backup og meta

Pulang Ke Rumah Selepas Banjir? Ikut Langkah Ini Untuk Kekal Sihat Dan Selamat

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Aishah Jamaludin · Disemak pada 19/01/2022

    Pulang Ke Rumah Selepas Banjir? Ikut Langkah Ini Untuk Kekal Sihat Dan Selamat

    Tahukah anda, apa yang perlu dilakukan selepas banjir? Walaupun air sudah surut, terdapat banyak bahaya yang tersembunyi dan mungkin tidak diketahui oleh mangsa fenomena banjir.

    Tambah lagi, baru-baru ini negara kita digemparkan dengan banjir yang teruk di Shah Alam dan Kuala Lumpur. 

    Tragedi ini membuatkan ribuan penduduk Selangor terputus hubungan dengan pihak luar. Manakala, jalan-jalan utama pula dinaiki air hingga menyukarkan proses menyelamat. 

    Sebenarnya, fenomena banjir bukanlah sesuatu yang asing lagi di negara kita terutamanya pada musim tengkujuh. 

    Setelah banjir mulai surut, pelbagai pihak akan mula menggerakkan usaha masing-masing untuk memulihkan infrastruktur yang musnah dan memastikan semuanya pulih kepada keadaan sediakala.

    Tidak dinafikan, kerosakan yang disebabkan oleh banjir kilat boleh mendatangkan pelbagai bahaya. Selepas banjir, banyak rumah dan harta awam musnah, malahan jalan juga akan dipenuhi dengan cebisan objek yang tajam dan berbahaya. 

    Kawasan yang masih ditenggelami air juga mempunyai bahayanya yang tersendiri dan boleh menyebabkan penyakit serta kecederaan fizikal. 

    Selepas air banjir mulai surut, ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan ketika orang ramai mula pulang ke kediaman masing-masing.

    Sebagai panduan, ikuti tip kami di dalam artikel di bawah. 

    Utamakan keselamatan diri selepas banjir

    selepas banjir

    Keselamatan diri merupakan perkara yang paling penting dan perlu diutamakan selepas banjir. 

    Walaupun air di kawasan tempat tinggal kita sudah mulai surut, namun ada beberapa perkara penting yang perlu diambil kira:

    1. Pulang ke rumah setelah keadaan betul-betul selamat. Ikut arahan pihak berkuasa serta undang-undang yang telah digariskan. Jangan sesekali pulang tanpa pengetahuan sesiapa.
    2. Perhatikan kawasan sekeliling. Kenal pasti bahaya dan laporkannya kepada pihak berkuasa, lebih-lebih lagi jika ada kerosakan pada kabel elektrik.
    3. Jauhi kawasan yang ditenggelami air. Jangan pandu kereta walaupun air nampak cetek. Kereta tidak dapat melindungi anda daripada banjir. Selain itu, ada risiko kereta akan hanyut dibawa arus.
    4. Jangan melawat kawasan bencana. Kehadiran anda hanya akan menyusahkan pihak berkuasa.
    5. Jangan lupa hubungi ahli keluarga dan insan tersayang. Pastikan mereka tahu anda selamat serta lokasi terkini anda.

    Elakkan kecederaan selepas fenomena banjir

    Selepas banjir surut, jalan raya serta kawasan kediaman mungkin akan dipenuhi dengan pelbagai objek yang tajam dan berbahaya seperti serpihan kaca atau besi. 

    Objek-objek ini boleh menyebabkan kecederaan dan jangkitan pada luka selepas banjir. 

    Mangsa banjir yang mempunyai sebarang luka yang dijangkiti perlulah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

    Luka yang dicemari dengan tinja, tanah atau air liur perlu diperiksa oleh pakar untuk memastikan sama ada pesakit perlu diberikan suntikan tetanus. Suntikan tetanus amat penting untuk mengelakkan sebarang jangkitan yang berbahaya. 

    Tetanus, atau turut dikenali sebagai kancing gigi merupakan penyakit serius yang berlaku disebabkan oleh bakteria Clostridium tetani.

    Bakteria ini hidup di dalam tanah dan juga tinja, serta ia boleh memasuki badan melalui bukaan luka. Antara punca utama jangkitan ini ialah kemalangan seperti terpijak paku.

    Bagaimana hendak mengelakkan jangkitan pada luka?

    selepas banjir

    Tidak ada sesiapa yang tahu apa yang terkandung di dalam air banjir. Ia mungkin mengandungi bakteria berbahaya yang boleh mengancam kesihatan.

    Oleh sebab itu, sebarang jangkitan pada kawasan luka perlu dielakkan. Untuk melindungi diri anda dan keluarga, pastikan:

    1. Elakkan pendedahan dengan air banjir, lebih-lebih lagi jika anda mempunyai luka terbuka.
    2. Tutup kawasan luka dengan kain bersih dan pembalut yang kalis air untuk elakkan jangkitan.
    3. Kerap bersihkan kawasan luka dengan air dan sabun.
    4. Jika luka menjadi semakin teruk, pastikan anda mendapatkan bantuan pakar secepat mungkin.

    Terus ke hospital jika:

    1. Ada bahan asing seperti tanah, kayu, besi atau objek lain terlekat pada kawasan luka.
    2. Luka tersebut berisiko untuk mengalami jangkitan. Contohnya, luka gigitan binatang atau ditusuk objek yang tajam. 
    3. Luka lama yang menunjukkan tanda-tanda jangkitan semula. Antara simptomnya ialah rasa sakit, pedih, bengkak dan merah di sekitar kawasan luka.

    Lindungi keluarga daripada penyakit selepas banjir

    selepas banjir

    Selain bahaya yang disebabkan oleh objek tajam dan jangkitan pada luka, mangsa banjir turut terdedah dengan pelbagai penyakit terutamanya cirit-birit, sakit mata dan keracunan makanan. 

    Mangsa banjir terdedah dengan air yang dikotori dengan bakteria dan dicemari tinja. Semua ini boleh menyebabkan cirit-birit dalam kalangan mangsa banjir.

    Sebagai langkah berjaga-jaga, pastikan anda:

    1. Basuh tangan dengan air bersih selepas terkena banjir. Pastikan ahli keluarga terutamanya kanak-kanak membasuh tangan dengan betul menggunakan sabun dan air.
    2. Jangan benarkan anak-anak bermain di kawasan banjir. Jauhkan haiwan peliharaan daripada kawasan yang sama. 
    3. Bersihkan mainan anak-anak jika ia tenggelam dalam air banjir.
    4. Jangan mandi air banjir. Air ini mungkin telah tercemar dengan pelbagai jenis kotoran dan bahan kimia yang tidak nampak dek mata kasar. Sama jugalah dengan kawasan sungai, tasik atau jeram yang telah tercemar dengan air banjir.

    Hati-hati dengan fenomena banjir

    Mangsa haruslah lebih cakna mengenai kesihatan diri dan keluarga selepas banjir. Walaupun air telah surut, terdapat banyak bahaya yang dapat mengancam kesihatan diri dan keluarga.

    Sentiasa berhati-hati ketika sedang membersihkan rumah. Jangan lupa buang semua makanan yang dicemari banjir dan sebarang makanan yang telah berubah dari segi warna dan tekstur.

    Pastikan anda sentiasa basuh tangan dan perhatikan kawasan sekeliling. Jika ada sebarang masalah, cepat-cepatlah hubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Aishah Jamaludin · Disemak pada 19/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan