Topik ini dianggap satu perkara taboo untuk dibualkan. Tetapi sebenarnya semasa seks, miss V anda mungkin memerlukan bantuan pelincir faraj untuk melancarkan hubungan seksual.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita sila dapatkannya di sini.
Perlukah pelincir faraj?
Apabila seorang wanita terangsang secara seksual, miss V biasanya akan menghasilkan pelincir atau lube sendiri.
Ia secara tidak langsung menjadikan hubungan seksual tersebut lebih menyeronokkan.
Persetubuhan tanpa pelincir boleh menyebabkan anda berasa sakit dan merosakkan lapisan faraj.
Tubuh mungkin menghasilkan jumlah lube yang sedikit kesan daripada perubahan hormon, proses menopaus, penuaan atau ubat.
Di sinilah pentingnya penggunaan pelincir faraj buatan.
Penggunaan pelincir ini dapat membantu meningkatkan keghairahan serta keseronokan seksual.
Selain itu, ia juga berfungsi menjaga kelembutan kulit miss V dan paling penting, mengurangkan geseran semasa penembusan sama ada oleh pasangan atau mainan seks.
Manfaat penggunaan pelincir faraj
Umumnya, pelincir ini boleh digunakan oleh sesiapa tanpa mengira sama ada tubuh mereka menghasilkan lube semula jadi mahupun tidak.
Jika anda berdepan masalah kekeringan miss V, penggunaan bahan pelincir ini adalah sangat bermanfaat.
Meletakkan pelincir sebelum melakukan aktiviti seksual dapat membantu mencegah gatal-gatal, sensasi terbakar, rasa ketat dan ketidakselesaan lain.
Masalah faraj kering biasanya akan dialami oleh wanita yang:
- Mengambil ubat tertentu, termasuk antihistamin dan antidepresan
- Berdepan kesukaran berkaitan pengambilan air setiap hari atau sering alami dehidrasi
- Menggunakan kontraseptif hormon
- Menghisap rokok
- Menyusu badan
- Berada dalam perimenopause atau menopaus
- Mempunyai gangguan autoimun seperti sindrom Sjögren
- Sedang menjalani prosedur kemoterapi
Antara jenis-jenis pelincir boleh digunakan untuk miss V
Terdapat pelbagai jenis pelincir faraj berdasarkan keperluan dan situasi yang berbeza.
Ia sesuatu yang normal untuk anda mencuba dan menukar jenis sebelum menemui pelincir bersesuaian.
1. Pelincir berasaskan air
Merupakan jenis yang paling biasa.
Terdapat dalam 2 jenis:
- Dengan gliserin – yang mempunyai rasa manis.
- Tanpa gliserin.
2. Pelincir berasaskan silikon
Pelincir faraj jenis ini tidak mempunyai rasa mahupun bau, licin dan lancar.
3. Pelincir berasaskan minyak
Terdapat 2 jenis pelincir berasaskan minyak:
- Semula jadi – adalah seperti minyak kelapa atau mentega.
- Sintetik – adalah seperti minyak mineral.
Pelincir ini selamat digunakan, murah dan mudah.
Pun begitu sekiranya boleh, pilihlah pelincir berasaskan air terlebih dahulu. Ini kerana pelincir jenis minyak ini boleh merengsakan kulit.
4. Pelincir semula jadi
Terdapat banyak syarikat menghasilkan pelincir organik atau vegan yang diperbuat daripada botani atau bahan mesra alam yang lain.
Ingat 7 perkara penting ketika memilih pelincir
Walaupun terdapat pilihan, namun tidak semua pelincir faraj sesuai untuk digunakan oleh setiap individu.
Adakalanya ia mungkin sesuai pada individu lain tetapi tidak pada anda. Bahkan pemilihan pelincir juga adalah bergantung kepada keperluan.
- Jika berdepan masalah kekeringan. Penggunaan pelincir berasaskan silikon dikatakan sebagai pilihan terbaik
- Mengalami risiko terdedah kepada jangkitan yis. Sebaiknya elakkan lube dengan gliserin. Bahan itu boleh merengsakan miss V dan membunuh bakteria baik. Ia sekali gus meningkatkan risiko jangkitan
- Sedang merancang kehamilan. Pilihlah pelincir faraj yang tertulis ‘mesra sperma’ (sperm friendly) atau ‘mesra kesuburan’ (fertility friendly). Ini kerana sesetengah pelincir mungkin boleh menjejaskan pergerakan sperma
- Akan menggunakan kondom. Hindari pelincir berasaskan minyak kerana ia boleh merosakkan kondom lateks sekali gus menjejaskan fungsinya
- Mahu menggunakan alat permainan seks. Gunakan pelincir air. Jika sex toy anda diperbuat daripada silikon, penggunaan pelincir silikon boleh merosakkan alat tersebut dari masa ke masa
- Melakukan seks semasa mandi. Penggunaan pelincir berasaskan silikon amat disarankan. Ini kerana pelincir yang diperbuat daripada air akan ‘hilang’ semasa berada di bawah pancuran atau rendaman air
Kesan sampingan pelincir faraj
Kebanyakan pelincir adalah bebas daripada sebarang kesan sampingan. Tetapi, wujud kemungkinan untuk berlakunya tindak balas alahan.
Anda perlu berjumpa doktor jika mengalami gejala berikut selepas penggunaan sebarang jenis lube.
- Kesukaran bernafas
- Muncul sebarang bengkak, terutama pada lidah, tekak, atau muka
- Gegata (hives)
- Ruam
- Gatal
Selain itu, anda dinasihatkan untuk melakukan pemeriksaan doktor jika mengalami jangkitan yis yang kerap seandainya penggunaan pelincir miss V adalah sebahagian daripada rutin biasa sewaktu seks.
Kesimpulannya
Pelincir faraj dapat membantu menambahkan kelembapan bagi mengurangkan geseran atau ketidakselesaan serta meningkatkan keghairahan.
Semasa memilih pelincir yang bersesuaian untuk miss V, pastikan anda mementingkan aspek keselesaan dan keselamatan.
[embed-health-tool-ovulation]