Amalan merokok boleh mendatangkan bahaya kepada sesiapa sahaja, tidak kiralah lelaki atau perempuan. Namun, kesan buruk merokok mungkin lebih ketara dalam kalangan wanita, semuanya disebabkan kandungan rokok tersebut. Jika anda ingin berhenti merokok, sekaranglah masa paling sesuai untuk bermula.
Setiap tahun, hampir 29,400 orang meninggal dunia disebabkan produk yang mengandungi tembakau di negara kita. Walau bagaimanapun, hampir 500,000 individu, kanak-kanak dan orang dewasa masih lagi merokok setiap hari.
Bagi wanita, amalan merokok bukan sahaja boleh memberi kesan terhadap kesuburan, ia juga boleh meningkatkan risiko beberapa jenis kanser.
Selain itu, ada juga beberapa kesan merokok yang unik terhadap wanita.
Sempena Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac ini, ketahuilah keburukan merokok terhadap wanita. Kandungan rokok boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan.
Sayangilah diri anda dan berhenti merokok sekarang!
Amalan merokok dan wanita
Individu yang merokok lebih berisiko untuk mengalami masalah kesihatan tertentu.
Malah, mereka juga berhadapan dengan lebih banyak penyakit kronik berbanding mereka yang tidak merokok.
Ada masalah kesihatan yang berlaku serta-merta, namun ada juga yang memakan masa dan hanya akan berjaya didiagnosis selepas beberapa tahun.
Di bawah, kami senaraikan beberapa kesan merokok yang khas terhadap wanita:
1. Kandungan rokok bahaya terhadap sistem reproduktif
Rokok mempunyai kesan negatif terhadap lelaki dan wanita. Namun, bagi wanita, merokok boleh mendatangkan bahaya yang tersendiri terhadap sistem reproduktif.
Malah, wanita yang merokok mungkin bakal mengalami kesukaran untuk mengandung.
[embed-health-tool-ovulation]
Kajian menunjukkan, amalan merokok boleh menyebabkan kemandulan. Malah, ia juga boleh mengganggu penghasilan hormon.
Kandungan rokok serta asap sekunder juga boleh merosakkan sistem reproduktif wanita.
Malah, ia boleh menyebabkan wanita alami menopaus awal dan mengalami simptom yang lebih teruk dari biasa.
Jika anda ingin berhenti merokok, ada beberapa cara untuk meninggalkan tabiat buruk ini.
2. Meningkatkan risiko masalah pernafasan
Individu yang merokok mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD).
Penyakit ini membuatkan penghidapnya sukar untuk bernafas. Malah, ia juga akan menjadi semakin teruk apabila umur pesakit meningkat.
Hingga hari ini, masih belum ada penawar untuk COPD.
Perokok wanita mempunyai risiko 22 kali gali ganda untuk meninggal dunia disebabkan COPD, termasuklah emfisema dan bronkitis kronik, berbanding wanita yang tidak pernah merokok.
Malah, setiap tahun, lebih banyak wanita meninggal dunia disebabkan COPD berbanding lelaki. Mereka juga mungkin akan menghidap COPD yang serius pada usia muda.
Risiko mereka untuk menghidap kanser paru-paru juga adalah 20 kali ganda lebih tinggi berbanding wanita yang tidak merokok.
Baca juga:
- Jangan Ingat Perokok Saja Yang Kena Masalah Pernafasan COPD, Yang Tak Merokok Juga Berisiko!
- Wanita Hamil TOLONG Berhenti Merokok. Jika Tidak, Ini Padahnya Terhadap Janin!
3. Kandungan rokok berbahaya terhadap bayi dalam kandungan
Amalan merokok ketika hamil boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan terhadap bayi hingga menyebabkan keguguran dan kematian.
Malah, bayi yang terdedah dengan asap rokok juga boleh mengalami pelbagai komplikasi, contohnya:
- Berat badan yang rendah.
- Paru-paru tidak dapat berfungsi dengan baik.
- Kecacatan seperti sumbing.
- Sindrom kematian bayi secara tiba-tiba (SIDS).
Kandungan rokok juga boleh meningkatkan risiko kehamilan ektopik.
Kehamilan jenis ini berlaku apabila telur yang telah melalui proses fertilisasi sampai ke rahim, namun membesar di luar dinding uterus.
Kondisi ini selalunya akan menyebabkan kematian bayi yang dikandung. Dalam sesetengah kes, ia juga boleh menyebabkan kematian ibu.
Tidak ada satupun produk tembakau yang selamat untuk ibu mengandung. Nikotin yang terkandung dalam rokok dan vape boleh merentas plasenta dan menyebabkan masalah pada bayi dalam kandungan.
4. Rokok boleh menyebabkan kanser serviks
Amalan merokok boleh menyebabkan kanser serviks. Kanser ini berlaku di bahagian bawah uterus yang bersambung dengan vagina. Jangkitan virus human papillomavirus (HPV) merupakan penyebab utama kanser serviks.
Dapatkan informasi lanjut mengenai kanser serviks serta simptom-simptomnya di sini.
Wanita merokok juga mempunyai risiko kanser lain yang tinggi, seperti kanser paru-paru, kanser pankreas, kanser hati, kanser tekak dan kanser kolorektal.
Tidak dinafikan, amalan merokok menyebabkan banyak kematian dalam kalangan lelaki dan perempuan.
Kini, lebih ramai wanita meninggal dunia disebabkan kanser paru-paru berbanding kanser lain termasuklah kanser payudara.
Malah, ada lebih banyak kes kanser paru-paru baru dalam kalangan wanita muda berusia 30 hingga 49 tahun berbanding lelaki.
Kesimpulan
Amalan merokok merupakan antara punca kematian utama dalam kalangan wanita.
Merokok bukan sahaja akan meningkatkan risiko kanser, penyakit jantung dan masalah lain. Kandungan rokok juga boleh mendatangkan masalah kesuburan terhadap wanita.
Apabila anda berhenti merokok, badan dan minda anda akan sembuh dengan serta-merta.
Berhenti merokok bukan sahaja dapat mengelakkan penyakit, ia juga dapat membuatkan mood anda menjadi semakin baik. Anda juga bakal mempunyai lebih tenaga untuk melakukan banyak perkara yang anda sukai.
Belum terlambat untuk anda berhenti merokok. Dalam masa beberapa tahun berhenti merokok, risiko kanser serviks akan menurun dengan drastik.
Jika anda ingin berhenti merokok, jumpa doktor dan terangkan mengenai keinginan anda untuk berhenti. Doktor dapat melakukan intervensi dan bantu anda meninggalkan ketagihan ini.
Berhenti merokok sekarang dapat membantu anda mengurangkan risiko penyakit dan meningkatkan kesihatan anda secara keseluruhan.
Sempena Hari Wanita Sedunia #IWD2022 , marilah berhenti merokok untuk kesihatan yang lebih baik. Inilah masanya untuk wanita #StandStrong dan patahkan tabiat tidak baik ini.