingkap
- Sediakan kit bekalan kecemasan yang mengandungi kit pertolongan cemas, makanan dan minuman yang boleh bertahan sehingga 3 hari
Semasa gempa bumi berlaku
Apabila bencana ini berlaku, ikuti langkah-langkah penting di bawah ini:
- Buat posisi seperti merangkak dan duduk di bawah katil, meja atau mana-mana perabot kuat yang anda boleh berlindung di bawahnya
- Lindungi leher dan kepala anda dengan tangan atau bantal
- Kekal berada di posisi anda berlindung sehinggalah gegaran benar-benar terhenti
- Jika anda berada di dalam rumah, kekal berada di dalam rumah kerana ia lebih selamat
- Jauhkan diri anda daripada tingkap, pintu dan juga dinding
- Sekiranya terperangkap, tarik perhatian orang lain untuk menyelamatkan anda dengan mengetuk sesuatu
- Jika anda sedang berada dalam kenderaan bergerak, pandu kenderaan ke tempat yang lebih selamat dan kekal berada di dalam kenderaan anda
Selepas gempa berlaku
- Selepas gempa bumi berlaku, anda boleh menjangkakan gegaran kecil lain yang boleh terjadi dalam tempoh beberapa minit, hari, minggu atau bulan selepas kejadian tersebut
- Tarik perhatian anggota penyelamat dengan mengetuk sesuatu seperti bahan logam, paip atau benda-benda lain yang boleh mengeluarkan bunyi
- Lindungi mata, hidung dan mulut anda daripada habuk dan debu
- Jangan masuk ke kawasan runtuhan lain untuk keselamatan diri anda
- Tinggalkan sesuatu kawasan atau bangunan dengan segera jika anda mendengar bunyi sesuatu yang bergerak atau bunyi yang agak ganjil
- Elakkan penggunaan barangan elektrik. Jika gelap, gunakan lampu suluh atau lilin sahaja
- Jika anda mengalami kecederaan yang agak teruk, dapatkan rawatan kecemasan dengan segera
Kesimpulan
Semua orang perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan bencana alam yang boleh berlaku.
Ia bukan hanya berkisar mengenai kejadian gempa sahaja, tetapi juga bencana alam lain seperti banjir, tanah runtuh, tsunami, puting beliung dan lain-lain lagi.
Persediaan awal seperti ini boleh menyelamatkan diri dan ahli keluarga anda yang lain.
[embed-health-tool-bmi]